JELANI HAMDAN, ORANG RUNGUS PERTAMA JADI PEGUAM
PEMIMPIN muda yang mencatat banyak sejarah cemerlang ini selalu dianggap kontroversi. Beliau adalah orang Rungus pertama diterima sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Borneo pada 1990. Beliau juga adalah seorang peguam syarie yang terkenal. Perjalanan karier politiknya juga penuh warna warni. Beliau adalah antara penaja UMNO di Sabah, pernah menjadi Ketua Pemuda sekaligus Ketua Bahagian UMNO di Bahagian Kota Marudu. Beliau bertanding atas tiket PKR dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu dan terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi kini beliau adalah wakil rakyat mesra BN.Beliau juga adalah Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) sejak tahun 2000.
Dato' Jelani Hamdan lahir di Kampung Pomonsukan, kira-kira 40 km dari Bandar Kudat pada Julai 1967. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Pinawantai dari darjah satu hingga darjah enam dalam masa yang singkat kerana beberapa kali lompat darjah. Selepas menjadi pelajar terbaik di sekolahnya pada tahun 1975, beliau mendapat biasiswa Yayasan Sabah untuk melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun kerana kemiskinan keluarga, beliau hanya dapat meneruskan pelajaran pada Pada tahun 1977, apabila beliau bersekolah di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang, Terengganu hingga tingkatan tiga. Jelani kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Kelang,namun oleh kerana beliau mahu bersekolah dalam dua aliran, aliran Melayu dan Arab,beliau kembali ke Terengganu untuk melanjutkan pengajian di Kolej Sultan Zainal Abidin Terengganu. Tidak lama kemudian, beliau mengambil keputusan berpindah lagi ke Sekolah Agama Pasir Mas Kelantan hingga tingkatan lima. Beliau kemudian memasuki Maahad Muhammadi Kota Bharu dan muncul pelajar terbaik YS untuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Ugama (STU). Berdasarkan keputusan cemerlang itu, beliau mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar Mesir namun kemudian beliau memilih untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dari tahun 1984 hingga 1989.
Selepas kembali ke Sabah, Jelani dilantik sebagai Majistret Kelas Pertama pada tahun 1990 namun kemudian beliau meletakkan jawatan dan memilih untuk menjadi peguam sepenuh masa.
Dalam bidang politik, beliau adalah salah seorang penaja UMNO di Sabah dan dilantik sebagai Naib Ketua Bahagian di Bandau pada tahun 1991. Pada tahun 2000, Jelani mencipta sejarah apabila menang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Ketua Bahagian UMNO dengan undi terbanyak. Beliau bertanding sebagai calon termuda BN-UMNO pada tahun 1994 di Matunggong tetapi kalah. Pada tahun 2008, beliau menang tanpa tanding di UMNO Bahagian Kota Marudu tetapi dibatalkan.
Selepas itu, beliau bergiat dalam kegiatan Ngo dan menjadi Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) dari tahun 2000 hingga sekarang walaupun pernah berhasrat meletakkan jawatan pada 2013 namun ditolak. Dalam pilihanraya ke-13, beliau bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) Matunggong dan menang. Namun ekoran beberapa perkembangan politik yang berlaku selepas itu, beliau kemudian mengambil langkah untuk menjadi hanya wakil kepada rakyat dan bukan lagi wakil parti.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada satu pagi yang cerah di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya untuk berkongsi sedikit pengalaman beliau sewaktu persekolahan, menjadi peguam bertauliah dan menceburkan diri dalam bidang politik. Ikuti petikan temubual bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Datuk?
DATO' JELANI HAMDAN (DJH): Saya dilahirkan di Kampung Pomonsukan, kira-kira 40 kilometer dari Pekan Kudat pada bulan Julai 1967. Pada masa itu, Matunggong belum wujud. Saya ketiga dari tiga adik beradik.
UB: Dimana datuk bersekolah dahulu?
DJH: Saya bersekolah di SRK Pinawantai, yang terletak kira-kira 4 km dari rumah. Saya bangun paling awal pukul lima pagi dan mulai berjalan kaki ke sekolah. Waktu itu tiada jalan raya. Yang ada hanya jalan yang dicangkul. Jalan yang kami lalui itu terletak di celah-celah hutan. Pada satu ketika saya terserempak dengan beruang atau `buuvang'. Mulanya saya nampak jejak tapak kakinya. Saya pergi cari-cari. Itulah pengalaman saya terjumpa dengan beruang.
Kalau saya berjalan kaki dari rumah jam 5.00 pagi, kira-kira jam 7.00 pagi di sekolah. Dalam kad pengenalan, saya tercatat lahir tahun 1964. Itu sebabnya saya dapat bersekolah awal. Namun saya banyak kali lompat darjah. Kemudian saya berjaya mendapat pelajar terbaik pada 1975.
Keadaan ekonomi keluarga pada masa itu memang susah. Meskipun jauh tempatnya di kawasan pedalaman, tetapi dalam sekolah saya terpilih sebagai pelajar terbaik. Kemudian saya ditawrkan oleh Yayasan Sabah untuk melanjutkan pelajaran di sekolah sekolah terbaik di Semenanjung. Tetapi pada tahun 1976, saya tidak dapat melanjutkan pelajaran oleh kerana kemiskinan. Pada tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1977, saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang Terengganu hingga tingkatan tiga iaitu pada tahun 1979. Di sana, saya sekali lagi terpilih sebagai pelajar terbaik Yayasan Sabah dan kemudian dihantar ke Kolej Islam Kelang.
UB: Berapa lama bersekolah di Kolej Islam Kelang? Siapa antara pelajar Sabah di sana waktu itu?
DJH: Antara pelajar Sabah yang menjadi senior saya di kolej itu ialah Dr. Badrulamin Haji Bahron. Saya belajar selama empat bulan di kolej itu.
UB: Tidak lama?
DJH: Sebenarnya saya mahu belajar dalam dua aliran untuk mendapatkan dua sijil iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab. Saya mengambil keputusan sendiri untuk pindah balik ke Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA). Tidak lama kemudian saya berpindah lagi ke Sekolah Agama Pasir Mas Kelantan dari tingkatan empat hingga lima. Oleh sebab tindakan pindah sekolah ini, saya sempat diberi amaran oleh Yayasan Sabah tetapi saya mahu sekolah yang ada bahasa Arab. Kemudian saya masuk ke Maahad Muhammadi dan lulus cemerlang. Saya menjadi pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Ugama (STU).
UB: Selepas itu, dimana datuk melanjutkan pelajaran?
DJH: Hasil keputusan cemerlang itu, saya ditawarkan untuk belajar di Universiti Al-Azhar Mesir tetapi kemudian saya memilih untuk mengambil jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kerana di sana saya boleh mengambil undang-undang sivil dan undang-undang syariah. Sebenarnya saya ditawarkan untuk belajar dimana-mana saja universiti oleh Ketua Menteri Sabah, ketika itu, Datuk Harris Mohd Salleh (kini Tan Sri). Saya dibawa berjumpa dengan beliau oleh Datuk George Abah, Ahli Parlimen Bandau ketika itu. Beliau dibenarkan memilih mana-mana universiti dan beliau minta saya berjumpa dengan Pengurus Biasiswa Yayasan Sabah. Tetapi akhirnya saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang di UIA.
UB: Siapa rakan datuk dari Sabah pada masa itu?
DJH: Antaranya Rimin Haji Maidin, Jafry Arifin, Ustaz Samal Munji, Datuk Jasri, Ketua Hakim Syarie,. Ruslan Kassim waktu itu sajadi pensyarah. Senior saya satu tahun ialah Datuk Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak, Datuk Rosool Wahid, Datuk Alias Abdullah, Menteri Besar Pahang, Dato Sr Adnan Yaakub. . Junior saya di UIA termasuk Datuk Reezal Marican, Datuk Rosnah Rashid Shirlin,
UB: Mungkin ada pengalaman menarik bersekolah di UIA?
DJH: Saya masih ingat betul ketika ditemuduga oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim, Dekan Fakulti Undang-undang UIA. Beliau meminta saya untuk menjalani kursus intensif dalam bahasa Inggeris kerana penguasaan bahasa Inggeris saya pasa masa itu tidak begitu baik walaupun keputusan saya sangat bagus. Katanya, penguasaan bahasa Inggeris saya tidak mencukupi untuk ambil kursus undang-undang. Tetapi saya meyakinkan beliau bahawa saya boleh memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris saya dalam tempoh yang singkat. Sebelum itu, saya belajar dalam aliran bahasa Arab. Tiga bulan kemudian, saya berjaya meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris dan layak meneruskan pengajian dalam undang-undang.
UB: Selepas menamatkan pengajian di UIA, datuk kerja di mana?
DJH: Saya dilantik sebagai Majistret kelas pertama pada tahun 1990. Tetapi tidak lama kemudian, saya meletakkan jawatan sebagai majistret. Saya menjadi majistret dalam tempoh yang singkat. Sekejap saja. Saya kemudian menjadi peguam.
UB: Tubuh firma sendiri?
DJH: Saya pernah bekerja di firma Sugumar, firma Richard Malanjum sebelum menubuhkan firma guaman sendiri.
UB: Mungkin Datuk boleh ceritakan sedikit penglibatan dalam politik? Mungkin ada kenangan manis?
DJH: Saya adalah antara penaja UMNO terawal di Sabah. Pada tahun 1991, saya menjadi Naib ketua Bahagian, pada masa itu Bahagian Bandau. Kawasan ini adalah kawasan bukan Islam dan menjadi kubu kuat pihak lawan pada masa itu. Bahkan ketika mula menaja UMNO, kami kena kejar anjing. Ada yang sengaja lepaskan. Itulah antara cebisan pengalaman saya.
Kemudian pada tahun 1994, saya menjadi calon UMNO dalam pilihan raya. Saya calon termuda pada masa itu. Tapi saya kalah. Kawasan Matunggong pada masa itu belum begitu terbuka.
Antara kenangan yang saya tidak dapat lupakan ialah apabila menang jawatan Ketua Pemuda Bahagian dan menang juga jawatan Ketua Bahagian UMNO pada tahun 2000. Saya menang dengan undi yang terbanyak iaitu 222 berbanding 12 yang diperolehi lawan.
Pada tahun 2008, saya menang tanpa tanding sebagai ketua bahagian.Bagaimana keputusan itu dibatalkan. Selepas itu, walaupun tidak bersara, saya bergerak agak perlahan dalam politik dan menumpukan kegiatan dalam NGO.
UB: Apa kegiatan NGO yang datuk ceburi?
DJH: Saya menjadi Presiden Persatuan Momogon Rungus Sabah (SAMORA). Saya menjadi Presiden dari tahun 2000 hingga sekarang. Pada tahun 2013, saya melepaskan jawatan tetapi ditolak oleh Ahli Majlis Tertinggi.
UB: Bagaimana pula kisahnya Datuk jadi calon PKR di Matunggong dalam PRU-13 itu?
DJH: Saya sebenarnya diminta untuk menjadi calon. Saya sendiri tidak pernah jadi ahli PKR. Keputusan menjadi calon itu diperolehi kira-kira empat hari sebelum penamaan calon. Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta saya jadi calon. Ketika itu saya tertarik dengan Buku Jingga yang antara isinya menghormati dan menjamin autonomi Sabah,menghormati hak-hak rakyat Sabah, Sabah boleh ambil keputusan sendiri dan sebagainya. Tetapi kemudian terbukti tidak benar kerana masih banyak campurtangan. Umpamanya dalam pemilihan ketua pembangkang Sabah, ia masih ditentukan oleh Datuk Seri Anwar.
UB: Sekarang Datuk jadi Wakil Rakyat Mesra BN?
DJH: Saya anggap saya adalah wakil kepada rakyat, bukan mewakili parti. Saya tunduk kepada kehendak rakyat, Kehendak rakyat Matungogong adalah pembangunan bukan jadi champion party. Saya milik rakyat. Saya sudah lama berjuang untuk kepentingan rakyat. Saya bukan ahli politik bermusim.
UB: Apa yang diperlukan masyarakat di Matunggong?
DJH: Masalah utama di kawasan Matunggong lebih kepada pembangunan. Dalam manifesto kita, kita mahukan perubahan dari segi pembangunan. Sebelum ini, kawasan ini adalah kawasan PBS.Hanya saya satu orang, yang pernah menang bukan atas tiket PBS. Mentaliti Rungus adalah suka bersatu.Mereka mahu perubahan dari segi pembangunan. Masyarakat masih perlukan biasiswa untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran.
UB: Perubahan dari segi pembangunan? Apa yang diperlukan oleh golongan belia?
DJH: Golongan belia masih memerlukan banyak peluang pekerjaan.Kini ramai orang Rungus yang bekerja di Singapura, di Kuala Lumpur dan sebagainya. Ini disebabkan kerana tiada satupun pembangunan yang boleh menawarkan peluang pekerjaan di Matunggong.
UB: Apa bezanya dulu dengan sekarang semenjak jadi YB?
DJH: Sekarang lebih sibuk. Jam 6.30 pagi, banyak sudah orang datang ke rumah. Masyarakat Rungus tertumpu kepada saya. Saya satu-satunya wakil rakyat Rungus di Sabah, mungkin juga di dunia. Jadi masyarakat Rungus tertumpu kepada saya. Saya dianggap Uluvan Rungus.
UB: Apa cita cita sewaktu sekolah? Pernah terfikir jadi peguam?
DJH: Saya tidak pernah terfikir jadi peguam. saya terfikir belajar saja.
UB Oh ya, apa hobi Datuk pada masa lapang?
DJH: Saya suka muzik.Cita-cita saya yang belum tercapai ialah mencipta muzik gabungan muzik rungus tradsi dan moden. Remix lagu-lagu Rungus. Masa lapang juga saya gunakan jadi deejay Rungus FM di internet. Saya gunakan untuk berkomunikasi dengan masyarakat saya. Kini mempunyai Rungus FM mempunyai 37,000 pengikut di Internet. Melalui Rungus FM, saya mahu promosi budaya Rungus.
UB: Datuk minat dalam bidang budaya juga?
DJH: Saya ingin mendokumentasikan Budaya Rungus, tarian, bahasanya dan sebagainya. Sebelum ini, saya sudahpun menerbitkan sebuah filem berbahasa Rungus, Ginavoku Ginavonu pada tahun 2010. Melalui Samoram kita juga mahu mengwujudkan Pusat Kebudayaan Rungus di Kudat dikenali sebagai Rungus Cultural Centre (RCC) di Badarag, Sikuati seluas 33.6 ekar. Jika pusat kebudayaan itu dapat diwujudkan, ia sudah tentu dapat memperkenal, memelihara dan memulihara budaya Rungus.
UB: Berapa kira-kira jumlah penduduk berbangsa Rungus di negeri ini?
DJH: Terdapat lebih 2000,0000 masayarakat Rungus di Kudat, Matunggong,Pitas, Kota Marudu, Paitan, Beluran, Kanibongan, Kota Kinabalu, Inanam.
UB: Apa kata-kata akhir datuk sebelum kita akhir temubual ini?
DJH: Saya anggap saya wakil kepada rakyat.Saya milik rakyat. Saya datang dari rakyat dan berkhidmat untuk rakya. Saya tunduk kepada kehendak rakyat. Dan Rakyat di Matunggong mahukan pembangunan.
Isnin, 30 Jun 2014
JELANI HAMDAN, ORANG RUNGUS PERTAMA JADI PEGUAM
✔
abd naddin
Diterbitkan 11:47 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)