PANDANGAN DARI JENDELA KERETAPI
|
Dari jendela keretapi yang bergerak itu, saya menatap Sungai Padas yang terus mengalir ke muara. Ada kalanya arusnya kelihatan amat kuat menghempas ke batu-batu. Namun ia tetap mengalir melepasi jeram, dan sungai yang berliku itu, alangkahnya indahnya jika airnya jernih dan tidak terlalu keruh.
Keretapi itu terus meraung pedih dan merintih. Setiap kali berhenti di stesen, kedengaran ratapannya yang perih seolah-olah menanggung kesakitan yang maha dahsyat.
Berbanding perjalanan dari Stesen Tanjung Aru ke Beaufort yang agak lancar dan menyenangkan, perjalanan dari Beaufort ke Tenom menghidangkan pengalaman yang lain.
Kami menaiki gerabak lama. Tambangnya hanya RM2.70. Kadar tambang yang tidak pernah berubah sejak lebih 20 tahun yang lalu. Keretapi adalah sarana pengangkutan yang penting untuk masyarakat di sekitar landasan.
Bahkan perjalanan keretapi itu, lebih tepat dikatakan sebagai keretapi ihsan kerana ia tidaklah mendatangkan keuntungan melainkan hanya belas kasih kerajaan kepada rakyatnya yang tinggal di pedalaman.
Jam 1.30 hari keretapi berangkat dari Beaufort. Hawa begitu panas. Keriut roda keretapi yang bergerak di atas rel terdengar jelas. Setiap kali berhenti, keretapi itu sentiasa memberi kejutan. Kami melintasi tempat-tempat seperti Saliwangan Baru, Batu 60, Batu 62, Halogilat, Rayoh, Pangi sebelum sampai ke Tenom di penghujung petang.
Keesokan harinya keretapi tetap berangkat awal pagi jam 7.30 dari Tenom, dengan pemandangan yang relatif menyenangkan kerana diselubungi suasana pagi yang tenteram.
Dari jendela keretapi itu, saya menyaksikan betapa indahnya pemandangan sepanjang perjalanan itu. Jika perkhidmatan keretapi itu dinaik taraf atau diperbaiki sedikit, mungkin dengan mengekalkan suasana klasiknya tetapi memastikan perjalanan tetap lancar, ia boleh menjadi salah satu daya tarikan pelancongan yang menarik.
Keretapi dari Beaufort ke Tenom itu menyusuri lereng bukit. Landasan yang dibina sejak zaman British lagi terletak bersebelahan sungai. Sungai yang menyimpan banyak misteri dan kekuatan, ancaman dan bahaya itu adalah sumber kehidupan masyarakat selain sumber tenaga elektrik yang dijana empangan Hidro Pangi.
Kalau sungai di sebelah kanan landasan, di sebelah kiri kita boleh melihat rumah-rumah penduduk dan kehidupan yang segar di dalamnya. Kita boleh melihat kebun tanaman, pohonan dan hutan yang lebat. Juga kita berkesempatan melihat air terjun, air yang mengalir dari atas bukit dan sebagainya.
Sesungguhnya perjalanan dengan keretapi dari Beaufort ke Tenom itu memang mengasyikkan. Walaupun perjalanannya tidak sebaik perjalanan dari Tanjung Aru-Putatan-Kinarut-Kawang-Papar-Kimanis-Bongawan- Membakut-Beaufort yang sudah diperbaiki relnya dan gerabak keretapinya tetapi perjalanan dari Beaufort ke Tenom tetap memberikan pengalaman menarik.
Masih terasa keriut roda keretapi yang bergesel dengan landasan. Keretapi yang seolah-olah meraung tercungap-cungap menanggung muatan namun tetap sedia memberikan bakti kepada masyarakat di sekitarnya. Masih teringat betapa cantiknya lanskap sepanjang perjalanan itu ketika tiba-tiba keretapi itu berhenti agak lama.
Kemudian barulah kami menyedari rupanya keretapi itu berhenti di Halogilat. Ia berhenti untuk mengganti kepalanya sebelum meneruskan perjalanan.
Kepala keretapi itu bergerak ke depan meninggalkan gerabak. Kemudian kepala keretapi yang lain datang untuk mengambil gerabak yang menunggu itu untuk mengangkut penumpang hingga sampai ke tujuan.
Alangkah baiknya jika semudah itu kita mengganti kepala? Menukarnya dengan kepala keretapi yang baru untuk meneruskan perjalanan seperti yang berlaku di Halogilat itu?
Isnin, 7 April 2014
pandangan dari jendela keretapi
✔
abd naddin
Diterbitkan 10:29 PG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)