Isnin, 10 Mac 2014

AWANG LAIMAN, PERNAH JUAL IKAN SEBELUM SEKOLAH DI AL-AZHAR

Tags

AWANG LAIMAN, PERNAH JUAL IKAN SEBELUM SEKOLAH DI AL-AZHAR

SEBELUM menjadi ahli politik sepenuh masa, beliau pernah melalui pelbagai pengalaman dalam hidup. Beliau pernah menjadi guru agama, penolong pegawai penguatkuasa agama, pendakwa di Mahkamah Syariah, kaunselor dan kemudian menjadi pengetua Rumah Anak Yatim Tambunan. Malah sebelum melanjutkan pelajaran di universiti, beliau juga pernah menjadi penjual ikan dan pemandu kereta pick-up, sejenis kenderaan untuk pengangkutan awam paling popular di Kota Belud.

Dalam banyak perkara, beliau bertindak sebagai pelopor. Beliau adalah orang pertama dari Kota Belud yang belajar sekolah agama di Semenanjung atas biaya sendiri. Selepas itu, ramai yang mengikuti jejak langkahnya. Selain itu, beliau adalah seorang yang aktif dalam pergerakan belia dan masyarakat sejak masih berada di bangku sekolah lagi. Seorang ahli pidato dan pemimpin masyarakat yang disegani, kini beliau meneruskan perjuangan dalam bidang sahsiah di bawah bendera Parti Islam Se Malaysia (PAS) sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sabah.

USTAZ Haji Awang Laiman Haji Ikin dilahirkan di Kampung Tamau Kota Belud pada 15 Oktober 1961. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Tamau pada tahun 1968 hingga 1973. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat `bridge class' di GSS Taun Gusi. Selepas itu, beliau melanjutkan pendidikan di SMK Arshad dari Form 1 hingga Form 3 hingga menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education.Kemudian beliau beralih kepada pendidikan agama dan memasuki Madrasah An Nuar, Taun Gusi dan tidak lama kemudian, Awang Laiman melanjutkan pelajaran di Madrasah Khairiah, Pokok Sena, Pulau Pinang dari tahun 1980-1985.

Selepas itu beliau bertugas sebagai guru agama di SUI Merabau dari tahun 1985 hingga 1986. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Al Azhar, Kaherah Mesir pada 1989-1993. Sekembalinya ke tanahair, Awang Laiman bertugas sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa dan Pendakwa di Mahkamah Syariah, Selepas itu, beliau menjadi kaunselor di Rumah Anak Yatim Tambunan dan kemudian menjadi Pengetua Rumah Anak Yatim (RAY)Tambunan sejak 2001 hingga 2008.

Bagi memenuhi seruan perjuangan, beliau menceburi bidang politik sepenuh masa. Mulanya Awang Laiman bertanding kerusi Tempasuk atas tiket PKR. Tetapi kemudian,dalam pilihanraya 2013,beliau bertanding semula kawasan DUN Tempasuk atas tiket PAS tetapi kurang bernasib baik.Walaupun mengalami pahit getir perjuangan, beliau tetap istiqamah. Sejak 2011, Awang Laiman dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sabah.Beliau mendirikan rumah tangga dengan Ustazah Halimah binti Likin dan dikurniakan enam cahaya mata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalamannya ketika zaman persekolahan hingga cerita bagaimana beliau menceburkan diri dalam politik. Ikuti petikan wawancara bersama beliau yang diadakan pada satu pagi Khamis lepas.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Ustaz?

USTAZ HAJI AWANG LAIMAN: Saya dilahirkan pada 15 Oktober 1961 di Kampung Tamau Kota Belud. Saya lahir di tengah-tengah masyarakat petani dan nelayan. Kemudian, saya menduduki sekolah rendah di SRK Tamau dari tahun 1968 hingga 1973.

UB: Siapa rakan-rakan sekolah di sekolah rendah? masih ingat?

USTAZ: Antara rakan sekolah saya ialah Badru Haji Asmah, Sayun Haji Abdul Razak, Imam Asrakal, Dayang Sari,Jupry Abdul Razak, Armawan, Judin, Ludangan, Basmah, itu antaranya.

UB: Selepas darjah enam, dimana ustaz melanjutkan pelajaran?

USTAZ: Kemudian saya mengikuti kelas peralihan, waktu itu disebut Bridge Class di GSS Taun Gusi atau SMRK Taun Gusi. Antara rakan saya ialah Haji Mayur Radim, Andur dan lain-lain. Selepas itu,dari Form 1 hingga Form 3, saya belajar di SMK Arshad dari tahun 1975 hingga 1977. Antara rakan sekelas saya ialah Lamsil Hamidsor, Naib Yang DiPertua USIA, dan Haji Aminuddin Aling , Pesuruhjaya PAS Sabah,. Kamilah angkatan pelajar terakhir yang menduduki LCE sebelum peperiksaan itu dimansuhkan.

UB: Jauhkah rumah ustaz dari sekolah? Naik apa ke sekolah?

USTAZ: Kami berjalan kaki dari rumah ke sekolah. Ketika bersekolah di Kelas Peralihan, di GSS Taun Gusi, saya menunggang basikal ke sekolah. Pelbagai pengalaman saya alami. Saya pernah jatuh dari jambatan kerana jambatannya sebatas titian saja. Pernah juga jatuh parit. Satu ketika saya terjatuh ke parit waktu pergi ke sekolah. Saya terjatuh kemudian saya ditimpa basikal.

UB: Selepas itu, dimana ustaz melanjutkan pelajaran?

USTAZ: Saya melanjutkan pelajaran Form 1 hingga Form 3 di SMK Arshad. Kami adalah pelajar terakhir menduduki LCE. Selepas itu, peperiksaan itu dimansuhkan.

UB: Kemudian?

USTAZ: Selepas itu, dengan keputusan LCE yang kurang meberangsangkan, saya tidak dapat melanjutkan tetapi semangat belajar masih kuat.Oleh sebab saya tidak dapat menyambung pelajaran selepas LCE walaupun minat untuk bersekolah masih kuat, saya masuk belajar di Madrasah Annuar Kampung Taun Gusi. Ketika itu, untuk masuk sekolah itu tidak ada had umur.

UB: Oh ya, Bagaimana timbul kesedaran belajar agama?

USTAZ: Pada asalnya timbul kesedaran dari diri sendiri. Bila melihat Si Paka' (Haji Omar Bantayan) menyampaikan khutbah. Beliau antara guru agama yang terawal di kampung kami di Kampung Tamau.Saya terfikir, kalau mereka meninggal dunia, siapa yang boleh menggantikan mereka. Tokoh-tokoh yang banyak berjasa seperti Imam Haji Omar Bantayan dan Haji Yusuf Ibrahim tetapi selepas mereka siapakah generasi pelapis mereka. Siapa setelah mereka? Dari situ timbul di minda saya untuk menuntut ilmu agama.Pada masa itu tidak ramai anak-anak kampung yang belajar di Semenanjung. Kalau adapun ialah anak-anak yang mendapat biasiswa Yayasan Sabah seperti Badru Haji Asmah, Akmadin Omar, Razak Rakunman, Mokdin Haji Mansur. Jadi apabila kami ke Semenanjung, belajar atas biaya sendiri, itu menjadi satu dorongan untuk ibubapa menghantar anak-anak mereka belajar agama di Semenanjung.

UB: Itu sebabnya ustaz sanggup berbelanja sendiri untuk belajar agama di Semenanjung?

USTAZ: Ya. Dari Madrasah An Nuar Taun Gusi, saya melanjutkan pelajaran di Sekolah pondok, Madrasah Khairiah Pulau Pinang. Sayalah orang pertama dari Kota Belud yang belajar di sekolah itu.Saya terbang ke Semenanjung bulan Januari, kemudian barulah rakan-rakan lain meyusul setelah saya sekolah di sana. Mulanya saya belajar atas biaya sendiri. Setengah tahun kemudian barulah saya mendapat biasiswa Yayasan Sabah.Saya belajar di Madrasah Khairiah dari tahun 1980-1985.

UB: Siapa yang banyak memberi dorongan kepada Ustaz?

USTAZ: Orang yang banyak memberikan galakan kepada kami ialah Ustaz Yusuf Abdul Rahman. Beliau berasal dari Melaka. Beliau memberikan banyak pertolongan. Beliau sanggup berulang-ulik ke pejabat Imigresen untuk membantu pengurusan pasport. Malah beliau sanggup mengeluarkan duit sendiri.bayaran untuk pasport ialah RM30. Masa itu, Beliaulah yang banyak beri dorongan.Masa itu, ramai ibu bapa yang masih takut menghantar anak mereka belajar sekolah agama dengan alasan tidak berkemampuan.Padahal belanja yang diperlukan tidak banyak. Belanja bulanan kira-kira RM70 ringgit. Beliau tanya kepada ayah saya, apakah beliau sanggup? Bapa saya berkata, kalau setakat itu, RM100 pun saya sanggup. Ketika itu saya sudah belajar bawa kereta`pick-up dan ada kereta sendiri. Satu minggu pendapatan saya kira-kira RM400 seminggu. Tetapi demi semangat untuk belajar, saya meninggalkan semuanya untuk belajar di Pulau Pinang.

Pada masa itu juga, kebetulan bapa angkat saya, Haji Osman berada di Kota Belud. Saya ikut beliau ke Semenanjung. Masa itu, tiket KK-KL-Pulau Pinang berharga kira-kira RM175. Agak murah.

UB: Siapa rakan ustaz pada masa itu? Maksud saya di Madrasah Khairiah?

USTAZ :Pada masa itu, Datuk Haji Aidi Mokthar, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah sudah lebih dulu belajar di sana. Saya baru masuk. Saya orang kelima dari Sabah yang belajar di Madrasah Khairiah. Orang pertama dari Sabah yang belajar di Madrasah Khairiah itu ialah Datuk Haji Utoh, kemudian adiknya Ustaz Abdul Kata, Datuk Haji Aidi, seorang bernama Halim tapi tidak meneruskan dan lepas itu saya. Antara pelajar dari Sabah yang belajar di Madrasah Khairiah ialah Ustaz Malai Ali, Ustaz Awang Syairin Bakar, Ustaz Seman Jipar, Ustaz Zuldin Haji Abdul Hamid, Drs Satri Putung, Ustaz Daiman Salalah, Ustaz Abdullah Maria, Ustaz Saifudin Haji Sepion,. Sehingga pada satu ketika pelajar Sabah mencapai 58 orang.

UB: Apa kelebihan belajar di sekolah pondok?

USTAZ:: Banyak kelebihan sekolah pondok. Sistem pendidikan sekolah pondok melahirkan manusia yang mampu berdikari. Selain itu, sekolah pondok banyak bertumpu kepada pembangunan insan. Banyak pelajaran yang langsung boleh dipraktikkan di tengah masyarakat. Di samping itu, di sekolah sentiasa ada pengisian, selepas maghrib dan selepas subuh. Setiap Khamis pula ada majlis muhadarah Setiap minggu ada pidato dipantau oleh guru

Sewaktu di Madrasah Khairiyah, saya nenjadi Timbalan Ketua Umum pelajar. Antara yang pernah belajar di Madrasah Khairiyah ialah Ustaz Ibrahim Libya, Abdul Hamid Zainal Abidin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Di sinilah saya mula mendapat pendedahan dalam politik. Pengasas Sekolah Pondok, Tuan Ahmad Tuan Hussein, adalah ahli Parlimen Pas yang pertama mewakili kawasan itu.Beliau menjadi wakil tunggal Pas di Parlimen pada masa itu. Tapi sewaktu saya masuk, beliau sudah meninggal. Tapi perjuangan itu diteruskan oleh anak-anaknya Ustaz Ali, Ustaz Osman dan Ustaz Omar.

Bercerita tentang politik, saya pernah menjadi juru kempen ketika Datu Hamid Tun Mustapha menjadi calon USNO pada tahun 1986 di Usukan. Masa di Mesir juga saya aktif di Masjid Ridwan. Sebut saja, Masjid Ridhwan, orang tahu bahawa ia adalah markas Ikhwanul Muslimin.

UB: Apa kegiatan Ustaz sewaktu di pondok dulu selain kuliah?

USTAZ: Selain kuliah, Saya juga aktif dalam Gerakan Belia 4B, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

UB: Balik dari Pulau Pinang, ustaz bertugas dimana?

USTAZ: Balik dari Semenanjung, saya bertugas sebagai Guru di SUI Merabau.

UB: Masih terlibat pergerakan belia? Sesudah balik kampung?

USTAZ: Ya, di samping tugas sebagai guru, saya juga aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)dan Belia USIA, Naib Presiden PISBA.

UB: Lama jadi guru agama? lepas itu ke mana?

USTAZ: Saya jadi guru dari tahun 1986 hingga 1988. Selepas itu, pada tahun 1989 hingga 1993, saya berangkat ke Kaherah untuk belajar di Universiti Al Azhar Mesir, universiti tertua di dunia. Antara rakan yang belajar di Al-Azhar ketika itu ialah YB Datuk Haji Mohd Arifin Arif, kini Pembantu Menteri dan ADUN Membakut,Pengarah Jasa, Haji Abdul Manap Lakariba.

UB: Di Mesir, apa persatuan yang pernah diikuti?

USTAZ: Saya pernah jadi Setiausaha dan kemudian Yang Di Pertua Badan Kebajikan Pelajar Sabah Mesir. Saya juga terlibat mengasas Persatuan Pelajar Malaysia Mesir di Kaherah. Sewaktu di Kaherah, antara rakan saya ialah YB Zulkifli Yakub, pernah jadi ADUN di Kelantan, dan di Terengganu Nik Zawawi Nik Mohamad.Mereka aktif dalam PMRAM atau Persatuan Melayu Republik Arab Mesir. Di sanajuga saya bertemu dengan Dr Mujahid Yusuf Rawa,yang bertindak sebagai rakan pembimbing. Begitu juga Nik Amar dan Nik Rahim, anak Tuan Guru Nik Aziz. Dari Filipina, antara rakan saya ialah Aleem Said Bashir, Bukare dan ramai lagi. Ramai juga pelajar dari Mindanao pada masa itu.

UB: Sekembalinya dari Mesir, Ustaz kerja apa?

USTAZ: Saya bekerja sebagai Penolong Pegawai Penguatkuasa dan Pendakwa di Mahkamah Syariah. Selepas itu, saya dilantik sebagai kaunselor Rumah Anak Yatim Tambunan.Lepas itu saya jadi pengetua Rumah Anak Yatim hinggalah saya berhenti dari perkhidmatan kerajan pada tahun 2008.

Saya diminta untuk bertanding atas tiket PKR. Badan Perhubungan PAS Negeri sedia maklum pada masa itu. Kemudian pada tahun 2011, saya diamanahkan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri. Sekarang sudah masuk penggal kedua saya diamanahkan sebagai Setiausaha.

UB: Kita beralih sedikit kepada soalan politik.Bagaimana sambutan masyarakat terhadap PAS di Sabah?

USTAZ: Bagi saya, Pas mempunyai masa depan yang cerah. Pas bersama PR aalah Politik masa depan. Penyertaan golongan profesional dalam PAS makin ramai, makin diminati. Pendekatan PAS tidak semata-mata politik tetapi tarbiyah dan dakwah dengan motto Islam For All. Tidak saja untuk golongan Islam bahkan golongan non muslim juga.

Sambutan masyarakat amat memberangsangkan.Malah dalam pilihanraya lepas, saya menang di satu kawasan daerah mengundi Non Muslim, yang menunjukkan bahawa sokongan terhadap PAS memang hebat. Masa depan PAS dalam politik Sabah memang amat cerah. Sekarang ini kita tidak menang tangan. Banyak program dianjurkan untuk memenuhi keperluan masyarakat. Kami mendekati masyarakat dari bawah. Kami memperjuangkan aspirasi rakyat yang selama ini terpinggir. Banyak isu seperti isu tanah, isu kemudahan infrastruktur dan sebagainya. Isu yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat kampung. Isu yang berkaitan dengan kehidupan rakyat secara keseluruhannya.

UB: Siapa pemimpin yang menjadi role model Ustaz?

USTAZ: Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Beliau seorang yang istiqamah, seorang yang terbuka

UB: Apa hobi ustaz di masa lapang?

USTAZ: Saya suka membaca buku. Selain itu, saya juga suka menjala ikan, berkebun dan sebagainya. Jika ada kelapangan di hujung minggu, saya suka mandi laut.

UB: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu.

USTAZ: Terima kasih kembali.Semoga bermanfaat