PERCAKAPAN
DI BAWAH POKOK MANGGA
Sementara
menunggu tibanya waktu untuk acara kenduri arwah, kami sengaja duduk di bawah
rimbunan pokok mangga.Sesekali angin bertiup agak sepoi menghalau hawa panas
yang seolah-olah terhenti di atas ubun-ubun kepala.Hari itu adalah kenduri
arwah bapa, yang dua tahun sudah, meninggalkan kami dengan segala kerinduan
kami kepadanya.
Sambil
mengenang keperibadian beliau, kami terhenyak kerana tidak ramai di antara kami
anak-anaknya yang dapat mencontohinya.Banyak teladan yang ditinggalkannya,
semoga kami dapat mengutipnya.
Di
kalangan masyarakat, di antara para sahabat dan keluarganya, beliau dianggap
sebagai seorang pakar bahasa, tokoh seniman, budayawan,tokoh adat,
penulis,orang yang sering dimintai nasihat, dan pendapat, juga seorang khatib
di mimbar masjid yang mengarang sendiri khutbah Jumaatnya.
Beliau
telah pergi ke alam yang lain walaupun kami sentiasa merasakan kehadirannya.
Seperti pada petang itu, di bawah pokok mangga, sembari menunggu kehadiran
tetamu, kami bercerita banyak kisah mengenai beliau.
Tidak
seperti orang lain, bapa menjadi teman kami berbicara, duduk mengelilingi meja,
bertukar-tukar pendapat atau cerita lucu, memberikan pedoman dan panduan,
seorang yang bersikap demokratik walaupun sesekali menggunakan kuasa veto
terhadap kami anak-anaknya.
Seorang
lelaki, harus serba boleh untuk dinamakan lelaki, katanya satu hari. Di laut,
boleh menjadi nelayan, di darat, boleh jadi petani, di masjid boleh menjadi
imam, disuruh berpantun boleh berpantun, disuruh mengaji boleh mengaji, dan
sebagainya, tetapi jika berbuat jahat, jangan panggil saya bapa, tegasnya.
Kalau
mata lebam atau kalau kaki patah, tidak apa apa jika untuk mempertahankan
kebenaran dan keadilan.Jangan buat kacau atau mengganggu orang, beliau selalu
mengingatkan kami. “Kalau bapa dengar kamu dipukul atau dipenjara kerana menipu
atau mencuri, bapa tidak akan mengaku kamu anak bapa,” katanya memperingatkan.
Berbuat
baiklah sebanyak-banyaknya. Jika mahu membantu, bantulah betul-betul.Jika mahu
menghantar orang, hantarlah hingga ke depan tangga, jangan membantu setengah
jalan, katanya.
Tidak
perlu beritahu garam itu masin rasanya, atau gula itu manis.Semua orang tahu
garam itu masin, gula itu manis.Falsafah beliau ini sangat berkesan dalam
kehidupan kami selanjutnya.
Di
bawah rimbunan pokok mangga yang mulai berbuah itu, kenangan silih berganti
terhadap arwah bapa. Saya yang paling rasa terpukul kerana sewaktu beliau pergi
itu, saya sedang dalam perjalanan melalui hutan Kalimantan.
Padahal
sebelum itu, beliau memberikan beberapa isyarat tapi kami lambat memahaminya.
Beliau seolah tahu telah mendapat panggilan, hanya menunggu masa dan ketika.
Hanya
setelah bapa tiada, kami yang duduk di bawah pokok mangga ini menyedari betapa
banyak yang telah diberikannya kepada kami. Barangkali juga kepada masyarakat,
keluarga dan rakan-rakannya.
Di
kalangan masyarakat, mereka kehilangan seorang tokoh seni dan budaya, seorang
yang selalu diminta mengetuai rombongan majlis peminangan, seorang yang selalu
dirujuk kerana kedalaman ilmu dan kebijaksanaan fikirannya dan sebagainya.
Kami
teringat pesan pesan kebaikan yang perlu diamalkan untuk menjadikan kehidupan
lebih bermakna dan mulia. Ketika ini, kiranya bagaimana harus kami menyatakan
saat-saat ingin berdoa. Di bawah pokok mangga, yang beberapa waktu dulu
ditanamnya kini mulai berbuah.
Angin
bertiup perlahan-lahan mengitari kami. Waktu berputar.Daunan akan gugur ke
tanah.Kami tahu hidup akan terus berubah dan mengalir.