PUTERI
UMNO SABAH MILIKI AHLI TERAMAI DI MALAYSIA
“MULA-MULA
sukar mencari ahli.Masuk kampung keluar kampung, buka kaunter di mall dan
kompleks membeli belah, buat kempen keahlian. Tapi orang selalu bertanya apa
manfaatnya jadi ahli Puteri, apa yang kami dapat, selalu mereka bertanya
begitu. Tapi cabaran ini tidak pernah mematahkan semangat kami”, kata Ketua
Puteri UMNO Sabah, Hajah Musliati Muslimin. Bermula dengan ahli yang sedikit
itu, kini Puteri UMNO Sabah mempunyai ahli yang teramai di Malaysia iaitu
54,933 orang.
Hajah
Musliati Muslimin lahir di Sandakan pada 4 April 1973 tetapi membesar di
Kampung Likas. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK St Agnes, Likas sebelum
melanjutkan pelajaran menengah di SM All Saints Likas. Pemegang dua diploma
ini, Diploma Kesetiausahaan dan Diploma Perisian Komputer, kini masih lagi
menuntut untuk ijazah Sarjana Muda di Open University Malaysia.
Beliau
menyertai UMNO pada tahun 1991 dalam bergiat dalam pergerakan wanita.
Bagaimanapun apabila Pergerakan Puteri UMNO ditubuhkan pada tahun 2001, Hajah
Musliati dilantik sebagai Bendahari Puteri UMNO Sabah. Kemudian beliau menjadi
Naib ketua Puteri UMNO Kota Kinabalu dan seterusnya menjadi Ketua Puteri
Bahagian Kota Kinabalu. Selepas itu, beliau menjadi Naib Ketua Puteri UMNO
Negeri pada 2004-2007 sebelum dilantik sebagai Ketua Puteri UMNO Sabah sejak
2008.
Hajah
Musliati telah mendirikan rumah tangga dengan Mohd.Nizam Nazib dan dikurniakan
anak perempuan, Normaisarah Humairah, 6 bulan.
Ikuti
petikan temubual Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN dengan Ketua
Puteri UMNO Sabah,HAJAH MUSLIATI MUSLIMIN
di kedainya di Chili Padi, Alam Mesra
UTUSAN
BORNEO: Boleh ceritakan sedikit pengalaman sewaktu mula-mula penubuhan
Pergerakan Puteri UMNO di Sabah?
HAJAH
MUSLIATI: Sewaktu mula dulu, mencari ahli bukan mudah. Waktu itu saya bergiat
dalam pergerakan wanita. Apabila kita beralih kepada pergerakan Puteri, memang
banyaklah cabaran. Untuk menambahkan ahli, kita terpaksa masuk kampung keluar
kampung...Buka kaunter di kompleks membeli belah dan sebagainya. Untuk mencari
ahli di kampung, cabarannya lebih besar lagi. Kita terpaksa memperkenalkan
Puteri agar mereka diterima. Banyak kekangan dan cabaran. Kita selalu ditanya,
apa dia orang dapat. Apa manfaat yang mereka perolehi jika masuk Puteri, itu
yang selalu mereka tanya.
UB: Ramai juga yang masuk ahli?
HMM: Akhirnya segala rintangan itu dapat
diharungi. Ketika itu, Pergerakan Puteri UMNO Sabah dipimpin oleh Datuk Rosnah Rashid Shirlin (kini Timbalan
Menteri Kesihatan dan Ketua Puteri UMNO Malaysia), telah bertungkus lumus untuk
memperkenalkan Puteri sebagai entiti baru dalam parti. Ramai juga yang excited
mahu masuk Puteri dan bangga dipanggil Puteri.
UB:
Di peringkat awal, apa program yang
diberikan tumpuan oleh Puteri?
HMM: Ketika itu kita menumpukan kepada
program-program kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan. Di peringkat awal
penubuhan Puteri, programnya tidak terlalu politik sebaliknya lebih kepada
kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan.Itu yang kita berikan tumpuan.
UB: Bagaimana sambutan terhadap Puteri sekarang?
HMM: Syukur alhamdulillah, sambutan amat
menggalakkan. Daripada ahli pertama Puteri iaitu Datuk Rosnah, kini Puteri UMNO
Sabah mempunyai hampir 55,000 ahli. Jumlah keahlian Puteri UMNO Sabah adalah
yang tertinggi di Malaysia.Malah sejak beberapa tahun kebelakangan, kita
mencatat pertambahan ahli yang paling ramai. Bayangkan, pada mulanya kita hanya
mempunyai Exco di peringkat negeri.
Terdapat seramai 20 orang Exco Puteri di seluruh Sabah. Waktu itu belum
masuk ke UMNO Bahagian lagi. Kini semua 25 UMNO Bahagian di Sabah mempunyai
sayap Puteri masing-masing. Kedudukan Puteri adalah sama dengan sayap-sayap
UMNO yang lain seperti Wanita dan Pemuda.
UB: Apa peranan yang dimainkan Puteri sebagai
sayap parti?
HMM: Puteri telah memainkan peranan penting untuk
memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya umum (PRU) 2004 dan 2008. Kita juga
banyak membantu dalam pilihanraya-pilihanraya kecil (PRK) di seluruh negara
termasuk di Sarawak. Kita berusaha menjangkau pengundi-pengundi muda khususnya
golongan belia untuk memastikan mereka
terus memberi sokongan kepada kerajaan yang diterajui UMNO dan Barisan
Nasional.
UB: Kalau dibandingkan cabaran dahulu dan
sekarang, apa bezanya?
HMM: Sekarang cabaran lebih besar. Bukan mudah
untuk merekrut ahli baru. Golongam muda sekarang lebih terdedah kepada lalu
lintas informasi. Cuma yang dikesalkan ialah mereka mudah dipengaruhi oleh
tohmahan-tohmahan yang dibuat pembangkang. Alhamdulillah, sungguhpun cabaran
yang diterima lebih besar tetapi masih ramai lagi golongan muda yang dapat
berfikir rasional dan memberikan sokongan kepada UMNO dan BN. Kerajaan juga,
sejak lama telah menunjukkan komitmen untuk menghargai sumbangan golongan muda
ini.
UB: Sejauh mana keyakinan puan terhadap
komitmen kerajaan membantu golongan muda?
HMM: Kita yakin bahawa hanya kerajaan yang ada
sekarang, mempunyai kemampuan untuk membantu golongan muda. sebab itu kita
sentiasa berusaha memberikan kesedaran dan kefahaman kepada golongan muda. Kita
menekankan betapa pentingnya penyertaan golongan muda dan memastikan mereka
maju dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Bagaimanapun, program-program kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan
dan sebagainya, tidak pernah kita abaikan. Kita sentiasa berusaha untuk
memastikan golongan muda memberikan sokongan supaya kerajaan yang ada sekarang
kekal memerintah.
UB: Apa perlunya golongan muda menyokong
kerajaan BN?
HMM: Sebab masih banyak lagi misi dan visi
kerajaan belum terlaksana. Kerajaan BN menyediakan pelbagai program, juga
pelbagi skim bantuan untuk membantu golongan muda. Selain itu, banyak misi
kerajaan membantu golongan muda dari aspek pendidikan dan ekonomi masih belum
tercapai lagi. Golongan muda akan rugi sekiranya program-program kerajaan yang
membawa banyak faedah dan manfaat kepada mereka tidak dapat diteruskan.
Golongan muda perlu banyak pembelaan.kita lihat kerajaan serius membantu
golongan belia dengan menwujudkan dana belia 1malaysia, Skim Rumah pertamaku,
Kad Diskaun Siswa 1Malaysia dan banyak
lagi. Kita yakin dalam pembentangan Bajet 2013, lebih banyak peruntukan
diberikan kepada golongan belia. Kita bberterima kasih kepada kerajaan kerana
prihatin terhadap nasib golongan belia. Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat, prihatin
kepada kehendak dan aspirasi rakyat. Malah di peringkat negeri juga, Ketua
Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman berusaha untuk membantu golongan kaum belia,
wanita dan sebagainya. Kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri telah membanyak
banyak pelabur, yang sudah tentu mampu memberikan banyak peluang pekerjaan
kepada belia misalnya projek pembangunan Terminal Minyak dan Gas di Sabah
(SOGT) di Kimanis dan sebagainya.
UB: Pernahkah juga Puteri UMNO Sabah
menyertai misi antarabangsa?
HMM: Puteri pernah menyertai misi bantuan ke Aceh
selepas tragedi tsunami melanda wilayah itu. Kita ikut membantu mangsa. Selain
itu, kita juga menghantar wakil Puteri UMNO untuk misi membantu mangsa perang
di Afghanistan.
UB: Ada pengalaman tertentu sewaktu di sana?
HMM: Memang banyak pengalaman yang mengharukan
sewaktu menyertai misi antarabangsa. Ketika berada di Aceh, kita lihat
bagaimana rumah ranap, bagaimana orang-orang kehilangan keluarga, suami
kehilangan isteri, isteri kehilangan suami, anak kecil menjadi yatim piatu.
Kita dapat merasakan kesedihan yang mereka alami.Kita dapat melihat bagaimana
keperitan hidup yang dialami, trauma dan sebagainya. Kita lihat betapa mereka
tabah menjalani kehidupan tanpa orang tersayang dan sebagainya. Kini keadaannya
sudah berbeza. Wilayah Nanggroe Aceh Darussalam itu mulai membangun dari
puing-puing runtuhan tsunami.
UB: Oh ya, apa agaknya kenangan yang tidak
dapat dilupakan ketika dalam Puteri?
HMM: Salah satu pengalaman yang tidak dapat
dilupakan ialah ketika menyertai kempen untuk memastikan Datuk Rosnah menang
dalam pertandingan untuk Ketua Puteri UMNO Malaysia. Kita turun padang bukan
saja ke seluruh negara untuk memastikan beliau menang.Kita mahu wakil Sabah
menang dalam pertandingan Ketua Puteri itu untuk membuktikan bahawa kepimpinan
orang Sabah juga boleh diterima.Kita keliling satu Malaysia, satu Sabah
untuk memastikan beliau diterima.Kita
mahu memastikan pemimpin kita diterima sebagai pemimpin negara.Kita mahu
meyakinkan mereka supaya menerima pemimpin Sabah sebagai pemimpin di peringkat
pusat.
UB: Di tengah kesibukan sebagai ahli politik,
ahli perniagaan, keluarga dan pelajar, bagaimana puan dapat membahagikan masa?
HMM: Kita sudah biasa. Keutamaan kepada
keluarga.Kena ada persefahaman antara suami isteri. Bila ada saling faham
memhaami, tiada masalah. Memang ada masa untuk mengadakan program puteri, ada
masa untuk menjalankan perniagaan dan masa untuk belajar, masa untuk keluarga
dan sebagainya.Yang penting kita pandai membahagikan masa.
UB: Apa hobi masa lapang?
HMM: Bila ada masa, saya selalu membawa keluarga
bercuti. Cuma tidak tentu, kalau ada kelapangan, saya selalu bersama keluarga.
UB: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa
untuk Sembang Sabtu Utusan Borneo.
HMM: Terima kasih banyak.