Isnin, 19 Mac 2012

Mat Congo, Rumah Ladang dan Kenangan Lama di Membakut

Tags





MAT CONGO, RUMAH LADANG DAN KENANGAN LAMA DI MEMBAKUT

"DIA memang nak tunggu aku," kata Bang Mat. Dia yang dimaksudkannya itu adalah sebuah rumah lama di Estate Membakut. Rumah ini seperti menunggu saya pulang, kata Bang Mat. Di depan tangga rumah yang kelihatan masih berdiri gagah itu,Bang Mat menitiskan air mata. Beliau terkenang masa kecilnya ketika tinggal dan bekerja di ladang itu.

Bang Mat atau nama sebenarnya Muhammad Haji Salleh mengajak saya ke rumah lama itu.

"Dulu tak ada pokok kelapa sawit," katanya yang datang bekerja di Membakut ketika usianya 14 tahun. Tahun 1961.Ketika itu, yang ada hanya ladang getah, kata seniman dan pelakon terkenal yang lebih dikenali sebagai Mat Congo itu.

Beliau mengimbas semula masa lampaunya ketika mula sampai ke Membakut, dibawa oleh salah seorang bapa saudaranya untuk bekerja memotong getah. Pakciknya,Jaafar Haji Salleh waktu itu bekerja sebagai mandor.

Pada usia semuda itu, Bang Mat sudah merantau ke Sabah, berjauhan dengan keluarganya di Batu Pahat Johor. Beliau bekerja sebagai penoreh getah. Saya bertanya mengapa bin mereka sama, iaitu sama-sama dibinkan kepada Haji Salleh?

"Nama bapa saya Ibrahim," katanya memberitahu. Tetapi ketika mendaftar di Jabatan Pendaftaran masa itu terjadi sedikit kekeliruan. "Kerani bertanya kepada bapa saya `Siapa nama bapanya?' Terus dijawapnya `"Haji Salleh' kerana menyangka yang ditanya ialah nama ayah kepada Ibrahim,iaitu Haji Salleh padahal sebenarnya kerani itu bertanyakan namanya.

"Itulah sebabnya saya dibinkan kepada atuk saya iaitu Haji Salleh," katanya. Sambil melihat rumah itu, Bang Mat menceritakan semula kisahnya datang ke Sabah. Walau masih kecil ketika itu tetapi dia dapat mengingat semua kedatangannya ke Baitam, iaitu tempat letaknya estate Membakut, masih teringat kerja rutin memotong getah. Selain itu pula, bang Mat ingat bagaimana susah dan sukarnya kehidupan ketika itu. Menanak nasi dengan ikan kering dan sebagainya.

Kalau Bang Mat ke Pekan Membakut, bagaimana pula? Saya bertanya.

Dulu kami jalan kaki saja ke pekan Membakut. Waktu itu kan nda ada kereta, katanya. Waktu itu jalan tidak sebaik begini. Beliau kemudian menunjukkan laluan yang mereka gunakan dan akhirnya membawa saya ke Pekan Lama Membakut. Terlihat deretan kedai lama yang berusia,lebih seratus tahun. Dulu sederet kedai telah musnah akibat kebakaran. Sekarang tinggal sederet lagi dan di seberang laluan keretapi, terdapat dua deret kedai lama, yang membayangkan berapa Membakut dulu makmur dengan hasil ladang getah.

Pekan Lama Membakut itu boleh menjadi salah satu warisan sejarah yang berharga. Ia menyimpan sejarahnya yang tersendiri sama dengan pekan-pekan lain seperti Weston, Bongawan, Kinarut, Kimanis dan lain-lain.

Menurut cerita Membakut berasal dari perkataan "Bakut" yang bermaksud "Kota" manakala perkataan "Mem" adalah kata perbuatan yang apabila digabungkan "Membakut" bermaksud "Membuat Kota'. Membakut kini telah menjadi sebuah daerah kecil seluas 132.8 km meliputi 38 buah kampung. Kebanyakan penduduknya bekerja bercucuk tanam sebagai petani, nelayan, penoreh getah, kelapa sawit dan sebagainya. Masyarakatnya berbilang kaum iaitu suku kaum Brunei, Kadazan, Dusun, Paitan, Kawa, Bisaya dan lain-lain.

Sambil makan soto di sebuah kedai orang Jawa di pekan lama itu, pekan yang didirikan sekitar 1898, saya bertanyakan pengalaman yang dilalui bang Mat, yang tiba-tiba dipanggil `Om' oleh orang-orang yang menyapanya. Panggilan `Om' itu melekat kepadanya kerana pernah berlakon dalam satu telemovie `Orang Kita' bersama Ampal.

Setelah bekerja beberapa tahun Membakut Estate, kata Bang Mat, beliau berpindah ke Estate Mawao juga memotong getah, salai getah dan sebagainya. Tahun 1963, kalau tak silap Kemudian beliau berjalan kaki ke Lumahat. Dari Lumahat beliau berjalan kaki lagi ke Beaufort.Dari Beaufort beliau berjalan kaki ke Jempanga "Tidur rumah kawan, pinjam duit, baru pergi Melalap, "katanya lagi.

Di Melalap, bang Mat bekerja sebagai penoreh getah. Beliau tidak turun menoreh hanya kalau hari hujan.Waktu sebegitu digunakannya untuk turun ke pekan. "Aku tunggu kereta PWD menumpang ke Tenom," katanya. Sampai di Tenom, beliau melihat ada pengambilan rekrut. Sebelum itu, di Beaufort, beliau telahpun mengikuti temuduga itu tetapi gagal kerana `timbangannya ringan, belum cukup berat". Beliau bernasib baik kerana dipilih sebagai askar 2 Renjer.

Ketika menghadiri temuduga itu, beliau ditanya mengenai `Kira-Kira' ." Kalau 5 campur 20, saya tahu jawapannya 25. kalau tolak lima, jadi 20. Tapi kalau 20 bahagi empat, aku nda tahu tu," katanya sambil tertawa lucu mengingat waktu temuduga itu. Tapi nasib menyebelahinya, beliau lulus bersama beberapa orang yang lain.

Setelah lulus dan kembali ke Melalap, beliau tidak datang kerja kerana bersiap-siap. Apabila ketidakhadirannya disedari oleh pengurus, Tuan Steel memanggilnya. "Kenapa tidak kerja? You Malas?" "Aku beritahu dia, aku diterima jadi tentera". Orang Putih itu gembira dan menyuruh bang Mat berjumpa ketua kerani untuk ambil upah. Setelah ditolak, beliau masih mempunyai baki hutang. Tetapi orang putih itu memberikannya RM100 sebagai galakan bang Mat menjadi askar dan berkata kini sudah sampai masanya "you jaga you punya negeri".

Pada tahun 1965, beliau bersama rakan rakan barunya seperti Jamal, Amparang dan lain-lain bertolak ke Kepayan sebelum dihantar naik kapal laut ke Woodland Singapura. Hanya satu malam di sana, beliau kemudian menjalani latihan di Ipoh. Sebagai anggota 2 Renjer, beliau telah bertugas di beberapa tempat di Tawau, Ulu Selangor, ke Labuan, pada 1969 balik ke Lok Kawi,kemudian ditumpangkan ke bahagian perisikan pada 1980, bertugas di Mes Pegawai. Setelah bertugas selama 15 tahun dalam perkhidmatan tentera, beliau bersara pada 1981. Banyak pengalaman dalam tentera, katanya, tapi itu nanti kita cerita waktu yang lain.

Sewaktu berkhidmat dalam tentera itu,gelaran Mat Congo melekat pada namanya. Ceritanya pada masa itu, teralu ramai askar yang bernama Mat. Ada lebih sepuluh Mat. Ada bermacam-macam Mat.Semua dipanggil dengan nama Mat Misai, Mat Panjang dan sebagainya. Tiba gilirannya, beliau ditanya Mat apa? Oleh kerana pegawainya, pernah berkhidmat di Congo, maka beliau memanggil bang Mat dengan nama Mat Congo, nama yang melekat kepadanya hingga sekarang.

Ketika masih berkhidmat dalam tentera, betsama Askar Melayu,beliau pernah menyanyi bersama Allahyarham Seniman Agung P.Ramlee, Latifah Omar, Saloma Seniman AK Jailani dan sebagainya, Beliau sempat menjelajah ke seluruh negara mengisi tabung tentera. Bersama Askar Melayu juga , bang Mat pernah menyanyikan pelbagai lagu, termasuk lagu Hindustan yang popular dalam filem sangam. Sebelum bersara, beliau menjalani masa peralihan di RTM selama enam bulan. Di sana, bang Mat menjadi DJ Sambilan Mari Ke Pesta.

Selepas menghidu peluang yang lebih besar dalam industri hiburan, bang Mat nekad menjadi promoter artis dan berulang alik antara Kota Kinabalu-Kuala Lumpur-Jakarta, dan mendatangkan penyanyi-penyanyi terkenal Indonesia untuk membuat persembahan di Sabah. Antara penyanyi yang pernah dibawanya untuk membuat persembahan di Sabah ialah Lydia Kandou, Benjamin S, Mus Mulyadi, Endang S.Taurina, Betahria Sonatha, Ros Kasumadewi, Iis Sugianto,Ernie Johan. "Itu semua rakan saya," katanya sambil mengakui hubungannya dengan penyanyi Mus Mulyadi agak rapat. Tapi sekarang. Mus Mulyadi khabarnya tidak dapat melihat akibat penyakit kencing manis.

Perjalanan hidup bang Mat atau Mat Congo memang masih banyak yang boleh ditulis. Beliau seorang personaliti yang terkenal. Beliau pernah berkhidmat dalam tentera, dengan pelbagai tugasan dan menjayakan misi Negara, pernah berlakon, pernah membuat persembahan di seluruh negara, dan salah seorang yang berjasa dalam industri hiburan di Sabah dan kini masih aktif. Selain itu, bang Mat telah melahirkan generasi yang berkualiti, anak-anaknya berjaya ke pengajian tinggi, dan mencipta kerjaya masing-masing.

Itulah yang diceritakan kepada saya oleh Bang Mat ketika kami berkunjung ke rumah lama di Estate Membakut itu.Rumah yang membawa banyak nostalgia kepadanya.Beliau teringat rakan-rakannya ketika menjadi penoreh getah, Wak Sakimin, pak Sarpan, dan ramai lagi. Beliau masih ingat ketika berjalan kaki ke Lumahat, Beaufot,Jempanga, Melalap sebelum menjadi anggota 2 Renjer dan kemudian selepas bersara, menjadi salah seorang personaliti seniman yang terkenal di negeri ini. "Rumah ini seperti menunggu saya pulang," katanya ketika kami berkunjung ke Membakut.Beliau amat teruja kerana rumah itu masih kekal gagah dan tidak dirobohkan. Beliau bersyukur kerana masih berpeluang melihat dan berkunjung ke rumah lamanya itu. Air matanya menitis terkenang kisah lama.

2 comments

Assalammualaikum saudara.. mau tanya bah.. mana suda aa Saudara Mat Congo ni?? huuhhu.. rindu pulak mau tgok cerita dia ni belakon sama Saudara Abu Bakar Ellah..huuuuu

Bah mana suda sambungan cerita ni...
Bila diGoogle ni saja cerita mengenai Mat Congo..btw terima kasih blogger