Khamis, 4 Oktober 2012

Aduhai, impian dan harapan anak-anak terhadap ayahnya

Tags

Abah ada bawa buku?
Itulah pertanyaan pertama Ahmad Fawzan sebaik-baik terbangun pagi itu. Itulah juga pertanyaan yang paling saya suka. Fawzan baru berusia enam tahun. Tahun depan, dia akan masuk tahun satu. Dia suka buka.Setiap kali saya balik ke rumah, saya pastikan membeli buku buku cerita untuk mereka. Tapi kali ini, saya agak kelam kabut sehingga terlupa membawa buku.
Saya bersyukur kerana mereka sukakan buku. Semoga mereka akan sentiasa sukakan buku hingga meningkat dewasa. Tiga beradik itu memiliki minat masing-masing. Sitti Mehran selalu berpesan untuk dibelikan Ana Muslim. Fawzan dan Farhan pula suka majalah Sayang Muslim dan Adik Muslim, disamping buku-buku cerita lain, kisah nabi dan sebagainya.
Mereka juga suka menonton program Upin Ipin, Oh My English, dan khusus Fawzan dan Farhan, mereka suka menonton ultraman. Saya cuma khuatir kalau-kalau mereka terikut-ikut ultraman itu, apatah lagi mereka sering menggayakan gaya ultraman dan sebagainya.
Mehran baru saja selesai peperiksaan UPSR. Semoga Mehran mampu meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan itu.
Selepas peperiksaan, dia diberi tugasan oleh guru-gurunya. Terbaru, Mehran mengirim sms bertanyakan mengenai Cendikiawan Dunia. Apakah cendikiawan itu? Mendapat pertanyaan mendadak seperti itu, dan dijawab sambil makan pula, saya menjawab bahawa cendikiawan itu adalah orang terpelajar, bijak, boleh berfikir di luar kotak dan mengetengahkan sesuatu yang baru dalam aspek pemikiran dan ilmu.
Mungkin orang-orang seperti Tun Dr.Mahathir, seperti Mahatma Ghandi, John.F Kennedy, saya menjawab seadanya.
Apakah tokoh-tokoh sains dan tokoh matematik boleh masuk kategori cendikiawan? tanyanya lagi. Apakah orang seperti Abraham Lincoln, seperti Omar Khayyam masuk dalam cendikiawan. Apakah abah juga boleh dianggap cendikiawan?
Pertanyaan itu membuat saya tersenyum. Saya menjawab, sampai masanya nanti, abah akan dimasukkan dalam golongan cendikiawan juga, kata saya, sambil memadam he he he yang saya masukkan dihujung jawapan itu supaya kelihatan serius.
Apakah wartawan boleh dimasukkan dalam cendikiawan? Saya teringat kata-kata Cak Nun, Emha Ainun Nadjib, seorang tokoh sasterawan di Indonesia yang memasukkan wartawan, budayawan, sasterawan supaya golongan semi intelektual.
Saya kemudian menerima jawapan Mehran.Isinya dia memberitahu bahawa dia akan solat dan akan berdoa semoga saya menjadi cendikiawan satu masa nanti.
Aduhai, impian dan harapan anak-anak.Betapa muluknya.