Ahad, 6 Julai 2014

HAJI JAMALUDDIN, SELAIN BERKEBUN,TULIS BUKU KANAK-KANAK SELEPAS BERSARA

Tags

HAJI JAMALUDDIN, SELAIN BERKEBUN,TULIS BUKU KANAK-KANAK SELEPAS BERSARA

KALAU kita bekerja, jangan fikir waktu, kata Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Haji Jamaluddin Mohd Sulong. Beliau yang akan bersara tidak lama lagi bercita-cita untuk menulis buku fiksyen kanak-kanak. Katanya, antara perkara yang memberikan ketenteraman jiwa ialah apabila kita menyaksikan kehijauan, menghirup udara segar dan melihat pokok-pokok membesar. Ia memberikan ketenteraman yang tiada taranya selain jika kita dapat membantu memudahkan sesuatu perkara. Jangan pernah menyusahkan orang, katanya.Mudahkan, janganlah dipersukarkan, itulah petua dan kata-kata nasihat dari tokoh yang sinonim dengan dunia penerbitan ini.
HAJI JAMALUDDIN MOHD.SULONG dilahirkan pada 24 Julai 1954 di Kampung Jaya Gading, Kuantan, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu 8 dalam darjah satu hingga enam (1961-1966) sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar dalam Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga.

Selepas itu, beliau menyambung pelajaran dalam Tingkatan empat hingga lima di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam tahun 1975 untuk mengikuti kursus Prasains. Beliau mengambil bidang kimia, matematik, fizik dan geologi pada tahun pertama dan kedua di Universiti sebelum mengkhusus dalam bidang fizik dan matematik dan menjadi satu-satunya pelajar Melayu yang mengambil pengkhususan dalam bidang fizik dan matematik pada masa itu.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Fizik dan Matematik pada tahun 1980, beliau ditawarkan bertugas di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya sebagai Tutor Fizik. Selepas tiga tahun bertugas sebagai tutor, beliau ditawarkan untuk menyertai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sepanjang berkhidmat di DBP, Haji Jamaluddin pernah menjadi Editor Sains dalam bidang Fizik, Kejuruteraan dan Matematik. Selain terlibat dengan penerbitan buku pengajian tinggi, beliau pernah dipinjamkan ke Bahagian Buku Teks selama dua tahun untuk menangani penerbitan buku teks sekolah rendah dalam bidang sains dan matematik. Pada tahun 1998 sehingga tahun 2008, beliau mengetuai mengetuai Bahagian Multimedia DBP. Selepas itu, pada penghujung 2008,beliau dinaikkan pangkat mengetuai Bahagian Sains dan Teknologi. Pada Ogos 2010, beliau dilantik sebagai Ketua Bahagian Buku Umum DBP sehingga Julai 2012 sebelum bertukar ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sebagai Pengarah. Selepas berkhidmat selama dua tahun di negeri ini, Haji Jamaluddin bersara wajib pada 24 Julai 2014.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau untuk berkongsi cebisan pengalaman sepanjang bertugas sebagai Pengarah DBP Sabah beberapa hari sebelum beliau bersara. Ikuti petikan temubual bersama beliau.

 

UTUSAN BORNEO: Terima kasih tuan haji kerana sudi memenuhi permintaan kami untuk sesi temubual ini. Berapa hari lagi berkhidmat sebelum bersara?

HAJI JAMALUDDIN MOHD SULONG (HJMS): Saya berkhidmat sehingga 24 Julai ini. 25 Julai saya jadi YB- yang bersara. Genaplah saya berkhidmat selama 31 tahun di DBP dan jika ditambah dengan 3 tahun berkhidmat sebagai tutor di Universiti Malaya, maknanya saya berkhidmat dengan kerajaan selama 34 tahun. Rasanya seperti baru saja bertugas. Tetapi itulah hakikatnya. Kalau kita bekerja jangan fikir waktu.

UB: Bila tuan haji mula bertugas di DBP Sabah?

HJMS: Saya mula bertugas pada 16 Julai 2012. Itupun saya lewat lapor diri kerana tak boleh naik kapal terbang. Saya tak dibenarkan naik kapal terbang oleh doktor kerana beberapa hari sebelum itu, kaki saya tercedera ketika bermain badminton.

UB: Tuan haji masih main badminton?

HJMS: Sekarangpun saya masih bermain badminton, dengan staf jika ada masa lapang.

UB: Oh ya, secara ringkas, bagaimana tuan haji melihat perkembangan penulis Sabah hari ini?

HJMS: Saya melihat banyak peningkatan. Banyak karya-karya penulis Sabah diterbitkan oleh DBP dan ITBM. Selain itu, ramai penulis-penulis Sabah juga mendapat pengiktirafan dengan memenangi Hadiah Sastera Perdana. Kejayaan ini perlu dipertahankan dan diteruskan lagi.

UB: Apa pandangan tuan haji terhadap penulis di negeri ini?

HJMS: Pada pandangan saya, penulis kita mesti berjiwa besar. Benda yang remeh temeh tak perlu diperbesarkan.

Sebaliknya sebagai penulis atau persatuan penulis, kita perlu menetapkan matlamat jangka panjang , misalnya lima tahun. Selain itu, kita juga harus fokus. Kalau kita tak ada fokus apa kita nak capai?

Sebagai penulis, kita mesti berjiwa besar.Kalau ada masalah kita duduk bincang.

Sabah juga kaya dengan flora dan fauna yang boleh menjadi bahan yang menarik. Kita boleh menulis berdasarkan warna tempatan tetapi menghidangkan persoalan yang universal. Latarnya Sabah tetapi tema yang dikemukakan sejagat. Kita berharap dapat meneruskan kerjasama dengan Lembaga Kebudayaan Sabah terutamanya dalam memberikan bantuan dari segi teknikal.

 

UB: Sejak bila tuan haji terlibat dalam penerbitan?

Saya mula terlibat dalam projek Nadi pada tahun 1983, iaitu menyunting buku-buku terjemahan secara besar-besaran buku-buku sains ke dalam bahasa Melayu. Pada masa itu, DBP juga amat memerlukan editor dalam bidang sains. Pada bulan Ogos 1983, saya bertugas di DBP sebagai Editor Sains dalam bidang fizik, kejuruteraan dan matematik. Waktu itu saya menguruskan penterjemahan buku-buku sains dan teknologi ke dalam bahasa Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mula menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di universiti. Selepas 15 tahun terlibat dalam penerbitan buku pengajian tinggi, saya diminta pula untuk menangani penerbitan buku teks sekolah rendah dalam bidang sains dan matematik.

UB: Apa antara pengalaman yang menarik sewaktu bertugas di Bahagian Buku Teks?

HJMS: Pada mulanya saya agak keberatan untuk menangani buku teks sekolah rendah kerana saya terbiasa untuk menguruskan pengajian tinggi. Apatahlagi saya tidak mempunyai asas pedagogi.Tetapi Timbalan Ketua Pengarah DBP meminta saya ke Bahagian Buku teks dan mempelajarinya.Saya terpaksa menghayati kurikulum sekolah, tebal buku teksnya pula sudah ditentukan.Kalau sudah ditentukan 130 muka surat, ia mesti setebal itu, tak boleh lebih atau kurang. Bulan Oktober, buku teks mesti sudah siap dicetak. Kita bekerja sampai malam.Kadang-kadang satu minggu tak balik. Kalau tiba waktu malam, suasana macam pasar kerana panas.Penghawa dingin terpaksa dimatikan. Kami makan nasi ayam saja. Buku terpaksa disiapkan . Tidur sejam atau dua jam terpaksa berbantalkan kamus.Bentang suratkhabar sebagai tikar. Sebelum orang datang jam 7.30 pagi esoknya, kita mesti sudah siap mandi dan berus gigi.

Banyak juga pengalaman sewaktu bertugas di bahagian buku teks. Pada satu hujung minggu, saya pernah ditahan polis kerana memandu kereta dalam keadaan mengantuk. Dia mahu mengiringi saya pulang, tapi saya menolak. Akhirnya kerana tak tahan lagi, saya memberhentikan kereta di pinggir jalan dan hanya terbangun apabila terdengar siren ambulans.

UB: Selepas itu, tuan haji pindah ke bahagian mana pula?

HJMS: Saya ditugaskan untuk mengetuai bahagian multimedia iaitu satu bahagian baru yang ditubuhkan di DBP pada masa itu. Saya menjadi perintis dan bertugas di sana dari tahun 1998 hingga 2008. Pada penghujung 2008, saya dinaikkan pangkat dan mengetuai Bahagian Sains dan Teknologi. Tidak lama kemudian, iaitu pada bulan Ogos 2010, saya dinaikkan pangkat lagi dan mengetuai Bahagian Buku Umum sehingga Julai 2012 sebelum dilantik sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

UB: Selain tugas sebagai editor, apa tugas lain yang tuan haji laksanakan?

HJMS: Selain tugas hakiki, saya juga melibatkan diri dalam pengendalian Bengkel Penulisan Buku Ilmiah, Bengkel Penerbitan Elektronik, Bengkel Penyuntingan, Bengkel Gaya Dewan, Bengkel Bahasa, dan Bengkel Perolehan Judul Baharu.

UB: Sepanjang bertugas di DBP, berapa buku yang tuan haji uruskan?

HJMS: Sepanjang berkhidmat sebagai editor di DBP, saya telah berjaya menguruskan berpuluh-puluh buah buku karya asli dan terjemahan dan menghasilkan sekitar 60 judul penerbitan multimedia dan portal penerbitan elektronik.

UB: Mungkin banyak negara yang tuan haji pernah kunjungi?

HJMS: Saya pernah mendapat peluang untuk menimba pengalaman penerbitan di London, Tokyo, Korea dan Frankfurt Jerman.

UB:

HJMS: Kita nak angkat kedudukan Hadiah Sastera Sabah lebih berprestij lagi. Kita akan terus berikan pengiktirafan kepada penulis.

Dalam pertemuan dengan Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan , Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah baru-baru ini, beliau secara prinsipnya bersetuju penglibatan Kerajaan Negeri dalam memberikan Hadiah Sastera Sabah. Mungkin kita boleh tukar namanya kepada Hadiah Sastera Negeri Sabah, misalnya. Kata beliau, dan ini saya sangat bersetuju,kita kena iktiraf orang kita. Pengikitarafan kepada penulis ini penting, itu sebabnya kita nak angkat martabat Hadiah Sastera Sabah.

UB: Berbalik kepada soalan lain.Mungkin ada perkara yang belum kesampaian ketika menjadi pengarah DBP Sabah?

HJMS: Antara perkara yang belum kesampaian ialah menulis. Kerja-kerja pejabat agak membebankan dan memenatkan sehingga tidak ada masa menulis.

 

UB: Kalau nak menulis, tuan haji tulis buku apa?

HJMS: Kalau saya menulis, saya mahu menulis buku kanak-kanak. Buku kanak-kanak pasarannya lebih besar. Terdapat satu festival buku di Bologna Itali yang dikhaskan untuk buku kanak-kanak. Jika dibandingkan dengan negara lain, Malaysia agak ketinggalan.

UB: Tuan haji menulis buku selepas bersara?

HJMS: Saya impikan untuk menulis buku-buku fiksyen sains kanak-kanak. Saya akan mencari bahan dan maklumat, berbekal kamera yang baik untuk mengambil gambar gambar yang sesuai untuk penerbitan buku.Buku kanak-kanak perlukan ilustrasi menarik.

Sebenarnya banyak lagi bidang penerbitan yang boleh diterokai. Misalnya penerbitan audio, video, animasi, penerbitan e-book dalam bentuk digital dan sebagainya. Cita-cita ini belum kesampaian. Kalau kita dapat menerbitkan cerira rakyat dalam bentuk audio, yang kita boleh dengar dan pasang dalam kereta, ia amat baik dan hebat.

 

UB: Apa kenangan manis sepanjang berkhidmat di Sabah?

HJMS: Antara perkara yang menjadi kenangan manis saya ialah hubungan keakraban di kalangan staf. Kami berjaya menganjurkan banyak program, antaranya mendaki gunung Kinabalu, mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang melalui bulatan jalan berdekatan pejabat DBP, membawa 25 kakitangan DBP Sabah untuk menyertai sukaneka DBP di Kuching, dan sebagainya. Itu sebabnya saya menangis sewaktu ada majlis di Sudut Penulis DBP kerana saya rasa macam satu keluarga.

UB: Apa lagi yang belum sempat dilaksanakan?

HJMS: Antara yang belum sempat dilaksanakan lagi ialah menanam pokok di sekeliling bangunan DBP Sabah. Pokok-pokok yang ditanam oleh kakitangan.

Kita dapat merapatkan hubungan dengan penulis yang kita nampak renggang sedikit tetapi semakin bertambah baik. Sebagai peneraju, Kita nak rapatkan balik hubungan antara penulis dengan DBP, yang nampak renggang tetapi sekarang semakin baik.

UB: Bagaimana pula hubungan dengan kerajaan?

HJMS: Kita mempunya hubungan yang baik dan mesra dengan kepimpinan Kerajaan Negeri, antaranya dengan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Datuk Masidi Manjun, Setiausaha Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Negeri sabah. Terasa sangat penghargaan dari kerajaan. Kita rasa dihargai.

UB: Apa hobi tuan haji?

HJMS: Hobi saya berkebun. Lepas ni saya banyak masa untuk melihat pokok. Melihat kehijauan, saya suka kehijauan, udara yang bersih, melihat pokok membesar menghilangkan stres dan tekanan.

UB: Apa prinsip yang selalu diamalkan dalam hidup ini?

HJMS: Jangan sesuatu urusan itu mudah. Jangan menyusahkan orang lain. Jadikan orang mudah berurusan dengan kita. Kalau ada masalah kita ikut suara ramai. Ikut majoriti dalam menyelesaikan sesuatu perkara.Kita jangan menekan orang lain kalau kita naik pangkat. Kuasa yang kita miliki itu adalah untuk memudahkan, bukan menyusahkan orang.

UB: Terima kasih tuan haji kerana sudi ditemubual untuk ruangan sembang sabtu. Selamat bersara

HJMS: Terima kasih banyak.