Sabtu, 26 November 2011

Jaafar Alam, menulis sejak 70-an

Tags

Bila mula menulis bang?

"Lama, ndak ingat sudah," katanya. Dalam tahun-tahun 70-an, ketika dunia kesusasteraan di Sabah tumbuh subur, Jaafar Alam bersama Nasir Manaf, Suari Lahi, Junaidah Sunoh.

"Malah Tan Sri Sunoh Marso sendiri juga kami menulis.Beliau kami punya Sifu" kata Jaafar kepada saya ketika kami duduk di sebuah kedai mamak di Api-Api Centre.

Ketika itu beliau sedang duduk sendirian dan bercadang pulang ke Lahad Datu selepas menghadiri mesyuarat DPBS di Kota Kinabalu.

"Dulu abang menulis apa?" saya bertanya kepadanya. Walaupun lebih dikenali sebagai aktivis, Jaafar juga sebenarnya terlibat dalam dunia penulisan.

Beliau lebih banyak menulis puisi, dan menulis berita.

Satu hari, beliau ingat kata-kata Emin Madi ketika beliau berkunjung ke pejabatnya,"Jaafar, kau ingat, bakul sampah saya besar di Ofis. Saya tengok intro, kalau ndak ngam, saya buang," katanya mengingat kata-kata Emin, yang menjadi perangsang kepadanya untuk menulis lebih baik.

Nasihat dan kata-kata yang dilontarkan oleh Emin, yang pada waktu itu Ketua Editor, sebuah syarikat suratkhabar tempatan, mendorong Jaafar untuk menghasilkan tulisan yang berkualiti, agar tulisan atau karyanya itu tidak dimasukkan ke dalam bakul sampah oleh Emin.

"Terus terang, kata-kata Emin itu membuat saya untuk menulis lebih baik lagi," katanya.

Selain menulis, Jaafar juga aktif dalam kegiatan seni. Ketika berada di ibu negeri, beliau ingat,pada waktu itu, antara rakan-rakannya dulu ialah Amin Muin, Lokman Sunggim, Ismaily Bungsu, Joidin Jahim dan ramai lagi.

"Walaupun tidak lagi aktif menulis, tapi saya terus bergiat dalam dunia sastera. Sering hadir dalam seminar-seminar, bengkel dan pertemuan penulis sekiranya ada masa yang terluang," katanya.

Kini Jaafar menjadi Pengerusi Badan Bahasa dan Sastera (BAHASA) Lahad Datu.

"Apa kegiatan abang selain terlibat dalam aktiviti basa dan sastera?"

Jaafar mengakui beliau juga seorang aktivis sosial.Beliau sentiasa merasai denyut nadi masyarakatnya. "Saya suka terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan," katanya. Untuk itu, beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Lahad Datu, Ahli Lembaga Pengarah PENGASAH (Persatuan Nelayan Negeri Sabah), dan juga Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS).

Bukan itu saja, Jaafar juga terlibat dalam persatuan sukan seperti SAFA, Malah beliau pernah menjadi Naib Pengerusi SAFA Bahagian Tawau, Pengerusi Safa Lahad Datu, Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Sabah (ASTAKA) Lahad Datu, Persatuan Taekwondo dan sebagainya.

Jaafar Alam dilahirkan di Tambisan pada 20 Jun 1951. Kini beliau menumpukan kerjaya dalam perniagaan. Namun minatnya dalam aktiviti kesusasteraan, kesenian dan kebahasaan tidak pernah luntur.

Di celah-celah kesibukannya, Jaafar sentiasa menyempatkan diri untuk membaca buku walaupun tidak serajin dahulu.

"Saya minat semua jenis buku terutamanya buku berkaitan sejarah," katanya yang pernah bersekolah di SK Tambisan.

"Dulu kalau mahu ke Sandakan, terpaksa naik motor (motobot) selama 12 jam," katanya. Sandakan adalah bandar terdekat dari Tambisan, dan kenderaan yang disebutnya `motor' itu tak ubahnya bot nelayan sekarang ini.

Beliau juga menempuh pelbagai kerjaya dalam hidupnya, antaranya kakitangan Jabatan Laut, Kastam dan juga pernah menjadi Setiausaha Syarikat. Dalam bidang perniagaan, beliau terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan.Malah beliau pernah menjual kuih untuk menyara keluarga. Ini semua mengajar saya hidup katanya.

"Keutamaan hidup saya ialah keluarga, baru kerjaya," kata Jaafar lagi yang bertekad untuk terus membantu masyarakat.

Pertemuan dengan Jaafar Alam walaupun singkat tetapi sedikit sebanyak dapat menyingkap kegiatannya dalam penulisan dan kemasyarakatan.

1 comments so far

Sungguhpun baru kini terjumpa dan terbaca artikel ini, harap masih belum terambat untuk mengucapkan terima kasih kpd pengarang kerana sudi mengongsikan suatu slot cerita pengalaman pengarang dan serba sedikit tentang latarbelakang ayahanda saya Hj. Jaafar Alam di dalam blog pengarang. Alhamdulillah ayahanda saya sihat, masih bergiat aktif dengan penulisan dan kegiatan kemasyarakatan seperti yang digemari beliau. Terima kasih sekali lagi.