SEKADAR UNTUK KITA FIKIRKAN
Saya teringat salah satu jawapan Gus Dur, mantan Presiden Indonesia ketika ditanya dalam satu wawancara TV Indonesia mengenai kebebasan.
Apa gunanya kebebasan kalau masyarakat huru-hara, Apa kata Gus Dur, masyarakat akan hanya huru-hara apabila orang tidak mahu berfikir.
Bagi kiyai yang jadi Presiden itu, kebebasan itu bukan satu kesalahan. Tapi bebaskah kita berfikir?
Setiap kebebasan ada hadnya, ada batasnya. Saya fikir walaupun kita diberi kebebasan untuk memilih tetapi kita juga dilahirkan tanpa kebebasan memilih.
Misalnya, kita tidak diberi kebebasan sama ada mahu dilahirkan atau tidak. Kita tidak diberi kebebasan sama ada mahu dilahirkan sebagai lelaki atau perempuan.
Kita tidak diberi kebebasan untuk memilih tarikh kelahiran kita sendiri, sama ada mahu dilahirkan pada hari Isnin atau Jumaat, Pagi atau petang, malam atau subuh.
Malah kita tidak diberi kebebasan untuk memilih nama kita sendiri. Nama kita diberikan oleh ibubapa kita dan kita tidak diberi hak untuk memprotes, sama ada kita suka atau tidak suka nama yang diberikan kepada kita itu.
Apa gunanya kebebasan kalau masyarakat huru hara? Saya suka mengulang jawapan Gus Dur, bahawa masyarakat akan hanya huru hara apabila orang tidak mahu berfikir.
Pada zaman kita sekarang, banyak di kalangan kita yang tidak mahu berfikir. Masyarakat kita kadang-kadang menerima sesuatu prrkara tanpa usul periksa. Kadang-kadang mereka menerima apa saja informasi atau maklumat yang disumbatkan ke minda mereka, tanpa berfikir lagi.
Bahkan kadang-kadang melakukan kedunguan secara berjemaah.Mengamini apa saja tanpa menanyakan sejauh mana kebenaran berita yang dibawakan itu.
Mereka yang gemar mendengar atau menerima isu dan berita yang tidak berasas atau sangat gemar mendengar berita untuk diolah dengan tujuan berbohong dikecam dalam kitab suci Al-Quran. Dalam surah Al-Maidah ayat 41, kelompok ini dinamakan sebagai "Samma-una li al-kadzib"
Kerana itu, Allah memperingatkan dalam surah Al Hujurat ayat 6."Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa satu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan satu musibah kepada satu kaum tanpa mengetahui keadaannya, yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu"
Kita dilarang untuk menyampaikan apa yang tidak pasti. Setiap kata-kata akan diminta pertanggungjawabannya di depan Allah S.W.T.
Allah S.WT memperingatkan manusia dalam surah Al-Isra ayat 36 yang bermaksud "Janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta pertanggungjawabannya.
Menurut Prof.Dr Quraish Shihab, ayat Al-Isra itu mengecam mereka yang mengambil sikap keliru, membenarkan atau menyalahkan apa yang tidak diketahui duduk soalnya.
Sebenarnya, dalam Al-Quran, kita telah diberikan pilihan yang jelas .Jika kita mencari keredhaan Allah, kita diberi jaminan untuk memperolehi pahala yang besar, seperti yang terkandung dalam Surah An Nisa ayat 114.
"Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat makruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia.Dan barang siapa berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak kami akan memberinya pahala yang besar"
Perkara -perkara yang membawa kebaikan hanyalah apabila kita mendengar seruan untuk memberi sedekah atau berbuat makruf (kebaikan) , atau mengadakan perdamaian di antara manusia.
Rabu, 8 Januari 2014
SEKADAR UNTUK KITA FIKIRKAN
✔
abd naddin
Diterbitkan 5:51 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)