Isnin, 24 Mac 2014

Dr Wan Azizah menang PRK Kajang

Tags


Ketika berkunjung ke Kuala Lumpur minggu lalu, saya sempat singgah sebentar ke Kajang melihat suasana PRK.

"Kaufikir siapa yang boleh menang?" tanya Sapari ketika kami duduk minum di sebuah gerai di Chow Kit.

Saya beritahu jawapannya hanyalah persoalan berapa majoriti yang akan diperolehi Dr Wan Azizah.

Hampir semua yang sempat saya tanya dan interview, sama ada penyokong PR atau BN, menyatakan bahawa Kak Wan akan menang.
"Ini kawasan dia orang," kata kawan yang kami gelar Raja Bahrin, pada satu kesempatan lain di Kota Kinabalu.

Saya fikir PKR akan menang tetapi majoriti Dr Wan Azizah dijangka turun kerana tidak ramai yang akan turun mengundi.

Peratusan pengundian yang rendah akan menjejaskan peluang PKR dalam menjayakan apa yang disebutnya Langkah Kajang itu.

Bagi saya personaliti yang dimiliki oleh Datin Paduka Chew Mei Fun itu agak menarik.Satu ketika dulu, beliau sanggup berundur dari politik, melepaskan jawatan Ketua Wanita MCA dan meletakkan jawatan sebagai senator hanya kerana beliau telah menyatakan pendirian akan berbuat demikian jika  Dr Chua Soi Lek menang jawatan Presiden MCA.

Penyertaan beliau dalam PRK Kajang adalah semacam `comeback' setelah dipujuk untuk bertanding. Satu fakta yang menarik juga kerana beliau pernah bermastautin di Kota Kinabalu ketika ayahnya berniaga nasi ayam dan beliau sempat melanjutkan pelajaran di Kinabalu Commercial College.

Tetapi ketokohan dan personaliti Kak Wan memang satu faktor yang membuatkan pengundi Kajang jatuh hati kepadanya selain kerana simpati mereka kepada nasib yang menimpa DSAI. PRK Kajang itu adalah saluran untuk rakyat menyuarakan suara mereka terhadap kenaikan harga barang, kadar tol,sentimen perkauman, fanatisme dan ketegangan agama dan sebagainya.

Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 berbanding 6,824 yang diperolehi penyandang Lee Chin Cheh dalam PRU 13 lepas.

Dalam PRU 13 lepas. Lee mendapat 19,571 undi daripada 33,749 undi yang dibuang semasa pilihan raya itu..

Kali ini, Dr Wan hanya mendapat 16,741 undi manakala calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun memperolehi 11,362 undi.

Seperti diduga peratusan mengundi turun 16 peratus daripada 88% dalam pilihanraya lepas kepada hanya 72 % dalam PRK kali ini.
.
Ramai yang menjangka PKR menang. Ramai pula yang masih mempersoalkan apa perlunya PRK itu diadakan. Pemberitaan PRK Kajang itu juga kurang mendapat liputan kerana misteri kehilangan pesawat MH370 yang masih belum dapat dirungkai hingga sekarang.