TENGKORAK-tengkorak
itu disusun mengikut usia dan jantina. Lelaki berusia belasan tahun disimpan di
satu tingkat manakala wanita dalam kategori usia yang sama diletakkan di tempat
yang berasingan. Begitu juga lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun, 40 hingga
60 tahun diasingkan di satu tingkat berlainan manakala wanita mengikut kategori
yang sama juga dipamerkan di tempat bersebelahan. Orang tua berusia di atas 60
tahun, lelaki dan wanita juga menempati ruang yang dikhaskan untuk mereka.
Jumlahnya
puluhan ribu. Tengkorak-tengkorak itu disusun dalam stupa peringatan 17 tingkat
di satu tempat bernama Choueng Ek, terletak kira-kira 7 km dari Phnom Penh, ibu
negara Kemboja. Mereka adalah mangsa kekejaman rejim Khmer Rouge pimpinan Pol
Pot yang memerintah Kemboja dalam tempoh empat tahun iaitu antara 1975-1979.
Choueng
Ek terkenal dalam sejarah Kemboja sebagai salah satu daripada 300 padang pembunuhan yang digunakan sebagai
tempat untuk membantai golongan yang dikategorikan `penderhaka negara' oleh
rejim Pol Pot. Di Choueng Ek, terdapat kira-kira 20,000 orang mati dibunuh
dengan kejam. Mangsa-mangsa itu dibunuh dengan menggunakan parang, tombak,
sabit, cangkul, kapal atau apa saja benda yang boleh digunakan untuk memukul
dan membunuh orang. Kemudian setelah dibunuh, orang-orang itu dikuburkan
beramai-ramai dalam satu lubang setinggi enam meter.
Penghujung
Julai lalu, kami mengambil kesempatan untuk berkunjung ke Choueng Ek, bagi
melihat dengan mata sendiri, kesan-kesan kekejaman rejim Pol Pot ke atas
rakyatnya. Perjalanan mengambil masa kira-kira setengah jam dengan menaiki
Tuk-Tuk yang dipandu oleh Sukri. Setibanya di sana, ramai pelancong asing turut
berkunjung menyaksikan stupa peringatan berusi tengkorak manusia dan padang
pembunuhan yang telah mengorbankan puluhan ribu rakyat Kemboja.
Terdapat
129 kuburan massal di tanah seluas 2.4 hektar itu. Sebanyak 86 telah digali dan
diperiksa oleh pakar-pakar forensik untuk menentukan cara kematian mereka.
Sebelum
dihantar ke Choueng Ek, orang-orang yang dituduh `penderhaka negara itu'
terlebih dahulu disiasat,disiksa dengan bermacam-macam cara keji dan kejam di
penjara Toul Sleng atau lebih dikenali S21. Mereka dibawa ke Choueng Ek dengan
mata dan tangan terikat, dalam keadaan lapar dan ketakutan di tengah malam yang
gelap.
Orang-orang
yang digelar `Orang 17 April' itu diangkut menggunakan truk ke Choueng Ek. Mereka digelar "Orang Baru atau Orang 17
April' mengambil sempena tarikh 17 April 1975 iaitu tarikh mula Khmer Rouge
mengambil alih tampuk kuasa di Kampuchea.
Seramai
50 hingga 70 orang diangkut setiap hari ke Choueng Ek. Jumlah ini meningkat 300
orang dalam sehari pada tahun 1978. Truk
mengangkut "Orang-orang 17 April' itu bermula kira-kira jam 6.30 petang
hingga jam 2.00 pagi keesokan harinya.
Sebaik
tiba di Choueng Ek, mereka terus dibawa, dengan tangan digari di belakang,
dengan mata terpejam kemudian mereka dipukul, ditetak, atau dihentak dengan
benda-benda tajam sehingga mati. Satu demi satu.
Oleh
kerana jumlahnya makin ramai, mereka yang tidak sempat dibunuh akan ditempatkan
satu tempat khas hingga malam berikutnya sambil menunggu giliran untuk dibawa
ke `rumah baru' mereka. Sebenarnya, sewaktu dibawa ke Choueng Ek dari S21,
mereka dijanjikan untuk dibawa ke rumah baru, dan ternyata rumah baru yang dimaksudkan
itu adalah kuburan mereka sendiri.
Tak
ada siapapun yang tahu bahawa di sebalik tembok 2.5 meter itu, mangsa-mangsa
kekejaman Pol Pot itu mengakhiri perjalanan hidup mereka dengan cara yang
kematian yang tidak dapat dibayangkan.
Selepas
kedatangan mereka di Choueng Ek direkodkan, mereka kemudian dibawa satu demi
satu untuk menghadapi hukuman. Ketika menghadapi hukuman itu, lagu-lagu
revolusi dan muzik dibunyikan dengan nyaring bagi menghalang raungan, jeritan,
rintihan, tangisan mereka didengar oleh orang lain. Kebanyakan orang-orang yang
dibunuh oleh Pol Pot itu adalah terdiri daripada guru, doktor, peguam, atau
siapa saja yang boleh bertutur bahasa asing, berkulit lembut, memakai cermin
mata dan sebagainya.
Orang-orang
inilah yang ditangkap, diseksa dan dipaksa mengaku kesalahan yang bukan
perbuatan mereka untuk kemudian dipukul dengan cangkul, tombal, kapal, dihentak
dengan benda tajam dan kemudian dilonggokkan di lubang-lubang kubur yang telah
disediakan.
Kami
mengunjungi hampir semua tempat seperti yang ditunjukkan dalam peta Choueng Ek.
Sambil itu, kami berganti-ganti mendengar audio penerangan yang disediakan
dalam bahasa Melayu. Melalui penerangan dalam audio itu kami dapat menyelami
peristiwa yang berlaku di situ kira-kira 33 tahun lalu.
Ketika
Khmer Rouge dikalahkan oleh Tentera Vietnam pada tahun 1980, Pol Pot bersama
orang-orangnya sempat lari ke dalam hutan hingga ke Perbatasan Thailand. Beliau
meninggal pada tahun 1997, dalam usia 82 tahun. Sebelum menjadi pemimpin Khmer
Rouge, Pol Pot sebenarnya adalah seorang guru.Beliau pernah belajar di Perancis
dalam bidang elektronik radio.Bagaimanapun, beliau tidak menghabiskan kuliahnya
kerana terlibat dalam Parti Komunis Perancis.
Kewujudanmu
bukan keuntungan, kehilanganmu bukan kerugian, itulah antara slogan yang
digunakan oleh Pol Pot dalam membenarkan tindakan tidak
berperikemanusiaan.`Mencabut rumput hingga ke akarnya sekali' adalah antara
kata-katanya. Mungkin itulah sebabnya juga beliau tega mengarahkan anak-anak
kecil yang tidak berdosa turut dibunuh bagi mengelakkan mereka membalas dewasa
bila mencapai usia dewasa.
Selepas
mangsa-mangsa itu dibunuh, mayat mereka dilonggokkan dalam lubang dan kemudian
disembur bahan kimia seperti DDT bagi mengelakkannya daripada berbau.
Kami
tidak mampu menahan kesedihan melihat lubang dimana 450 orang dikuburkan. Saya
sendiri tidak dapat berkata-kata melihat kekejaman manusia seperti itu. dalam
satu lubang lain, terdapat 166 orang tanpa kepala ditimbus begitu saja. Dalam satu lagi liang, 100 wanita yang
dibogelkan turut dikuburkan. Di sebelah, satu pokok dibiarkan tumbuh sebagai
saksi bahawa itulah tempat dimana kanak-kanak dibanting sehingga hilang nyawa.
Pakaian mangsa-mangsa ini turut dikumpulkan dan kini menjadi salah satu bahan
yang dipamerkan untuk disaksikan bagaimana orang-orang yang itu mengakhiri
perjalanan hidup mereka.
Setelah
kekalahan Khmer Rouge, Choueng Ek mula digali semula. Lubang-lubang sedalam
lima meter atau 16 kaki itu mula digali
pada tahun 1980, tengkorak-tengkorak dikumpulkan, serpihan tulang-tulang dan
gigi, pakaian dan sebagainya dikumpulkan. Bahkan sampai sekarang, pengunjung
masih boleh melihat serpihan tulang atau gigi atau rambut mangsa, terutamny
abila tiba musim hujan.
Ramai
yang terkorban di Choueng Ek. Antaranya menteri, duta,profesor, doktor, peguam,
golongan terpelajar malah wanita dan
kanak-kanak.Selain itu, terdapat warga asing, kebanyakannya wartawan di bunuh
di Choueng Ek.
Sementara
itu, para petani dipaksa untuk menanam
padi setiap hari supaya pendapatan
negara meningkat tiga kali ganda.Wang yang diperolehi hasil eksport itu
digunakan untuk membeli senjata. Petani-petani yang kurus dan kurang gizi
makanan itu hanya diberikan makanan dua mangkuk bubur setiap hari. Sebenarnya
banyak lagi cerita kekejaman yang berlaku sepanjang empat tahun pemerintahan
Pol Pot.
Empat
jam setelah berada di Choueng Ek, kami meninggalkan tempat yang penuh kepahitan
itu. Dalam buku lawatan yang disediakan, kami mencatatkan betapa Choueng Ek, tempat
yang pahit untuk dikenang.