MENCARI SAHABAT SEJATI
ADA SAHABAT KAMBING BUJANG,ADA SAHABAT ANAK HARIMAU
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
Dari Tanjung Pinang, kami ke Pekan Baru, Riau. Salah satu tujuannya ialah ingin berjumpa dengan Pak Tenas Effendy. Sayang sekali kerana sesampainya di sana, kami diberitahu, Pak Tenas waktu itu sedang berada di Kuala Lumpur. Pak Tenas adalah seorang tokoh budaya dan pengkaji bahasa Melayu yang terkemuka. Saya teringin untuk bertanya beliau mengenai konsep dan pengertian sahabat dalam konteks masa kini. Apa pandangan beliau terhadap makna sahabat dalam dunia sekarang ketika perjalanan kehidupan turut dipengaruhi oleh media sosial seperti facebook, twitter, skype, blog dan sebagainya.
Dalam buku Ungkapan Tradisional Melayu Riau, yang merupakan koleksi orang-orang tua di daerah Riau, yang dikumpulkan oleh Pak Tenas Effendy, terdapat ungkapan Melayu Tradisional mengenai sahabat. Ungkapan tradisional adalah salah satu warisan budaya Melayu yang amat tinggi nilainya.
Di dalam ungkapan terpantul dan tercermin nilai-nilai luhur masyarakatnya, sebagai refleksi nilai budaya yang berpijak dari agama, kepercayaan yang mereka warisi turun temurun, kata Pak Tenas dalam buku yang terbit tahun 1989 itu. Buku terbitan DBP itu adalah sesuatu yang amat berharga.
Ungkapan tidaklah dapat secara semena-mena ditafsirkan menurut makna harfiah, kata Pak Tenas lagi.Tetapi haruslah menukik dengan meniliknya dari berbagai-bagai sudut yang melatarbelakangi atau yang berkaitan dengan ungkapan itu. Katanya, sebuah kata dari satu ungkapan dapat menganding berbagai-bagai penafsiran yang amat luas. Penafsiran sebuah ungkapan secara sewenang-wenang akan menimbulkan kekeliruan yang amat fatal dan menyesatkan.
Saya tertarik dengan ungkapan Melayu tradisional mengenai sahabat, apa yang dapat dikatakan sahabat, jenis-jenis sahabat, tabiat dan perangainya dan sebagainya. Terdapat 12 kategori sahabat dalam ungkapan Melayu Riau ini.
Pertama Sahabat Kanti. Apa yang dikatakan sahabat kanti itu? Sahabat Kanti menurut buku ini ialah kawan semangkuk sepiring makan, kawan sebantal seketiduran, kawan sebaya sepermainan. Sahabat Kanti itu `bagai kuku dengan daging, bagai air dengan tebing, bagai ikan dengan air'. Sungguh hebat sekali gambaran yangt diberikan mengenai Sahabat Kanti ini. Kawan yang ke hulu sama ke hulu, ke hilir sama ke hilir, satu sakit dua terasa. Apa yang dikatakan Sahabat Kanti ialah `yang tahan berpahit-pahit, yang koyak tampal menampal, kalau condong sokong-menyokong'. Betapa hebatnya `sakit tidak disebut, mati tidak diungkit, salah tidak ditimbang, hutang tidak dibayar. Sahabat Kanti `bagai seibu seayah kandung, bagai kulit dengan isi, bagai lukah dalam air, itulah kawan yang dicari'. Kawan yang dicari ialah kawan sempit kawan berlapang,gentingnya tidak memutus,simpul tidak terungkai lagi.
Jenis sahabat yang kedua ialah Sahabat Sepenggalah. Apa yang dimaksudkan Sahabat Sepenggalah itu? `Kasihnya berbatas-batas, sayangnya berhingga-hingga, ada buah sama dijolok, buah habis galah dibuang'. Alangkah malangnya, setelah buah habis dijolok, galahnya dibuang.
Ketiga Sahabat Kambing Bujang. Bersahabat seperti kambing bujang ini maknanya `kalau tidur sama sekandang, kalau makan ke tengah padang, kalau berbini tanduk menanduk, beradu kuat dengan keras, lupa kandang, lupa padang'. Kerana asyik beradu kekuatan, sehingga terlupa kandang dan padang.
Jenis sahabat yang keempat ialah Sahabat Cerdik Buruk. Sahabat seperti ini `yang bodoh, dibodoh-bodohkan, yang penakut dipelesi, cerdiknya cerdik mengena, piuh kacang hendak memanjat, piuh jering hendak berisi, piuh pilin mengeringkan. Sungguh satu gambaran mengenai sahabat yang suka mengambil kesempatan terhadap orang lain.
Jenis sahabat yang kelima pula ialah Sahabat Injab Lukah. Walaupun lukah semakin jarang ditemui sekarang tetapi sahabat seperti ini tetap masih ada, iaitu sahabat `dari muka bermanis-manis, kalau masuk badan terkurung',
Bagaimana pula jenis sahabat yang keenam iaitu Sahabat Anak Harimau? Orang Melayu lama mengungkapkan sahabat seperti ini ialah `selagi kuku belum tumbuh, selagi taring belum menyorong, dapat dibawa bermain-main', Tapi `kalau kuku sudah runcing, kalau taring sudah menyiung, kulit tebal dicakarnya kepala keraspun dikerkahnya.
Jenis sahabat yang ketujuh ialah Sahabat Burung Tiung. Burung Tiung hanyalah dapat meniru orang `begitu orang, begitu awak, tak tahu untung sendiri".
Ungkapan Melayu tradisional juga mengenal apa yang dikatakan sebagai Sahabat Kukur.Ini jenis sahabat yang kelapan. Antara Sahabat Kukur ialah Karutnya karut mengena, soraknya sorak berisi, kelapa jua yang binasa. Bagai durian dengan mentimun, bagai kain buruk dengan onak, siapa datang siapa kena.
Kesembilan Sahabat Burung Hinggap. Sahabat burung hinggap hanya menjadikan `dahan dibuat tempat tidur'. Apabila hari siang, dahan diberak, terbang tidak berbalik lagi.
Jenis kesepuluh ialah Sahabat Hulu Keris. Ungkapan lama mengatakan `bagai hulu keris dengan matanya, hulu molek ukir berukir, ditengok dipegang orang, tuah terletak di matanya jua.
Kalau hulu keris ada, Sahabat Sarung Keris juga ada. Ini jenis sahabat yang kesebelas. Sahabat jenis ini ialah sarung pelindung mata keris, tempat diam tempat bertedu, luarnya bertatah-tatah,dalamnya luka-lukaan,sekali keris tercabut, sekali sarung teriris, sekali keris tersarung, sekali sarung tersayat.
Sahabat Kedua belas pula ialah Sahabat Umpan Kail. Sahabat Umpan Kail ialah yang sedia bertungkus-lumus, yang sedia membuang nyawa, yang tak menyebut-nyebut jasa, awak binasa orang kenyang, kail juga yang disebut orang.
Saya sangat tertarik dengan ungkapan Melayu mengenai sahabat seperti yang dibukukan oleh Pak Tenas Effendy ini. Mungkin jenis sahabat ini juga perlu ditambah lagi jika kita mahu menggambarkan realiti dunia sekarang.Apa yang dinamakan sahabat fb? Apa yang dinamakan sahabat politik? Maafkan saya kerana tafsiran semena-mena dan sewenang-wenang ini, Tapi masih ada lagikah yang dinamakan sahabat sejati? Sahabat Kanti itulah yang kita cari.
Jumaat, 18 Mei 2012
Mencari Sahabat Sejati, ada sahabat kambing bujang, ada sahabat anak harimau
✔
abd naddin
Diterbitkan 11:56 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)