SUMBANGAN
BEKAS TENTERA TIDAK BOLEH DIPERKECILKAN
APABILA
ada pihak tertentu cuba memperkecilkan sumbangan bekas-bekas tentera terhadap
kemajuan dan pembinaan negara, beliau melahirkan rasa kesal dan kecewa. Sesiapa
yang tidak pernah berkhidmat dalam angkatan tentera, sebaiknya tidak
mengeluarkan kenyataan yang biadap dan menghina, kata Haji Nordin Abdullah,
seorang veteran tentera yang juga mantan Yang Di Pertua Persatuan Bekas Tentera
Malaysia (PBTM) Negeri Sabah 1991-2006.
Haji
Nordin Abdullah lahir di Kota Belud pada tahun 1946. Ayahnya, Abdullah bin Haji
Nursalih adalah seorang anggota polis manakala ibunya Puan Aminah @ Linang bte
Daud, seorang surirumah. Beliau mendapat pendidikan awal di St James Kudat pada
tahun 1959. Apabila ayahnya ditugaskan ke Tenom, Haji Nordin berpindah ke
Sekolah St Anthony Tenom dan menjadi rakan sekelas Datuk Radin Malih. Tidak
lama kemudian, beliau mengikut keluarganya berpindah ke Papar, dan beliau
bersekolah pula di SM St Joseph Papar. Selepas tamat sekolah menengah, beliau
memasuki perkhidmatan tentera melalui Batalion kedua Renjer pada tahun 1963
sehingga tamat perkhidmatan pada tahun 1974. Haji Noordin mendirikan rumah
tangga dengan Siti Hasnah Haji Ali di Sungai Petani Kedah pada tahun 1972 dan
dikurniakan empat orang anak. Selepas bersara dari perkhidmatan tentera, beliau
menceburi bidang perniagaan dan pernah dipilih sebagai Yang Di Pertua Persatuan
Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sabah selama lima belas tahun iaitu pada
1991-2006. Bagi mengenang jasa dan khidmat baktinya, beliau telah dianugerahkan
pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), Kesatria Mangku Negara (KMN), Pingat
Perkhidmatan Negara (PPN), Pingat Jasa Malaysia (PJM), Pingat Perkhidmatan
Masyarakat (PPM), Pingat Perkhidmatan Awam (PPA) dan Bintang Setia Kinabalu
(BSK).
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual beliau
mengenai penglibatannya dalam tentera, pahit manis perjuangan dan pandangannya
terhadap beberapa isu berkaitan bekas tentera.
UTUSAN
BORNEO: Bolehkah tuan haji ceritakan
mengenai penubuhan 2 Renjer?
HAJI
NORDIN ABDULLAH: Pasukan 2 Renjer ditubuhkan pada tahun 1963 sebaik saja
pembentukan Malaysia. Sebanyak 99 peratus anggota Pasukan 2 Renjer ini adalah
terdiri daripada anak-anak tempatan negeri Sabah yang mula-mula memasuki
tentera. Batalion kedua ini ditubuhkan khas untuk negeri Sabah yang mana
pegawai-pegawainya terdiri daripada tentera British. Pasukan Batalion Pertama
ditubuhkan untuk negeri Sarawak. Sebelum penubuhan 1 Renjer, Sarawak telah
mempunyai Sarawak Renjer.
UB: Dimana pasukan ini menjalani latihan?
HNA: Pasukan ini telah dihantar ke Semenanjung
Malaysia untuk menjalani latihan selama 6 bulan bertempat di Sungai Petani
Kedah dan di Ipoh Perak. Sebaik saja tamat latihan, pasukan ini telah
menjalankan operasi di Sempadan Malaysia-Thai dikenali sebagai Operasi Bambu.
Selepas itu, pasukan ini telah dihantar ke Pulau Sebatik semasa konfrontasi
Malaysia-Indonesia. Kemudian pasukan 2 Renjer itu berpindah ke Kem Lok Kawi
ketika kem itu mula dibuka. Namun pasukan itu dihantar balik ke Semenanjung
untuk menentang pengganas Komunis.
UB: Maknanya Sarawak ada 1 Renjer. Sabah ada
2 Renjer yang kebanyakan anggotanya orang Sabah. Ada pasukan lain?
HNA: Selepas itu, kerajaan telah menubuhkan
Pasukan Batalion Ketiga Renjer terdiri daripada anggota dari Semenanjung,
Sarawak, Sabah sehinggalah pasukan renjer mempunyai batalion kesembilan ketika
ini.
UB: Selepas 2 Renjer, tuan haji pindah ke
mana?
HNA: Saya ditugaskan ke empat renjer selama dua
tahun.Pangkalan kami di Ipoh Perak.
UB: Tuan haji pernah terlibat dalam
pertempuran?
HNA: Sebenarnya ketika berada dalam 2 Renjer dan
4 Renjer, saya tidak pernah terlibat dalam pertempuran. Tetapi ketika ditugaskan
di 7 Renjer, kami terlibat dalam pertempuran dengan pengganas komunis. Kejadian
itu berlaku di kawasan Biawak, di Lundu Sarawak apabila pasukan kami diserang
hendap. Tahun 1972.Seramai 15 orang anggota batalion terkorban iaitu 13 dari Semenanjung
dan dua dari Sabah. Anggota yang terkorban itu ialah Allahyarham Salman dari
Bongawan dan Mendiang Ongging dari Kuala Penyu.
UB: Apa yang terjadi selepas itu?
HNA: Selepas pasukan kami diserang, kami telah
berusaha menjejaki pengganas komunis. Kami dari Kompeni A telah mendapat
maklumat dari orang kampung, orang Iban yang menunjukkan ada kira-kira tujuh
orang Komunis di satu kawasan di Lundu. Antara yang terlibat dalam operasi itu
ialah Sabdin Ghani, Lukas orang Sipitang, Nagatamin, orang Kota Belud dan
Vincent dari Papar. Apabila mendapat maklumat, waktu itu kira-kira jam 4.30
petang, kami terus berangkat ke Lundu menggunakan sampan. Kami mula bergerak
jam 5.00 petang. Kami naik sampan. Kira-kira satu kilometer dari tempat Komunis
itu, kami matikan enjin sangkut.Kami berkayuh supaya tidak didengar oleh
pengganas Komunis. Kami lihat mereka ada sepuluh orang, muda-muda belaka.Kami
lihat mereka baru saja selesai makan.kami tunggu sehingga mereka turun ke
tanah. Kami sampai di sana, kira-kira jam 7.00 petang. Suasana agak
samar-samar. Tidak lama lagi gelap. Bila melihat mereka turun, kami terus
menembak. Dua orang komunis mati. Yang sedihnya, antara pengganas komunis itu,
salah satunya kami kenal biasa. Kerana dia taukeh kedai kopi. Rupanya dia
intelijen komunis. Kami sangat terkejut.Kami mulanya tidak tahu. Selepas
pertempuran itu, kami menunggu hingga jam 7 keesokan harinya untuk mengutip
mayat. Mayat mereka mula membusuk.Kami tunggu helicopter TUDM untuk membawa
mereka ke Lundu tetapi kerana terlampau lama, kami mendapat arahan agar
pengganas komunis itu dikuburkan saja di sana.Menurut maklumat mereka sering
masuk ke rumah orang-orang kampung untuk meminta makanan. Bila keadaan hampir
gelap, mereka bergerak ke Sempadan Indonesia-Malaysia.
UB: Apa pengalaman lain dalam tentera?
HNA: Sewaktu berkhidmat dalam tentera, kami telah
menjalankan operasi mencari dan memusnah di Kedah, Perak, Pahang, hinggalah ke
sempadan Thailand. Kami pernah kehabisan bekalan makanan ketika operasi itu.
Tiga bulan dalam hutan.Oleh itu, kami makan apa saja.Umbut dan apa saja yang
boleh dimakan.
UB: Wah, pernah juga kehabisan makanan?
HNA: Pengalaman tidak makan selama tiga hari tiga
malam kerana kehabisan makanan ketika bertugas menjaga keselamatan negara
adalah satu kenangan yang tidak mungkin dapat saya lupakan
Ketika
itu cuaca tidak baik. Pesawat TUDM tidak dapat mendarat ke kawasan berkenaan
kerana kawasan itu adalah kawasan hitam.Ada pengganas komunis,
Pasukan
saya ketika itu menjalankan operasi dari negeri ke negeri. Bermula dari Kedah,
Perak dan Pahang. Selepas itu, barulah dibenarkan balik ke pangkalan. Ketika
itulah kami kehabisan makanan. Itulah satu pengalaman dalam tentera. Dalam operasi itu, saya pernah hampir
ditembak. Saya ingat lagi, ketika itu, saya sengaja bergerak di hadapan pasukan
kerana kebanyakan anggota kami masih muda. Ketika itu, saya sempat tergamam
apabila melihat muncung senjata Komunis menghala kepada saya. Saya terus beri
isyarat kepada pasukan saya di belakang. Saya hampir mati ketika mengejar
komunis. Bila kami sampai ke tempat mereka, masih ada kesan-kesan makanan
dikubur.Mereka sempat lari ke sempadan.
UB: Tuan haji ada pakai apa-apa? Sehingga
tidak kena tembak?
HNA: Adalah petua orang-orang tua. Kami tidak
masuk tentera dengan dada kosong. Kami ada belajar dan amalkan petua nenek
moyang kami turun temurun.Kebetulan moyang saya orang Iranun.Namanya Daud.Orang
Tua Rauf yang terkenal di Kota Belud itu pangkat moyang saya. Moyang saya,
pernah terlibat dalam Perang Pandasan.Oleh sebab itulah, mereka lari ke Kudat kerana
dikejar orang putih.
UB: Lama juga berkhidmat dalam tentera?
HNA: Saya berkhidmat dalam tentera kira-kira 11
tahun. Saya masuk tahun 1963 dan berhenti tahun 1974.Apabila ada kursus
kenaikan pangkat kepada sarjan, saya mengambil keputusan berhenti.
UB: Mengapa berhenti?
HNA: Kamu tidak tahu kesengsaraan kami dulu.
Ketika itu gaji rendah. Selain itu terpaksa berpindah randah di seluruh
negara.Operasi dalam hutan selama satu hingga tiga bulan. Kadang-kadang tiga
bulan operasi, hanya ada masa dua atau tiga hari di rumah. Kerana itu mereka
tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga.Selain itu gaji tidak berbaloi dengan tugasan yang dijalankan.
Kerana itu, majoriti pasukan anggota renjer yang menamatkan perkhidmatan selama
sepuluh tahun, 15 tahun dan 13 tahun.Mereka ini
tidak mendapat pencen. Keadaannya agak berbeza dengan masa sekarang.
Kini anggota ATM amat bersyukur kerana
kerajaan telah mengambil inisiatif menaikkan gaji mereka.
UB: Menurut pandangan tuan haji, mengapa
bekas tentera masih ramai yang hidup dalam kemiskinan?
HNA: Kita akui sewaktu berkhidmat dulu, mereka
tidak mempunyai banyak masa untuk berurusan. Bagaimana kami berurusan, minta
tanah misalnya. Kadang ada cuti dua minggu balik kampung. Kadang untuk memohon
tanah kami perlu berjumpa pegawai. Tetapi pegawai pula, berkursuslah, sakitlah
dan sebagainya. Itu sebabnya ada di antara bekas tentera tidak punya tanah
sampai sekarang.
Sehubungan
itu, kami menyokong saranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk
Kamarlin Haji Ombi yang pernah mengusulkan dalam sidang DUN agar Kerajaan
Negeri prihatin terhadap nasib bekas tentera dengan member tanah dan rumah
percuma untuk mereka.Kita harap kerajaan beri perhatian yang serius kepada perkara ini.Harap harap Ketua Menteri
tidak menghampakan orang lama veteran dengan member keistimewaan dan kemudahan atas jasa yang telah
dicurahkan.,Saya yakin kerajaan negeri akan membela nasib bekas tentera.
Sedangkan burung pun diberi tempat tinggal, diberi tanah di teluk Likas, inikan
pula bekas tentera yang banyak jasanya kepada negara. Kita berharap kerajaan sentiasa menjaga
kebajikan bekas-bekas tentera yang telah berjuang untuk mempertahankan
keselamatan negara terutama mereka yang pernah bertempur melawan ancaman
pengganas komunis.
UB: Oh ya, apa respon tuan haji terhadap
segelintir pihak yang seolah-olah menidakkan peranan dan jasa bekas
tentera.Misalnya ada pihak yang menafikan pengorbanan Dato’ Temenggung Kanang
anak Langkau yang meninggal dunia baru-baru ini?
HNA:
Saya merasa kesal terhadap tindakan setengah
pihak yang tidak bertanggunjawab mengeluarkan kenyataan menafikan pengorbanan
Dato Temenggung Kanang anak Langkau sebagai wira negara. Tindakan portal yang
dikatakan milik parti pembangkang yang menafikan
pengorbanan mendiang Kanang anak Langkau dengan mengatakannya bukan Her adalah
tidak wajar dan tidak bertanggungjawab sama sekali.Sebagai seorang veteran dan
anggota Renjer di Raja Malaysia, seorang
veteran ATM, saya terguris hati dan terkilan ke atas tindakan portal itu. Ini
satu penghinaan. Saya berasa terpanggil untuk member respon ini setelah terbaca
kenyataan dalam akhbar nasional pada 7 Januari 2013. Penafian terhadap
sumbangan dan pengorbanan Mendiang Datuk Temenggung Kanang anak Langkau sebagai
pahlawan negara adalah satu penghinaan terhadap seluruh veteran Angkatan
tentera Malaysia khususnya Kor Rejimen Renjer Diraja.
Oleh
sebab itu, saya menasihatkan supaya sesiapa yang tidak pernah berkhidmat dalam
angkatan tentera, jangan membuat sebarang artikel yang menyinggung veteran ATM. Atas sumbangannya mendiang Kanang
telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan Panglima Gagah
Berani (PGB). Tidak ramai yang menerima pingat penghargaan dan pengiktirafan
seperti itu. Sehubungan itu, jangan menulis membabi buta dan tidak bertanggung jawab serta menyinggung
perasaan veteran angkatan tentera.
Ketika
itu kami menggadai nyawa kami demi negara. Perjuangan kami untuk mempertahankan
agama, bangsa dan negara.Perjuangan kami tidak semata-mata pasal gaji tetapi
lebih kerana perjuangan demi negara.
UB: Kalau boleh tahu, berapa gaji ketika itu?
HNA: Pada ketika itu kami dibayar gaji hanya 60
ringgit sebulan sebagai rekrut.
UB: Hanya sebesar itu?
HNA: Itu tahun enam puluhan. Hanya sebesar itu,
kecil berbanding profesion lain.Semasa berkhidmat dahulu, ada di antara pasukan
tentera menjalankan tugas operasi semasa menyambut kemerdekaan. Kami tidak
pernah merasa untuk menyambut Hari Kemerdekaan bersama-sama orang ramai seperti
sekarang.
UB: Setelah tamat perkhidmatan, apa yang
bekas tentera lakukan?
HNA: Setelah menamatkan perkhidmatan,
anggota-anggota pasukan balik ke kampung masing-masing.Sebahagian daripada
anggota pasukan ini tidak mendapat sebarang pekerjaan dan ada juga yang tidak
mempunyai tanah untuk mendirikan rumah tempat berteduh.
Sebagai
anggota tentera terutama sekali pasukan infantri hanya diajar cara-cara
berperang dan tugas utama mereka ialah mencari dan memusnah musuh dan
sebaliknya. Ketika zaman dahulu, tidak ada tempat khusus untuk anggota-anggota
menjalankan kursus.
UB: Sekarang kerajaan telah menubuhkan agensi
untuk menjaga kebajikan bekas tentera?
HNA:
Alhamdulillah, ketika ini kerajaan
telah menubuhkan beberapa agensi seperti PERHEBAT dan Jabatan Hal Ehwal Veteran
(JHEV) untuk mendapatkan latihan bagi
bakal pesara yang akan menamatkan perkhidmatan.Bagi anggota-anggota veteran
yang terdahulu, hanya menerima saguhati (gratuiti) iaitu hanya menerima
RM10,000 ke bawah mengikut pangkat masing-masing. Dulu, agak sukar bagi anggota veteran
terdahulu bagi memulakan hidup sebagai orang awam selepas berhenti menamatkan perkhidmatan.
UB: Terima kasih tuan haji kerana sudi
meluangkan masa untuk sesi temubual ini.
HNA: Saya ucapkan terima kasih juga kepada Utusan
Borneo kerana memberi ruang kepada bekas tentera. Sekali lagi saya agak kesal
dan kecewa kerana ada pihak tertentu yang cuba memperkecilkan sumbangan dan
jasa bekas tentera. Saya ucapkan terima kasih kerana beri ruang untuk saya
menyatakan pandangan dan respon kepada kenyataan yang tidak bertanggungjawab
itu.