Sabtu, 14 Julai 2012

Permainan Yang Aneh, kata Jasni Matlani

Tags

Bila-bila masa dalam tempoh sembilan bulan dari sekarang, `Permainan Yang Aneh' itu, pasti akan tiba. Penyair Jasni Matlani dalam puisi yang disiarkan tahun 2002, mengulas `permainan yang aneh' itu dalam puisinya yang menarik.

'Sebaik saja tiba di gelanggang yang kami
rentangkan. Kumpulan pemain itu pun mengeluarkan
tin-tin kosong dari saku mulutnya dan genggaman
tangan hatinya.Mereka mengikat tin-tin itu pada tali
dan menggantungkannya pada leher.Mereka pun memalu
dan mencanang tin-tin itu ke seluruh kampung, sehingga
gemercing bunyi nyaringnya dengan gema menukik
ke batas-batas hutan yang jauh.Tidak ada siapa yang bertanya
tentang tin-tin itu, sehinggalah ia kehilangan bunyinya
dan kehilangan gemanya.Tetapi semua orang telah pergi.
Tin-tin itu bergulingan di atas tanah dan membuang dirinya.
Adakah musim lain? tanya seseorang.Dan para pemain
itu sekali lagi muncul pada kesempatan lain dan bergemalah
bunyi tin-tin kosong yang buruk dan berkarat.Ada yang
berteriak, permainan yang aneh itu telah tiba....
-Dewan Sastera, September 2002

Bagi Jasni, penyair Malaysia kelahiran Beaufort Sabah ini, permainan yang aneh itu melibatkan kumpulan pemain yang mengeluarkan `tin-tin kosong dari saku mulutnya'  Pemain-pemain itu mengikat tin-tin itu dan menggantungkan pada leher dan kemudian memalu dan mencanangnya ke seluruh kampung.

Bagaimanapun, penyair  dalam puisinya yang ditulis  10 tahun lalu memberitahu bahawa , tiada siapa pun yang bertanya tentang tin-tin itu sehingga ia hilang dengan sendirinya.Orang tidak mempedulikannya kerana tahu bahawa kumpulan itu hanya mencanang tin-tin kosong, tin-tin yang hanya hanya berisi angin.
Setelah semua orang pergi, kata Jasni, tin-tin itu bergulingan di atas tanah dan membuang dirinya.
Sehinggalah seseorang bertanya `Adakah musim lain? tanya seseorang.Barangkali seseorang seperti kita. Kumpulan pemain itu kemudian muncul lagi dengan bunyi tin-tin kosong, kali ini tin-tin kosong itu buruk dan berkarat.

Bahawa permainan yang aneh itu telah tiba, barangkali semua orang yang berada dalam gelanggang, mahupun yang menonton permainan aneh itu sudah tahu. Mereka mungkin memungut tin-tin kosong yang buruk dan berkarat itu lagi, untuk kemudian memalu ke seluruh kampung.

Mengeluarkan tin-tin dari saku mulutnya, sungguh satu perbuatan yang aneh.Mereka mengikat tin-tin itu pada tali dan menggantungkannya pada leher.Berkeliling kampung, memalunya, mencanang hinggakan bunyinya yang nyaring terdengar ke batas-batas hutan yang jauh.

Anehnya tidak ada siapa yang bertanya tentang tin-tin itu sehingga ia kehilangan bunyinya dan kehilangan gemanya.Orang-orang membiarkan tin-tin itu bergulingan di tanah.Cuma yang lebih a neh lagi, ialah ada orang yang bertanya, apakah ada musim lain, permainan yang aneh itu akan dimainkan lagi.

Kata orang, bila-bila masa dalam tempoh sembilan  bulan dari sekarang, permainan yang aneh itu akan tiba.

2 comments

Artikel yang menarik.
Blog abdnaddin sememangnya banyak memuatkan artikel2 yg menarik, bahkan sesuai dijadikan rujukan dlm banyak hal. Justru itu saya harap sdr abdnaddin masukkan gadget "search" pd blog ini agar mudah followers mencari kembali topik2 yg diingini pada pos2 terdahulu.
Selamat Berpuasa dan Selamat Maju Jaya

Terima kasih Pak Runa atas apresiasi. Selamat berpuasa. semoga satu waktu nanti kita dapat bersua di Kunak. salam
terima kasih