ROTI
TELUR SATU, ROTI KOSONG SATU
PILIHANRAYA
kali ini dijangka sengit. Lebih sengit dari pilihanraya pilihanraya yang
lepas-lepas, kata kawan saya sebaik-baik kami duduk di sebuah kedai mamak
berdepan Wisma Merdeka. Kalau satu lawan satu, tentu menarik. Tapi kali ini,
rakyat akan pilih mana calon yang terbaik menurut mereka.
Kami
memesan minuman. Saya memesan teh o, kawan saya memesan teh tarik. Roti telur
satu, roti kosong satu. Suasana cerah pada petang itu. Kedai mamak yang
terletak di bawah opis kami memang popular sebagai tempat pertemuan ahli-ahli
politik, peniaga, broker, kakitangan kerajaan,
bank, swasta, pelancong malah orang-orang dari luar KK yang mempunyai urusan di
ibu negeri.
Saya
fikir pilihanraya kali ini banyak bergantung kepada faktor calon, katanya.
Mana-mana parti yang dapat mengemukakan calon yang disenangi rakyat, itulah
yang berpotensi untuk menang. Kalau dikatakan bahawa rakyat akan memilih dasar
perjuangan parti atau program-program yang ditawarkan oleh parti untuk
kesejahteraan rakyat, mungkin itu satu faktor juga. Namun bagi saya, katanya, rakyat
akan melihat siapa calon sebelum mereka memangkah di hari pengundian.
Katanya,
peluang pembangkang untuk menang lebih cerah kalau pertandingan satu lawan
satu. Tapi kalau saingan tiga penjuru, empat penjuru, lima penjuru, BN
senang-senang boleh menang.
Tapi
rakyat sekarang mahu berubah? Saya sengaja menghujahnya. Walaupun berapa
penjuru, mereka akan mengundi calon pilihan mereka. Kalau ramai orang
bertanding, sudah pasti pecah undi. Yang berpecah adalah undi pembangkang, dan
ini akan memudahkan kemenangan BN, katanya kepada saya.
Bagaimanapun,
katanya, agak sukar untuk melihat pertandingan satu lawan satu. Lebih ramai
calon bebas akan bertanding dalam pilihanraya kali ini, katanya. Tidak seperti
pilihanraya yang lalu, dimana ada masa tiga hari untuk `tempoh bertenang’, kali
ini,tidak ada masa bantahan dan nama-nama calon yang bertanding akan tetap
tercatat dalam kertas undi selepas pengumuman calon-calon yang bertanding oleh
pegawai pengurus pilihanraya.
Kamu
mungkin sudah sedia dengan nama nama dan gambar-gambar calon yang dijangka
bertanding, katanya menduga. Kecuali kalau ada calon baru, gambar hampir semua
Yb ada dalam simpanan kami, kata saya. Malah gambar calon-calon pembangkang
juga, sebahagiannya kami simpan, saya memberitahunya sambil menghirup teh dan
menikmati roti canai.
“Kalau
calon Bebas boleh masuk muka depan kah?” tiba-tiba kawan saya itu bertanya.
Mengapa tidak? Semua orang kami berikan liputan yang sama, kata saya menjawab
pertanyaannya. Tapi kalau mahu cepat terkenal, dan dikenali pengundi, buatlah
sesuatu yang luar biasa, maksudnya perkara yang tidak pernah dibuat orang. Itu
pasti keluar muka depan, kata saya sambil memandangnya.
Contohnya?
Antaranya ialah seseorang calon bebas yang belum dikenal boleh menjadi terkenal
jika dia belum dikenali oleh pengundinya. Cubalah naik kuda ke pusat penamaan
undi, kata saya. Sudah tentu ia akan mendapat sorotan media. Pakaikan kuda itu
dengan segala macam perhiasan, lengkap dengan `sariau’ dan sebagainya, kemudian
pakai pakaian tradisi untuk ke penamaan calon, pasti akan menimbulkan minat
masyarakat. Mereka akan beranggapan bahawa calon itu kelak, apabila terpilih
akan bekerja seperti kuda untuk kepentingan rakyat jelata.
Mungkin
calon juga boleh memakai pakaian angkasawan. Pakaian ini menarik, kata saya
kepadanya kerana ia menunjukkan betapa calon mempunyai impian dan cita cita
setinggi angkasa tapi tidak mudah digapai oleh rakyat biasa.
Untuk
menarik perhatian, satu lagi yang boleh dicuba oleh calon bebas ialah memakai
topeng sepanjang perjalanan ke pusat penamaan calon, bagi menimbulkan suspen.
Sudah tentu orang ramai akan mengingat mereka. Mereka boleh buka topeng ketika
memasuki pusat penamaan calon. Cadangan itu membuat kami tertawa. Bagaimana
mahu jadi terkenal dan boleh masuk muka depan akhbar?
Tapi
bukankah banyak orang yang tidak memakai topeng sebenarnya memakai topeng?
Bukankah selama ini mereka menyembunyikan wajah mereka disebalik topeng yang
mereka buat sendiri sehingga rakyat tidak mengenal wajah sebenar pemimpin
mereka. Sehingga mereka salah pilih dan salah undi?
Wakil
rakyat kita sepatutnya bekerja seperti kuda, tidak perlu memakai macam-macam
topeng, tidak perlu juga menjanjikan janji yang muluk-muluk, yang
tinggi-tinggi. Mereka hanya perlu berjejak di bumi nyata dan menepati
janji-janji mereka.
Eh,
mahu ke mana percakapan kita ini?. Kami bangun dan bersalaman kerana semakin
ramai orang yang duduk di sebelah menyebelah, mungkin menyangka kami gila
kerana banyak ketawa.