Rabu, 5 Disember 2012

Amai Shafiq menjolok ayam

Tags



Ketika asyik bercerita dengan Amai Shukri, saya terdengar orang menggoyang-goyangkan pokok.
Hari sudah jam lapan lebih sedikit. Spontan saya berdiri untuk melihat apa gerangan yang sedang berlaku. Biasanya pokok mempelam itu digoyang-goyangkan agar buah yang telah masak jatuh ke tanah. Tapi sekarang musim buah sudah berlalu. Pokok itu digoyang-goyangkan lagi.

Saya melihat Amai Shafiq  memegang galah yang sering digunakan untuk menjolok buah mangga atau mempelam di halaman rumah kami. Kali ini, entah apa yang dijoloknya di malam gelap itu.
Rupanya Ina' juga sedang menyuluh sana sini, yang mulanya saya fikir menggunakan lampu suluh tapi rupanya menggunakan lampu handphone.

Hampir semua dahan disuluhi. Kemudian pokok pokok itu digoyang-goyangkan lagi.Apa agaknya yang dicari?
"Tadi ada dengar bunyi sini", kata Ina'. Ina' adalah panggilan untuk ibu dalam bahasa Iranun. Amai Shafiq bermaksud bapa si Shafiq. Shafiq adalah nama anak sulungnya. Dalam masyarakat Iranun, seseorang yang telah berumahtangga dirujuk menggunakan nama anak sulungnya.Sehingga kadang-kadang kita terlupa nama asalnya.
 "Ada terbang sana tadi?"
"Yang ada di sana tu agak kecil," kata Ina' menunjuk beberapa ekor ayam yang mungkin sedang tidur.Tidur tidur ayam. Ada ayam yang besar sedikit tapi itu milik si Ilham, katanya. Tetapi ayam yang mahu ditangkap itu tak dapat dikesan.
Kehebohan itu berpunca daripada idea Amai Shafiq. Sewaktu dalam perjalanan balik kampung, tiba-tiba timbul ideanya untuk menyembelih ayam kampung. Menurutnya, ayam itu mudah ditangkap kerana tidur dalam reban.
"Malam-malam begini?"
Dulu kan malam juga, sewaktu arwah ayah masih hidup kita pernah sembelih ayam, katanya. Menarik juga cadangan itu, kata saya kepadanya. Padahal, kami baru saja membeli rempah-rempah, bawang, dan sebagainya untuk daging payau yang diberikan kawan Wahid dari Keningau.
Saya geli hati melihat Amai Shafiq yang bersungguh-sungguh menangkap ayam kampung itu. Walaupun tidak berjaya, kami akhirnya terpaksa berpuas hati menyembelih ayam yang kecil untuk dibuat lauk malam itu.
Kami makan begitu berselera pada malam itu. Waktu sudah jam 10.30 malam.Saya pura-pura melupakan pantang makan malam selepas jam 9.00 kerana lauk pauk yang tersedia itu membuat liur meleleh. Ada tobo, kerep, iaitu sejenis kulat yang dimasak campur udang. Ada daging payau yang dimasak oleh Kakak Inai Jamsari. Amai Shafiq memasak sendiri ayam kampung itu. Jadilah semacam pesta kecil. Walaupun Ineng tidak dapat pulang kerana Titin sudah hampir waktunya melahirkan anak manakala si Amai Salsabila pula kerja malam.
Sesekali pulang kampung seperti itu terasa seronok. Ina' komplen  juga kerana tidak memberitahu kepulangan kami lebih awal, bukan hanya untuk membuat kejutan tetapi orang tua itu, sudah menjadi kebiasaannya kalau tahu kami pulang pada jam sekian sekian, beliau sebentar-sebentar menanyakan di mana lokasi kami.
Kalau dulu walaupun ayam ayam itu jinak, kami terpaksa mengejarnya untuk disembelih. Arwah ayah lebih suka kami mengejar ayam itu kerana sewaktu mengejar itu timbul rasa geram dan penat, untuk menjustifikasi perbuatan menyembelih ayam itu. Beliau seorang yang mudah jatuh kasihan pada haiwan, kecuali kalau haiwan itu berbuat salah kepadanya.
Ya, orang membawa galah untuk menjolok buah, si Amai Shafiq membawa galah untuk menjolok ayam. Apabila ayam itu tak dapat dikesan, dia menggoyang-goyangkan pula pokok untuk memberi takut ayam-ayam itu.