DISIPLIN DAN
KESUNGGUHAN PERKARA PENTING DALAM HIDUP
Bagaimana kita
mahu melahirkan pemain bertaraf dunia, kalau keadaan padang kita tidak rata dan
berlubang-lubang?, kata Awal Taham, 32 tahun bergiat dalam bidang kejurulatihan
bolasepak di Sabah. Nama Jurulatih berpengalaman ini tidak boleh dipisahkan
jika kita membicarakan mengenai sukan bolasepak di negeri ini. Menurutnya, keadaan
ini perlu diperbaiki dan pembangunan prasarana perlu ditingkatkan untuk
memajukan bidang sukan di negeri ini.
AWAL TAHAM
dilahirkan di Kampung Kota Peladok pada tahun 1952. Anak bungsu daripada 12
adik beradik ini mendapat pendidikan awal di NVS Merabau, dan kemudian di NVS
Peladok hingga darjah lima. Selepas itu, beliau bersekolah di NVS Pirasan dalam
darjah enam pada tahu 1964. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran menengah di
SM Lok Yuk Likas dalam tahun 1968.
Setelah tamat persekolahan, beliau bekerja sebagai kerani perkapalan di Lembaga
Pelabuhan Sabah sebelum berkerja di Lembaga Letrik Sabah kemudian dikenali
Sabah Electricity Sendirian Berhad(SESB) sehingga bersara pada tahun 2008.
Ketika bertugas di
SESB, Awal aktif dalam Kesatuan Sekerja Lembaga Letrik bermula sebagai Ahli
Majlis Tertinggi hingga terpilih sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Sekerja.
Wartawan UTUSAN
BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN ditemani Pengerusi PIBG SK Likas, Laliman Haji
Ahmad sempat menemubual tokoh sukan ini untuk berkongsi cerita dan pandangannya
mengenai sukan bolasepak. Ikuti petikan temubual dengan beliau pada satu pagi
yang cerah di rumahnya di kampung Likas.
UB: Bagaimana tuan mula terlibat dalam sukan
bolasepak?
AT: Sebenarnya saya mula-mula terlibat dalam
sukan takraw. Ketika berada dalam darjah enam, kami bermain bermain sepak
takraw lawan sekolah Cina, Chung Hwa School di Kota Belud. Tapi kami
kalah.Waktu itu, penyelia sekolah, Cikgu Raskan Asing. Beliau hairan bagaimana
kami boleh kalah kepada murid sekolah cina dalam sepak takraw. Masa itu, kami
tida mempunyai asas dalam takraw, sebab itu setiap sepakan tidak mampu melepasi
jaring. Di kampung, biasanya kami bermain sepak manggis (sejenis permainan tradisi
masyarakat Iranun dan Bajau di Kota Belud), pola permainannya berbeza. Itu
tahun 1964, ketika berada dalam darjah enam.
UB: Lepas itu, berapa lama tuan terlibat sukan
takraw sebelum menceburi bidang bola sepak?
AT: Saya pindah ke tingkatan satu di SM Lok
Yuk Likas tahun 1968. Saya menyambung sekolah setelah empat tahun terhenti. Di
SM Lok Yuk, saya jadi wakil sekolah dalam sukan takraw. Kami menjadi johan
antara sekolah di Pantai Barat. Kami pernah main di Kota Belud lawan dengan
Datu Derin, Iping, pemain-pemain yang terkenal jaguh ketika itu. Mereka tidak
tahu kami pandai bermain takraw. Kami menang. Pasukan kami dianggotai oleh
saya, Haji Jamil Atan dan seorang anak Tebobon, Mumin namanya. Kami juga jadi
juara sekolah-sekolah di KK.
UB: Banyak sukan yang tuan ceburi?
AT: Saya pernah jadi wakil dalam sukan lempar
lembing, hingga ke peringkat negeri.
UB: Bagaimana pula mula terlibat dalam sukan
bolasepak?
AT: Saya bermain bola ketika sudah bersekolah
di Likas. Saya menyertai pasukan bola di SM All Saints. Antara pemain bola
ketika itu ialah Richard Barnes. Kemudian kami ikut pertandingan peringkat
Bahagian Kota Kinabalu.Dalam perlawanan akhir, kami menentang pasukan La Salle. Masa itu saya bermain dalam posisi
penjaga gol. Apabila saya dapat menyelamatkan bola hasil tendangan James Wong,
saya terpilih mewakili pasukan Pantai Barat tahun 1969.
UB: Menarik ceritanya. Lepas itu?
AT: Saya terpilih mewakili negeri dalam
kejohanan Piala Razak tahun 1973. Sama-sama Zahari Zinin, tapi pada saat akhir,
saya tidak jadi pergi kerana faktor usia, lebih dua atau tiga bulan.
UB: Di mana tuan bermain selepas itu?
AT: Lepas itu, saya bermain dengan pasukan
Likas United. Likas United ditubuhkan tahun 1970 tetapi didaftarkan tahun 1973.
Ketika itu saya sudah bekerja dengan Lembaga Letrik Sabah. Kemudian ada satu
pertandingan liga tempatan. Anjuran USNO.
MY Ismail jadi pengurus. Sharif Ismail jadi
penolong pengurus. Semua pemain Likas United bermain mewakili USNO Likas. Kami
mengalahkan pasukan Tanjung Aru dan menang Piala Tan Sri Said, di peringkat
bahagian Pantai Barat dan menang Piala Tun Mustapha di Peringkat Negeri.
UB: Sejak bila jadi jurulatih?
AT: Tahun 1982, saya memperolehi lesen
Jurulatih C dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Pada masa yang sama, saya
mewakili Sabah ke Piala Borneo di Brunei. Pada tahun 1984, saya menjadi
jurulatih penjaga gol.Mahmod Kalong yang menjadi ketua jurulatih. Selepas itu,
terpilih lagi mewakili Sabah dalam Piala Anchor Cup di Sngapura. Seorang lagi
goalkeeper ialah Nicholas Leong. Selepas Khamis Jamil sekolah di Mesir, saya
menggantikannya sebagai penjaga gol.. Saya menjadi pemain dan penolong
jurulatih.
UB: Selepas Piala Razak?
AT: 1985,Saya menjadi jurulatih Sabah untuk
Piala Razak, bawah 18 tahun. Berjaya sampai hingga peringkat suku akhir.
Kemudian pada 1992, saya menjadi jurulatih Piala Milo di bawah 14 tahun. Tahun
1994, saya jadi jurulatih pasukan bawah 14 tahun. Antara pemain ketika itu Dass
Gregory.
UB: Rupanya untuk menjadi jurulatih, perlukan
lesen juga ya?
AT: Sebenarnya pada tahun 1992, saya mendapat
lesen B manakala pada tahun 1995, saya mendapat lesen Pra A. Sebenarnya lesen
jurulatih ini hanya sebagai satu bentuk formaliti saja. Yang penting ilmu
kejurulatihan itu.
UB: Berapa tahun tuan jadi jurulatih?
AT: Saya menjadi jurulatih selama 32 tahun,
sejak 1982. Tahun 1994 juga saya jadi jurulatih Piala Presiden, tahun 1995 jadi
jurulatih sambilan.Tahun 1996, jadi jurulatih penuh hingga tahun 2000. Tahun
2002 hingga 2008, saya off kemudian kembali lagi jadi jurulatih tahun 2008
selama satu tahun. Tahun lepas saya jadi jurulatih penjaga gol, kemudian jadi
konsultan untuk liga perdana.
UB: Selepas itu, apa kegiatan tuan?
AT: Saya terlibat dalam program pembangunan
bola sepak negeri, program Tunas Asas Bolasepak. Tahun 2012, saya terlibat
dalam program pembangunan bola sepak negara di bawah Majlis Sukan Negara (MSN)
yang berpusat di Likas. Terlibat dalam program Mykid Soccer. Tahun 2013, terlibat dalam program pembangunan
bolasepak negara di bawah MSN melatih pelajar dari tahun satu hingga enam.
UB: Apa perbezaan bolasepak dulu dengan
bolasepak sekarang?
AT: Kalau kita perhatikan sukan bola sepak, setiap
kali piala dunia ada pembaharuan. Fifa sentiasa menjalankan kajian untuk
kemajuan bolasepak.
UB: Bagaimana di Malaysia?
AT: Di Malaysia, namanya saja kita berada dalam
era prfesional tapi sebenarnya kita kurang profesional. Satu masa dahulu,
pasukan Malaysia lebih baik dari pasukan Jepun, Korea,Iran, Kuwait, Arab Saudi.
Tapi sekarang mereka lebih baik dari kita. Kerana apa? Oleh kerana mereka
melabur lebih banyak dalam pembangunan sukan kerana ada matlamat. Jepun dan
Korea telah melayakkan diri ke Piala Dunia. Kita tiada sasaran, kita tidak
serius dalam pembangunan.
UB: Menurut pandangan tuan, bagaimana tahap
pembangunan sukan di negeri ini?
AT: Prasarana dan kemudahan sukan di negeri
ini masih belum memadai. Dengan kemudahan sukan, prasarana yang tidak memadai
ini, kita tidak mampu melahirkan pemain bertaraf antarabangsa.Malah mutu padang
kita juga masih rendah, sehinggakan pasukan Queen Park Rangers (QPR) tidak mahu
bermain di Stadium Likas kerana keadaan padang yang tidak memuaskan. Mereka
menghantar konsultan untuk memastikan keadaan padang dilembutkan supaya pemain
mereka tidak tercedera. Kita boleh menyimpulkan bahawa dengan mutu padang, permukaan
padang yang tidak rata, malah berlubang-lubang, saya yakin prasarana sukan yang
begini kita tidak boleh melahirkan pemain yang bagus. Kita boleh katakana
bahawa kualiti padang di stadium yang ada seperti di Stadium Likas, Tawau,
Labuan, Keningau, Sandakan, Kota Belud, perlu dipertingkatkan lagi kualitinya.
Kita boleh
ibaratkan permukaan padang yang baik sama seperti tempat tinggal yang selesa.
Jika tempat tinggal kita selesa, fikiran dan mutu kehidupan kita juga baik.
Sama dengan permukaan padang.Jika permukaan padang kita baik,kita boleh
melahirkan pemain yang baik. Kota mesti pastikan pemain berasa selesa.
UB: Tapi dulu Sabah pernah melahirkan pemain
berkaliber seperti James Wong, Hassan Sani dan sebagainya?
AT: Pemain-pemain seperti James Wong dan
Hassan Sani memang pemain yang baik, yang mempunyai semulajadi.Lagipula keadaan
padang, pada ketika itu jauh lebih baik berbanding sekarang.Malah dulu kelab
dari Hong Kong pernah bermain di Likas kerana keadaan padang yang baik.
Sekarang kita boleh perhatikan, penyelenggaraan padang tiada. Tiada
penyelenggaraan.Prasarana sukan kita kurang memuaskan. Jepun jauh mendahului
kita.Mereka membelanjakan berbilion ringgit untuk pembangunan sukan, untuk
meningkatkan prasarana. Mereka memiliki sekitar 4,000 jurulatih lesen A,
mungkin 5,000 jurulatih lesen B manakala puluhan ribu yang mempunyai lesen C.
Sana sini ada pembangunan sukan hingga ke peringkat akar umbi. Kita ambil
contoh lain, seperti pasukan Chelsea di Liga Inggeris. Pasukan Chelsea, berapa
banyak padang latihannya? Jika dibandingkan dengan kita, kita tidak mempunyai
banyak padang.
UB: Kita tidak punya padang?
AT: Padang tiada. Yang ada padang stadium
Likas, juga tidak memadai. Kita pinjam padang lain seperti padang stadium UMS
untuk latihan.Jadi bagaimana kita maju. Kita lihat bagaimana Sekolah Sukan di
Gambang Pahang, ada dua stadium, 15 padang dengan rumput tiruan.Untuk latihan
saja ada 15 padang di kawasan seluas 185 ekar. Tapi di Sabah, kita dilihat
tidak serius dengan pembangunan sukan. Kita mempunyai ramai pemain yang bagus,
tapi kita tidak mempunyai prasarana yang mencukupi untuk melahirkan pemain
berkualiti. Saya fikir perkara ini perlu diambil perhatian secara serius.
Selain itu,
bayaran untuk jurulatih juga perlu dikaji. Bayangkan kami dibayar RM300
sebulan.Kalau kita profesional, adakah bayaran RM300 itu munasabah untuk
pembangunan bolasepak.
UB: Bagaimana pula peranan ibubapa?
AT: Ibu bapa juga mempunyai peranan penting
dalam menggalakkan anak-anak mereka dalam sukan, apa saja jenis sukan.
Pengorbanan ibu bapa penting. Sukan tidak mengganggu pembelajaran, malah ia
boleh membantu kecemerlangan pelajar dalam pendidikan mereka.
UB: Dari segi pulangan ekonomi pula?
AT: Sebenarnya sukan menjanjikan pulangan
ekonomi yang lumayan. Kita ambil contoh Brazil.Pelaburan utamanya adalah
bolasepak. Banyak sumber pendapatan dijana melalui bolasepak. Mereka melahirkan
banyak pemain profesional.. Kebanyakan sumber pendapatannya dari bolasepak.
Jika kita bandingkan tahap bolasepak kita dengan mereka, kita terlalu jauh
ketinggalan. Seorang pemain profesional di negara kita berpenghasilan antara
RM6,000 hingga RM8,000. Mereka boleh bermain dalam usia 19 hingga 26 tahun.
Sudah tentu mereka boleh mengumpul pendapatan yang banyak. Saya berpendapat,
sukan boleh menjana ekonomi. Tetapi jika kita dapat melahirkan pemain bertaraf
profesional, imbalannya lebih tinggi lagi hingga sampai jutaan ringgit.
UB: Apa masalah lain dalam sukan bola sepak?
AT: Masalahnya kadang-kadang kita tidak dapat
membezakan apa yang dikatakan teknik dan apa yang dikatakan taktikal.Kita tidak
tahu apa itu teknik dan apa itu taktikal. Teknik yang betul barulah kita boleh
alihkan kepada taktikal.Teknik tanpa tekanan, hanya kita dengan bola.Kalau
taktikal, kita gunakan sewaktu berdepan dengan tekanan. Kita perhatikan pasukan
Jepun.Mereka boleh melakukan 15 hantaran dalam pasukan lawan.Ini taktikal.Kita
masih ketinggalan dari segi teknik.Jangan cerita taktikal. Teknik saja kita
masih kurang.
Dalam sukan
bolasepak, ada tiga perkara asas, yang mudah, iaitu hantaran, terima dan lari.
Kalau kita hantar bola, kita terima bola tapi kita tidak boleh lari tidak guna.
Kalau kita boleh hantar bola, tapi kita tidak boleh kawal bola, tidak ada
maknanya. Dalam sesuatu permainan, kita boleh lihat pasukan Jepun atau Korea
boleh membuat 10 hingga 15 hantaran tetapi kita, dalam tiga hantaran bola saja,
kita sudah kehilangan kawalan. Main bola sama dengan lagu.Kalau lagu tiada
irama, ia tidak jadi.Sama juga dengan bola. Kalau permainan , tiada hantaran,
tiada kawalan, ia tidak menjadi. Main bolasepak itu saja, A sampai Z, dalam
waktu 90 minit.
UB: Selain itu, apa lagi yang penting?
AT: Disiplin itu penting.Kita mesti serius
dengan apa saja yang kita buat. Kita lakukan dengan kesungguhan. Kita mesti
tolak diri kita ke depan, self drive atau anjakan paradigm, bagaimana kita mahu
maju. Kita mesti belajar menyerap tekanan. Apabila ada tekanan, kita tercabar,
barulah kita menggunakan taktikal untuk melepasi lawan. Kalau buat sesuatu,
kita mesti serius.
UB: Apa harapan tuan terhadap sukan ini?
AT: Saya berharap agar Kerajaan memperhatikan
dengan serius masalah pembangunan prasarana sukan di negara ini.Kita harap
Menteri Belia dan Sukan yang baru, Khairy Jamaluddin di peringkat pusat, dan
Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan mampu
melonjakkan lagi mutu sukan kita ke tahap yang lebih tinggi lagi.
UB: Oh ya, siapa
idola dalam sukan bola sepak?
AT: Sebenarnya saya tidak mempunyai idola.
Tapi saya meminati Gordon Banks, penjaga gol England yang pernah menyelamatkan tandukan Pele
ketika Piala Dunia.
UB: Kalau boleh tahu, apa agaknya prinsip dan
pegangan hidup tuan?
AT: Yang penting jujur. Apa yang kita lakukan,
lillah hi taala, semuanya kerana Allah.Waktu kita susahpun, kalau kita sentiasa
ingatkan Allah, tidak ada masalah.