KALAU
ada satu detik yang boleh membuat jantung penulis-penulis Sabah berdegup lebih
kencang daripada biasa, detik itu ialah pengumuman keputusan Hadiah Sastera
Sabah (HSS) 2010/2012.
Keputusan
HSS 2010/2011 pasti ditunggu-tunggu khalayak sastera Sabah.Setiap kali
keputusan HSS itu diumumkan, selalu ada sesuatu yang mengejutkan.
Kali
ini, buat kali pertama dalam sejarah Hadiah Sastera Sabah (HSS) sejak mula
diperkenalkan 22 tahun lalu, seorang penulis menang dalam tiga kategori
sekaligus. Tiga nama yang tidak pernah terpisah dari senarai pemenang berjaya
mengekalkan reputasi mereka. Sekurang-kurangnya lima nama baru masuk dalam
tinta emas HSS manakala selebihnya adalah personaliti sastera yang terbilang
kerana keunggulan karya mereka.
Penulis
Ruhaini Matdarin, menempati urutan pertama HSS 2010/2011 kerana prestasinya
yang luar biasa. Beliau membuktikan keistimewaan mutu karyanya apabila novelnya
Nisan, terbitan Penerbitan Melur 2011 lebih layak diperakui mutunya berbanding
enam novel lain yang turut dinilai.
Dalam
kategori cerpen, Ruhaini melalui cerpen Emas Hitam (Antologi Emas Hitam, Iris
Publishing & Distributor 2010) terpilih sebagai salah satu daripada sepuluh
pemenang genre cerpen manakala puisinya “Sesedih Aku” yang tersiar dalam Wadah
Jun 2011, tersenarai sebagai salah satu daripada sepuluh pemenang genre puisi.
Sebanyak
331 cerpen telah dinilai bagi memilih sepuluh yang terbaik.Hasyuda Abadi,
sasterawan yang namanya tidak pernah tercicir (kecuali dua tahun lalu apabila
beliau dilantik sebagai salah seorang panel) turut menang dua kategori. Cerpen
Embun di Tapak Tangan yang tersiar dalam akhbar Utusan Borneo membawa tuah
kepada Hasyuda Abadi selain puisinya Perlimbahan Cinta (tersiar dalam antologi
Sutera Kunjungan 2011) menang dalam genre puisi.
A.Karim
Kadir,Juri Durabi,Amini Gawis, ketiga-toganya nya dari bahagian Utara Sabah
turut menang dalam dua kategori. A.Karim Kadir dari Kudat unggul melalui Cerpen Ng Kafak, tersiar dalam
Dewan Sastera April 2010 manakala puisinya Hidup yang tersiar,juga dalam Dewan
Sastera April 2010 turut terpilih sebagai salah sebuah puisi terbaik daripada 900
buah puisi yang tersiar sepanjang dua tahun tempoh penilaian itu.Juri dari
Pitas menang melalui cerpen Tanah Kubur yang tersiar dalam Wadah Jun 2011 dan
puisi Redup yang tersiar dalam Harian Ekspress 28 Mac 2010. Amini, penulis dari
Kota Belud menang melalui cerpen Milik Yang Hilang, tersiar dalam Utusan
Borneo, 30 Januari 2010 dan puisi Sungai Pegalan, tersiar dalam Utusan Borneo,
6 Februrai 2011.
Penulis
hebat yang turut membuktikan keunggulan dalam genre cerpen ialah Azmah Nordin
melalui cerpen Kekasih, tersiar dalam Dewan Sastera September 2010, Yatim Ahmad
melalui cerpen Nyiur Gading Tinggi Menjulang, tersiar dalam New Sabah Times 22
Mei 2011.
Julia
Unggai, yang menulis dari Amerika Syarikat, menang melalui cerpen Sepasang Mata
Biru Sepucuk Pistol, tersiar dalam Utusan Borneo 11 April 2010 manakala antara nama
baru yang menang ialah Lembayung Senja melalui cerpen Internet yang tersiar
dalam Harian Ekspres 24 April 2011.Lembayung Senja atau nama sebenarnya
Dg.Rosnah Ag.Jaafar terpilih buat pertama kalinya sebagai salah seorang
pemenang HSS 2010/2011. Selain itu, Ismi Nailofar atau nama sebenarnya Hadijah
Awang Mahmud menang melalui cerpen Resah Si Kembang Kolam yang tersiar dalam
majalah wadah terbitan DBP Sabah keluaran Jun 2011.
Jasni
Matlani, juga salah seorang maestro sastera Sabah meneruskan keunggulan melalui
puisi Sepetang mengenangmu, tersiar dalam Wadah Disember 2010, manakala Ramli
A.R (Ramli Jusoh) menang melalui puisi Tanah Penangguhan, termuat dalam
Antologi Sutera Kunjungan 2010. Puisi Kaki Hujan karya Pena Alam atau nama
sebenarnya Rita Robert Rawantas turut terpilih sebagai salah satu daripada 10
puisi yang terbaik. Penyair Jair Sulai dari Malubang Pitas menang melalui puisi
Bengkoka, tersiar dalam Dewan Sastera
Oktober 2011 manakala Norawi Haji Kata dari Kota Belud menang melalui
puisi Aku Ingin Menatap Tidurmu yang tersiar dalam Dewan Sastera Oktober 2011.
Hanya
dua daripada 40 buah esei yang tersiar di akhbar dan majalah sepanjang 2010 dan 2011 layak menerima hadiah
sebagai pemenang HSS. Raymond Majumah melalui esei bertajuk Sejarah Datuk
Jamdin Buyong dan Perjuangan Menerusi Kumpulan Ada dalam Tiada menang genre Esei dan Kritikan. Sementara
itu, Lokman Abdul Samad juga mendapat pengiktirafan melalui esei bertajuk Yang
Indah dan Bermanfaat dalam Sastera Rakyat, yang tersiar dalam Wadah Mac 2011.
Menurut
siaran akhbar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sebagai penganjur
hadiah paling berprestij itu, Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Sabah akan
diadakan pada 21 September 2012.
Hadiah
Sastera Sabah yang diadakan sejak 1990 adalah salah satu bentuk penghargaan dan
pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan para penulis Sabah, khususnya
dalam penghasilan karya yang baik dan bermutu untuk bacaan masyarakat.
Hadiah
dwitahunan untuk karya terbaik penulis Sabah ini dibahagikan kepadaa beberapa
genre sastera seperti novel, cerpen, drama, esei dan kritikan dan puisi.
Hadiah
Sastera Sabah mengambil kira karya penulis-penulis Sabah yang diterbitkan dalam
tempoh dua tahun iaitu tahun 2010 hingga tahun 2011, untuk dinilai dan
seterusnya dicalonkan sebagai penerima Hadiah Sastera Sabah.Penilaiaan karya
oleh panel penilai dibuat berdasarkan genre novel, cerpen, esei/kritikan dan
puisi.
Sementara
penulis yang menang hadiah HSS 2010/2011 tidak sabar lagi menanti masa
penyampaian hadiah itu, penulis-penulis lain mempunyai masa dua tahun iaitu sepanjang
2012 dan 2013 untuk membolehkan karya mereka dinilai pada sesi penilaian yang
akan datang.