Isnin, 17 Disember 2012

Kisah Banjir, pakcik Mijat dan perjalanan bersama Sangkura

Tags



"Ini rumah kawanku. Namanya Banjir," kata HA sambil memandang ke arah rumah di tepi jalan di Kampung Lumadan Darat itu.
Banjir?
"Dia diberi nama Banjir kerana dilahirkan sewaktu banjir melanda kampung ini," kata HA. "Nama sebenarnya Jamali Mardi", katanya. Ketika itu kami sedang dalam perjalanan ke rumah Pakcik Mijat.

Sebelum itu, kami singgah sebentar di rumah HA, begitu kami memanggilnya. Beliau lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi dalam dunia kesusasteraan Sabah. Seorang tokoh penulis yang telah menghasilkan lebih seribu buah puisi, dan pernah beberapa kali menang Hadiah Sastera Sabah (HSS) selain pernah juga dianugerahkan sebagai tokoh penyair Islam Sabah.

Di rumahnya, kami sempat dijamu minum dengan sedikit kuih. Sayangnya hari itu, ibunya, Hajah Subiah Sidek, 71,tidak membuat soto kerana hanya pada hari tertentu saja beliau menjualnya. Ayahnya, Haji Usin Ripan, 79, ada di rumah waktu itu. Kami sempat bercerita mengenai peristiwa banjir yang sering melanda Kampung Lumadan. Juga mengenai masjid yang sepatutnya diimarahkan. Sempat juga saya bertanya sedikit apakah sewaktu kecilnya HA seorang yang nakal atau bagaimana perwatakannya ketika kecil.

Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Haji Usin adalah anak kedua dari enam adik beradik. Kini sudah berusia 52. Abangnya meninggal sejurus selepas dilahirkan. Lima adiknya terdiri dari seorang lelaki dan empat perempuan iaitu Hassimah,Hamidah,Rosly,Melati dan Melor. Semuanya kini sudah berusia 40-an kecuali Melor, yang berusia pertengahan 30-an.

Ayahnya Haji Usin Ripan berasal dari suku kaum Murut dari Tenom tetapi dipelihara oleh datuknya sebelah ibu keturunan banjar dan neneknya dari keturunan Dusun. Ibunya pula, Haji Subiah Sidek berketurunan Jawa dari Beaufort. Kerana itu secara bercanda, Hasyuda selalu menyebut sukunya Suku Murja atau gabungan Murut dan Jawa.

Ketika kecilnya, entah kenapa, Hasyuda dipanggil Sangkura atau Sangkura Batu. Sama seperti kanak-kanak lain, Hasyuda sering mandi sungai kerana itu sering dimarahi ibunya. Jika dimarahi ibunya, dia mengadu pada atuknya, Pengiran Abbas Pengiran Hassan.Begitu sebaliknya, jika dimarahi datuknya, dia pulang semula ke rumah ibunya.Tapi seingatnya, dia hanya pernah sekali dipukul oleh ayahnya kerana kenakalannya.

Begitupun dia takut minum ubat. Menurut ibunya, kalau mahu meminum ubat, pipinya terpaksa dipicit untuk dibukakan mulutnya. Kisah-kisah masa kecil itu diceritakan ibunya sambil kami minum teh.


"Dulu pernah juga berlaku banjir tetapi tidaklah seteruk sekarang," kata Haji Usin. Beliau memberitahu perkara itu sudahpun sampai ke pengetahuan wakil rakyat tapi sehingga kini, masyarakat kampung masih menunggu lagi tindakan kerajaan selanjutnya.

Tidak lama kemudian kami sampai di rumah pakcik Mijat. Beberapa anak bermain dengan basikalnya. Sejurus kemudian pakcik Mijat turun mendapatkan kami.

Beliau segera menunjukkan kesan paras banjir di tiang rumahnya. Kesan banjir yang pernah berlaku. Tercatat 7. 2.2011. 
Banjir tahun lalu?
Itu banjir yang paling teruk, katanya sambil memberitahu sebenarnya baru beberapa hari lepas kawasan itu kering. 

"Ini baru dua tiga hari hujan berhenti, ada keringlah," katanya. Jadi dapatlah anak-anak main basikal, katanya. Jika hujan lebat  turun dua jam secara berterusan, kawasan itu pasti ditenggelami air.

Apabila sudah dinaiki air, ia mengambil masa seminggu lebih untuk surut semula, katanya. Keadaan ini sudah lama berlaku, sudah lebih 15 tahun, katanya.

Saya mengeluarkan buku catatan. Siapa nama penuh pakcik?
"Nama saya dalam I/C, Kajat bin wahab. Tapi nama betul saya Mijat bin Wahab," katanya. Beliau berusia 77 tahun.Dulu bekerja sebagai upas di estet Lumadan, dengan gaji 2.70 satu jam.

Sekarang tidak ada pendapatan lagi, katanya. Pokok rambutan habis mati mati. Pakcik Mijat menanam 43 pokok rambutan, tapi kini hanya tinggal satu pokok lagi. 

Katanya, dulu dia boleh mendapat RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Sekarang rambutan tidak pernah berbuah lagi. Pokok durian, yang ada di hadapan rumahnya juga hampir mati, dan tidak berbuah lagi akibat banjir yang selalu terjadi.

Menurut pakcik Mijat, Datuk Sapawi (Ahli Parlimen Sipitang) dan Datuk Kamarlin Haji Ombi (ADUN Lumadan) sudah memaklumi perkara itu.

Bagaimanapun sehingga kini, masyarakat kampung itu terus trauma kerana ancaman banjir yang menjejasakan hidup mereka.

Ayam habis mati, katanya kerana reban dinaik air. Jika hujan, mereka terpaksa mengalihkan kereta ke tempat yang lebih tinggi. Banyak kerugian lain yang dialami. Mereka pernah menerima bantuan, iaitu sekampit beras lima kilo, duit 50 ringgit dan beberapa tin ikan sadin. Selepas itu tak ada tindakan lain.

Apa cadangan pakcik?
"Buka parit supaya air jalan sama sungai perlu dikorek," katanya. Beliau meminta agar parit dibersihkan dan dibesarkan manakala Sungai Lumadan diperdalamkan. 

Banjir teruk itu sering berlaku sejak 15b tahun lalu akibat aktiviti perladangan seperti kelapa sawit tapi pakcik Mijat tidak pernah menyebutnya.

"Kalau hujan dua jam saja, kami sudah bingung," katanya.

Kalau hujan, air naik dari paras lutut hingga paras kepala," katanya. Pernah juga berlaku majlis perkahwinan terpaksa dipindahkan ke Dewan kerana kawasan rumah mereka dinaiki air.

Ada satu ketika, ngam-ngam pengantin datang, banjir berlaku menyebabkan banyak acara pada malamnya terpaksa dibatalkan.

"Pakcik selalu cakap-cakap, ndak kena peduli," katanya. Kalau banjir ada ikan juga pakcik? saya bertanya.
 Ada juga, kata Pakcik Mijat.Dia pernah pasang pukat.Dapat ikan karuk dan ikan keli. Ikan karuk adalah nama tempatan bagi ikan puyuh.

"Tapi walaupun sakit hati, saya undi kerajaan juga," katanya sambil mempelawa kami naik untuk menikmati sedikit minuman.

Dari rumah pakcik Mijat, HA membawa saya ke jambatan, melihat sungai Lumadan yang semakin kecil. Sungai ini tempat kami mandi manda dan berhanyut hanyut, kata Hasyuda.Beliau menunjukkan bekas ladang tempat kegiatan kesenian seperti bangsawan, sandiwara dan pertunjukan kugiran selalu diadakan. Hasyuda masih ingat nama pengurus ladang itu, Mr Robertson.

Kegiatan seni itu selalu dimeriahkan oleh guru-guru di SRK Lumadan dan pekerja-pekerja estet.Biasanya semasa hari gaji, persembahan seni dan pelbagai aktiviti diadakan di Estet Lumadan yang dulunya ditanami pokok getah. (kini Ladang Sawit Lumadan)

Hasyuda menunjukkan panggung tempatnya mula-mula membaca puisi di khalayak ramai ketika berusia sembilan tahun.Waktu itu hasyuda atau nama di kampungnya sangkura batu berada dalam darjah tiga.

Dalam perjalanan pulang itu, kami singgah di Masjid Raudah Kampung Lumadan yang agak sepi. Hanya seorang dua pemuda berada di masjid ketika kami tiba di sana. Kelihatan puluhan tangki 1Malaysia yang belum diagihkan kepada penerimanya.

Azan Zohor dikumandangkan seorang pemuda kampung.Kami cepat-cepat mengambil wuduk.Air paip mengalir agak perlahan. Keadaan tandasnya seperti tidak terurus. Khabarnya keadaan itu sudah beberapa kali ditegur oleh jabatan agama tapi penduduk agak kecewa kerana belum ada tindakan diambil oleh pihak jawatankuasa masjid.


1 comments so far

Murja tu cantik bunyinya Din tetapi kalau Ingus atau Hingus kurang enak bunyinya. hahaha