Sabtu, 5 Mei 2012

Catatan tentang buah pedada

Tags


BUAH PEDADA TERTINGGAL DI DALAM  PANTUN

KETIKA seorang rakan di alfisbuki memperlihatkan lima biji buah pedada yang dibawanya pulang dari Kampung Air, Brunei, ramai orang yang tiba-tiba terkenangkan kisah lama. Buah pedada adalah sebahagian daripada dunia kanak-kanak mereka ketika mandi di tepi sungai atau ketika mencari lokan nun jauh di kampung sana. Buah yang rasanya kelat dan masam itu, jika dimakan bersama sambal belacan atau bilis atau ambuyat, sangatlah enak rasanya, membuat kita terliur untuk merasanya.

Tetapi kini buah pedada, yang satu masa dahulu, sangat akrab dan tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan masyarakat, kini semakin pupus. Bahkan ketika rakan kami mengeposnya di laman buku wajah, ramai yang berkata baru pertama kali melihatnya. Ramai juga orang yang berkata sudah lama tidak berpeluang menyantap buah pedada, yang dahulunya, tumbuh di pinggir-pinggir sungai, biasanya di kawasan air payau.

Di Semenanjung, kata Prof. Datuk Dr.Zainal Kling, buah pedada hanya tertinggal dalam pantun. Jarang sekali ditemui. Dalam pantun-pantun Melayu lama terdapat beberapa buah pantun mengenai buah pedada.

Buah pedada di dalam puan,
bawa orang dari Jawa,
Hati mesra denganmu tuan,
bertimbang badan dengan nyawa.

Buah manggis buah pedada,
ditaruh orang atas lemari
biar keris datang ke dada,
saya tidak memungkir janji.

Buah mangga di dalam celapa,
buah pedada dibuat laksa,
yang muda menyapa yang tua,
itulah tanda berbudi bahasa.

Pantun-pantun mengenai buah pedada itu, biasanya dihubungkan dengan budi bahasa, dengan keteguhan memegang janji, kesetiaan, yang bukan saja menjadi sikap tetapi sudah menjadi sifat orang Melayu. Walaupun ramai yang belum pernah melihat buah pedada, sejenis buah yang hanya tumbuh di paya bakau, tetapi ia masih tetap hidup dalam pantun. Orang Melayu lama banyak mengungkapkannya dalam pantun walaupun ramai juga yang belum pernah melihat apa yang dikatakan buah pedada itu.

Saya teringat sewaktu kecil, di tahun 70-an dahulu, terdapat pokok pedada di Sungai Pintasan. Sekarang saya tidak pasti, apakah masih ada pokok pedada itu di sana, walaupun dahulu saya berhasrat mengajak Prof.Dr.Zainal ke sana tapi tak kesampaian kerana masa agak suntuk.

Dalam ingatan saya, hanya ada  dua pokok saja pokok pedada (sonneratia) yang tumbuh di kuala Pintasan Kota Belud. Di kalangan masyarakat Iranun , pedada disebut pidada , dan boleh dimakan begitu saja dengan garam dan belacan. Kalau pokok itu mati maka satu lagi kosakata bahasa Melayu akan hilang. Dan buktinya, di semenanjung, buah itu hanya tertinggal dalam pantun Melayu.

Pokok pedada tidak asing lagi di kalangan penduduk kampung di Sabah, Sarawak dan Brunei. Pokok ini dianggap sebagai agen penghalang hakisan, buahnya yang  berbentuk seperti kubah masjid atau gasing, boleh dimakan, mempunyai rasa yang masam, sangat enak dijadikan ulam dan boleh di buat sambal. Menurut cerita, di Semenanjung buah pedada dibuat sebagai dodol, dan mempunyai khasiat tersendiri kerana ia dipercayai mampu membakar lemak badan yang berlebihan. Di sesetengah tempat, pokok ini sering menjadi tempat hinggap kunang-kunang sehingga gemerlapan di waktu malam.

Masyarakat kita, sama ada yang tinggal di Kampung Air, Brunei, di Sarikei, di Simunjan, di Sungai Padang Papar, di Sungai Pintasan Kota Belud, di Rampayan sudah tentu amat mengenali buah pedada. Bagaimanapun, banyak pokok yang telah ditebang, banyak sungai yang telah musnah atas nama pembangunan. Sistem ekologi kita telah tercemar.Udara yang kita hirup tidak lagi segar kerana banyaknya pokok ditebang dan ditumbangkan.

Hanya setelah manusia dilanda tragedi seperti tsunami, hakisan, tanah runtuh dan sebagainya, barulah orang terfikir untuk menanam semula pokok-pokok seperti bakau dan sebagainya. Biarkan ikan tinggal di sungai, biarkan burung tinggal di hutan.

Dang Nila memangku puan,
buah berembang buah pedada,
adakah gila bagimu tuan,
burung terbang dipipiskan lada?

Jangan dipipiskan lada, kalau burung masih terbang, risau pula akan rugi akibatnya.