Sabtu, 16 November 2013

MARILAH KITA MENYESALI DIRI

Tags

MARILAH KITA MENYESALI DIRI

-mengutip nasihat cendikiawan Luwu kepada La Baso

Ada lima macam yang dapat menyebabkan orang terhindar dari rasa penyesalan. Nasihat ini diberikan seorang nenek, cendikiawan Luwu kepada La Baso sebelum ia memangku kedatuan Soppeng.

Nasihat ini diberikan atas permintannya sendiri. Banyak hal yang menggoda manusia sehingga tidak jarang mereka menyimpang dari kemanusian, lalu mereka menderita beban mental berupa penyesalan.

Jadi untuk menghindar dari rasa penyesalan itu, La Baso dinasihatkan agar menjaga lima macam iaitu yang pertama;fikiran,kedua; pertimbangan, ketiga;pilihan, keempat; kewaspadaan dan kelima; perasaan malu.

Lima macam ini diterangkan dalam Lontara kepunyan H Andi Mappasala, yang salinannya terdapat di Perpustakaan Pusat Universitas Hasanuddin, sebagaimana yang dikutip oleh Prof Dr H.A Rahman Rahim dalam bukunya Nilai-Nilai Utama Kebudayaan Bugis.

Adapun yang menutupi yang lima macam itu adalah lima macam pula. Menurut buku itu, yang menutupi fikiran jikalau orang tidak lagi takut pada setiap kata dan perbuatan.

Yang menutupi pertimbangan jikalau orang suka sekali marah.

Yang menutupi pilihan ialah kebodohan.

Yang menutupi kewaspadaan ialah kelalaian.

Yang menutupi perasaan malu ialah kerakusan.

Selanjutnya buku ini menghuraikan bahawa sesungguhnya perbuatan dan perkataan yag bermanfaat berada di sisi orang yang mempunyai fikiran. Sesungguhnya perbuatan yang patut dan layak berada di sisi orang yang punya pertimbangan; sesungguhnya perkataan yang elok tanpa dibuat-buat berada di sisi orang-orang yang berilmu; sesungguhnya kelakuan dan kata-kata yang buruk berada di sisi orang yang bingung dan sesungguhnya kelakukan dan kata kata yang salah berada di sisi orang yang bebal.

Kata-kata nasihat yang diberikan oleh nenek cendikiawan Luwu itu, saya fikir bermanfaat juga untuk kita fikirkan dan renungkan. Walaupun lontara itu sudah berusia ratusan tahun lamanya tetapi ia masih relevan untuk kita amalkan hingga ke hari ini.

La Baso , sebelum ia diangkat menjadi pemimpin, telah dinasihatkan mngenai syarat-syarat orang yang menduduki sesuatu jawatan. Syarat-syarat itu ialah orang yang menjadi pemimpin itu harus memiliki kejujuran. Orang yang menjadi pemimpin itu harus berfungsi akalnya dan orang yang menjadi pemimpin itu, harus mempunyai keberanian dan orangnya juga harus kaya.

Tanda kejujuran itu ada empat, iaitu jika orang berbuat salah kepadanya, dia lantas memberi maaf. Jika diserahi amanah, dia tidak berbuat khianat. Jika kebaikan hanya bagi dirinya itu bukan kebaikan kerana kebaikan baginya ialah yang dinikmati bersama.

Selanjutnya buku ini menjelaskan mengenai tanda orang yang mempunyai fikiran. Ada empat juga. Iaitu yang pertama, orangnya cinta kepada perbuatan yang bermanfaat, orangnya suka kepada kelakuan yang menimbulkan kemaslahatan, orangnya jika menghadapi persoalan selalu berusaha mengatasinya dan orangnya jika melaksanakan segala sesuatu, selalu berhati-hati.

Adapun tanda orang berani ialah pertama tidak orangnya tidak gentar mendengar berita buruk dan berita yang menyenangkan, orangnya tidak suka mendengar khabar angin walaupun dia selalu memperhatikannya, orangnya tidak takut dicabar dan orangnya tidak membezakan lawan yang banyak dan lawan yang sedikit.

Tanda orang kaya pula ialah orangnya kaya kata sebab dia tidak pernah kehabisan kata yang disertai dengan kewajaran, orangnya kaya buah fikiran, orangnya kaya usaha dan orangnya kaya belanja, lagi murah hatinya.

Saya fikir petua-petua dan nasihat nenek cendikiawan Luwu yang tercatat dalam lontara' ini amatlah baik jika amalkan sekiranya kita mahu menghindari rasa penyesalan.

Bukankah terdapat satu kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, jika mahu terhindar dari penyesalan itu kita hendaklah menjaga fikiran, pertimbangan, pilihan, kewaspadaan dan perasaan malu.

Jika kita tidak takut lagi akibat setiap kata dan perbuatan kita, jika kita suka sekali marah, jika kita diselimuti kebodohan, jika kita selalu lalai dan jika kita tidak ada perasaan malu lagi kerana kerakusan, pada saat itulah kita tidak dapat menghindar lagi dari rasa penyesalan.

Kerana itu lebih baik menyesal sebelum terlambat.