Ahad, 3 November 2013

Kematian hanyalah `muli lahat' atau pulang kampung

Tags



KEMATIAN HANYALAH MULI LAHAT ATAU PULANG KAMPUNG

KETIKA sedang menikmati teh tarik di kedai mamak di Jalan Pantai , seorang rakan tiba-tiba menerima panggilan telefon dari Semporna mengkhabarkan berita duka itu.

Ada orang kampungnya `muli lahat'.

Muli Lahat? . Saya tertarik dengan istilah itu. Muli' dalam bahasa Bajau bereti pulang. Lahat pula bermakna kampung atau negeri.

"Muli aku ni lahat'" bermaksud saya balik ke kampung. Tetapi `Muli Lahat' adalah istilah untuk meninggal dunia. Secara harfiah Muli Lahat bermaksud `pulang kampung atau pulang ke negeri' dalam terminilogi orang Bajau Pantai Timur khususnya di Semporna, ia merujuk kepada meninggal dunia.

Saya fikir istilah yang digunakan oleh orang Bajau Semporna itu amat tepat dan mengandungi makna yang mendalam.

Jika kita fikirkan dari sudut falsafahnya, istilah `muli lahat' itu menunjukkan bahawa masyarakat Bajau Semporna menganggap bahawa kematian adalah perjalanan pulang ke negeri asal.

Kematian dianggap sebagai kampung halaman atau negeri abadi, tempat kita berpulang. Kematian adalah satu proses kepulangan ke tempat asal kita, ke kampung halaman kita yang kekal. Tempat kita menetap untuk selama-lamanya.

Itulah sebabnya istilah `Muli Lahat' itu begitu memikat bagi saya.Menarik untuk difikirkan bersama. Masyarakat Bajau Semporna secara arif menamakan kematian itu sebagai hanya pulang kampung, yang membawa makna yang sangat mendalam.

Muli Lahat bagi orang-orang tua bukan sekadar kematian tetapi sebenarnya hanya pulang kampung atau pulang ke negeri kita yang abadi.

Dalam masyarakat lain di negeri ini,saya tidak mwemui istilah seperti ini digunakan untuk merujuk kepada kemtiian. Muli Lahat atau pulang kampung, bagi orang lain mungkin hanya bermakna pulang ke kampung biasa, ada lambaian pohon kelapa, pasir pantai, kebun buah-buahan, sawah padi, dan sebagainya.

Bagi masyarakat Bajau di Pantai Barat, perkataan yang merujuk kepada kematian ialah `ngemban'. Ada juga yang mengatakan `muli ta laat dembila' atau makna harfiahnya pulang ke negeri seberang' atau `muli ta laat dembua', pulang ke negeri satu.

Ngemban bermaksud meninggal. Saya fikir perkataan ini boleh berdiri sendiri. Mungkin akar katanya `ban' tetapi perkataan `ban' tidak membawa apa-apa maksud dalam masyarakat Bajau.

Kalau ngemban bermaksud meninggal, temban pula bermaksud tinggal.Ketembanan bernaksud ketinggalan, nimbanan bermaksud ditinggalkan dan sebagainya. Kehidupan ini berjalan terus tetapi sampai satu ketika tiba saatnya kita terpaksa berhenti di satu titik. Titik kematian, yang menghantarkan kita ke negeri satu.

Muli ta laat dembila atau pulang ke negeri seberang menunjukkan bahawa akhirat letaknya di negeri seberang, dalam pemikiran masyarakat Bajau di Pantai Barat Sabah. `Muli ta laat dembua bermaksud pulang ke negeri satu. Bahawa yang kita tuju pada akhirnya ialah negeri yang satu, bukan negeri yang lain lagi.

Memikirkan saat kita berpulang atau tempat kita berpulang memang kadang-kadang menggerunkan. Menggerunkan kerana tanpa sesuatu bekal yang mencukupi,kita mungkin tidak selesa sekiranya tiba ke `kampung halaman itu.

Kematian sekadar pulang ke kampung halaman. Bagi masyarakat Bajau Semporna kematian hanyalah `muli lahat' atau pulang kampung.

 

1 comments so far