Telur Itik di Singgora,
Pandan terletak dilangkahi,
Darah titik di Singapura,
Badannya terlantar di Langkawi.
Menurut Pak Djamal Tukimin, pantun ini merupakan pantun tertua yang pernah ditulis dalam kesusasteraan Melayu.Tahun depan, pantun lama ini akan berusia 400 tahun, jika dihitung dari tarikh ia mula dicatat iaitu pada tahun 1612 oleh Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.
Mengapa telur itik di Singgora? Saya bertanya kepada Pak Djamal, sasterawan negara Singapura ketika kami duduk di beranda penginapan kami di Pansor National Park, Bachok, Narathiwat hujung September lalu. Apakah pembayang pantun itu dibuat semata-mata agar ia padan dengan maksud `darah titik di Singapura?. Apakah pantun itu dicipta hanya untuk mengenang kesaktian Tun Jana Khatib, seorang pedagang dan ulama dari Pasai yang dibunuh oleh Raja Singapura kerana kesaktiannya? Peristiwa itu dikatakaan berpunca dari pokok pinang milik sultan terbelah dua akibat perbuatan Tun Jana Khatib membuatkan baginda murka. Sahibul hikayat mengatakan bahawa setelah dibunuh itu, jenazah Tun Jana Khatib tiba-tiba raib dan kemudian ditemui orang di tepi pantai di Langkawi.
Apa hubungan telur itik dengan darah titik Pak Djamal? Apa kaitan antara Singgora dan Singapura? Saya sengaja mengulang pertanyaan kepada tokoh sastera yang pernah memenangi Anugerah Tun Seri Lanang Ke-7, iaitu nama anugerah untuk Sasterawan Negara Singapura. Beliau bukan saja tokoh sastera bahkan Pak Djamal adalah seorang tokoh gerakan dakwah yang terkenal di rantau ini.
Kebetulan Singgora yang disebut dalam pantun itu adalah Songkhla sekarang. Singgora, tidak disangsikan lagi berada tidak jauh dari tempat kami berada ketika itu.Ia adalah sebahagian daripada kerajaan Patani Lama. Singapura pula adalah sebuah pulau yang terletak di selatan Semenanjung Tanah Melayu dan kini sebuah republik. Persoalan Singgora dan Singapura membuat saya berfikir panjang mengenai nasib masyarakat dan bangsa Melayu., yang menjadi bahan diskusi kami pada pagi itu.
Saya melihat betapa bahasa Melayu di Selatan Thai itu makin terancam kedudukannya oleh bahasa Siam. Di sana sini, semua papan tanda tertulis dalam bahasa Siam mungkin akibat daripada dasar Rathaniyom 1939 oleh Pibul Songgram. Bagaimanapun, masih terdapat bahasa melayu tulisan jawi di papan papan tanda di bandar Yala, Narathiwat dan Pattani. Bahkan ketika berada di Pattani saya menerima buku mengenang ulama silam Pattani dalam aksara Jawi.
Bagaimanapun, generasi muda Melayu semakin tidak lancar berbahasa Melayu. Bahkan mahasiswa Jurusan Pengajian Melayu, Prince of Songkla University Kampus Pattani menghadapi masalah kerana kurang mampu berbahasa Melayu. Namun demikian, masyarakat Melayu di selatan Thailand masih kukuh pegangan agamanya. Hampir semua wanita Melayu memakai tudung, iaitu sesuatu yang membezakan mereka dengan wanita bukan Melayu.
Ada perasaan dan semangat untuk menjaga dan mempertahankan identiti kemelayuan mereka.Ia sesuatu yang sangat dibanggakan walaupun mereka tertatih tatih tetapi pelbagai usaha dilakukan untuk memartabatkan semula bahasa dan budaya mereka.
Masalah bahasa dan budaya juga dihadapi oleh masyarakat Melayu di Singapura, kata Pak Djamal. Bayangkan khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa Inggeris walaupun kebanyakan makmumnya Melayu. Semangat keIslaman mereka semakin tinggi tetapi yang agak dibimbangi Pak Djamal ialah mereka akan kehilangan bahasanya.
Beliau pernah menghadiri mesyuarat membincangkan kebudayaan dan bahasa Melayu di Singapura, dan kerana kebanyakan orang bertutur dalam bahasa Inggeris, Pak Djamal secara sinis meminta izin untuk diperbolehkan bercakap dalam bahasa Melayu, sesuatu yang menyentak ahli-ahli mesyuarat itu. Di satu segi, Pak Djamal juga risau menghadapi kemungkinan pupusnya bahasa Melayu di Singapura walaupun minat orang luar terhadap bahasa Melayu semakin tinggi dan sudah mendunia sehingga dipelajari di pusat-pusat pengajian tinggi.
Bahasa Melayu dengan lebih 320 juta penutur kini merupakan bahasa keempat terbesar di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Sepanyol, bahasa Inggeris diikuti bahasa Melayu.
Namun demikian, yang agak mengesankan ialah kerinduan masyarakat Melayu di Singapura terhadap rasa berbangsa, identiti dan budaya mereka. Setiap menjelang Ramadan, sebanyak 2,000 gerai dibuka di Geylang Serai, yang dulunya sebuah penempatan Melayu. Jumlah itu agak luar biasa banyaknya dan orang Melayu Singapura rindukan suasana sebegitu.
Satu lagi fenomena yang ada sekarang ialah setiap hari cuti, warga Melayu Singapura menyeberang tambak untuk mencari suasana kampung di desa-desa di Semenanjung. Merekalah yang memenuhi rumah-rumah inap desa di setiap hujung minggu. Mereka merindukan suasana perkampungan Melayu, rindu ayam berkokok, rindukan semua yang berbau Melayu. Itu adalah salah satu trend masyarakat Melayu di Singapura sekarang.
Yang agak membimbangkan Pak Djamal ialah masyarakat Singapura yang semakin plural itu menyebabkan bahasa Melayu semakin terpinggir, walaupun ia masih salah satu bahasa rasmi di Singapura, dan lagu kebangsaan Singapura juga masih dalam bahasa Melayu. Perdana Menteri Singapura sendiri, Lee Hsein Loong dikatakan mampu berbahasa Melayu dan menulis jawi dengan baik, bahkan sering mencicipi makanan melayu di rumahnya.
Telur itik di Singgora, pandan terletak dilangkahi, saya fikir bukan sekadar pembayang pantun. Mungkin pada waktu dahulu banyak itik di Singgora, barangkali kerana terdapat banyak tasik atau danau tempatnya berenang dan bermain sehingga orang dulu menghubungkan Siinggora dengan telur itik. Mungkin juga untuk mendapatkan telur itik, pandan terpaksa dilangkahi, yang menunjukkan bahawa itik mempunyai tabiat bertelurnya sendiri.
Darah titik di Singapura, badannya terlantar di Langkawi, saya fikir sekalipun pantun ini merujuk kepada Tun Jana Khatib yang mati dibunuh di Singapura tetapi jasadnya ditemui di Langkawi, maksud pantun ini memberikan tafsiran yang sangat luas. Tun Jana Khatib mati kerana difitnah atas kesaktiannya. Benar, darah titik di Singapura, kata pantun yang kini berusia 400 tahun itu, tetapi belum tentu bahasa dan budaya Melayu mati disana.
Sabtu, 8 Oktober 2011
Telur itik di Singgora, darah titik di Singapura
✔
abd naddin
Diterbitkan 1:53 PG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 comments
Asal usul saya orang Pattani. Kampung saya di Teluk Manuk di mana terdapat masjid Wadi Hussin. Rencana ini sangat menarik. Tkasih
Takut singora tu sebenarnya singapura. tun jana khatib mayat dia hilang lepas kena bunuh. Pasai dengan singgora tak jauh kena lintas satun. Langkawi plok di tengah tu. Lagipon kurun ke 15 singapura masih bernama temasik. Wallahua'lam.
Tuan2 sila rujuk peta geografi Singgora/Sokhla. Ada tasik yang besar di sana. Justeru aktiviti penternakan itik semestinya maju dan besar di sana dulu hinggakan mashyur hasil telur itik dari Singgora di seluruh nusantara. Inu yang terdetik dalam fikiran pencipta pantun ini.