Selasa, 4 Oktober 2011

catatan pertemuan dengan dr sahlan dan prof rahman shaari

Tags



SAYA tidak menyangka Prof.Dr.Sahlan Mohd.Saman sudah berada di Kota Kinabalu ketika beliau menghubungi saya petang itu.Kami berjumpa di Restoran Taufik di Kampung Air kerana beliau bercadang untuk ke Kudat, memancing bersama Jair Sulai. Kami sempat minum bersama sebelum kereta yang ditumpanginya melaju menuju utara Sabah.

Prof. Dr.Sahlan kini mengajar di Universiti Brunei Darussalam. Mantan dekan Fakulti Pesuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini sudah bertugas di Brunei sejak beberapa tahun lalu. Selepas bersara dari UKM, beliau menggunakan masanya untuk mengajar dalam bidang kesusasteraan bandingan di UBD pula. Dalam dunia kesusasteraan Malaysia, Dr.Sahlan lebih dikenali sebagai penulis esei dan pengkritik.

Saya fikir beliau antara tokoh sastera yang menguasai ilmu sastera bandingan, satu bidang pengajian yang banyak diajar di pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini. Dr.Sahlan lahir  pada 3 November 1949, di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Parit Enam, Sungai Besar, Sabak Bernam dari tahun 1957 hingga 1959.  Seterusnya beliau bersekolah di National Type Primary School, Sabak Bernam pada tahun 1960.  Sahlan memulakan persekolahan menengahnya di National Type Secondary School dari tahun 1963 hingga 1967.  Tamat persekolahan, Sahlan mengikuti kursus perguruan di Maktab Ilmu Khas, Kuala Lumpur selama tiga tahun (1971-1973).

Selepas beberapa tahun mengajar (1973-1978), Sahlan menyambung pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1974 hingga lulus Sarjana Muda Sastera.  Dengan ijazah yang dimiliki ini, beliau ditawarkan menjadi tutor di universiti yang sama sebelum berangkat ke Filipina dan menuntut di Department of English and Comparative Literature di University of Philippines, Quezon City bagi memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dari tahun 1979 hingga 1980.  Sekembalinya ke tanah air, Sahlan ditawarkan jawatan pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu, UKM.  Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Malaya pada tahun 1992 dengan disertasi yang berjudul “Novel Perang Filipina, Indonesia dan Malaysia: Satu Kajian Perbandingan”.

Sahlan pernah bekerja sebagai kerani untuk beberapa ketika.  Apabila tamat kursus, beliau mengajar di Sekolah Menengah Kem Terendak, Melaka. Kini, beliau merupakan Profesor di Universiti Brunei Darussalam.

Bagaimanapun kunjungan beliau kali ini, hanya untuk misi memancing ikan di Kudat sambil menemui rakan-rakan penulis Sabah. Di Kudat, beliau sempat bertemu dengan Jair Sulai, Saik Dalwis, Mastari Kanjabun dan Karim Kadir.

Keesokan harinya beliau kembali ke Kota Kinabalu dan sempat bersembang-sembang dengan Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah, Sukor Haji Usin, dan Ketua Dua IPS, Abd.Naddin Haji Shaiddin yang juga wartawan Utusan Borneo. Dr.Sahlan sempat memberikan beberapa pandangan untuk membangunkan sastera Sabah, misalnya mencadangkan diadakan konsep mentor dan mentee yang boleh diadakan dimana penulis mapan membimbing penulis yang muda secara berterusan. Dengan ini diharapkan ia dapat membina penulis muda yang mampu melahirkan karya yang bermutu.

Beberapa hari sebelum itu, kami juga sempat bertemu dengan seorang lagi tokoh kesusasteraan Melayu, Prof.Rahman Shaari, yang secara kebetulan berada di Kota Kinabalu kerana mempunyai tugasan dalam program penyiaran. Prof Rahman lebih dikenali sebagai penyair, walaupun beliau juga seorang penulis esei, novelis dan cerpen yang terkenal.

Rahman menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Guar Nangka, dalam tahun 1956 hingga darjah lima dan menyambung persekolahan darjah enam di Sekolah Kebangsaan Oran.  Pada tahun 1962 beliau memasuki Sekolah Menengah Derma, Kangar hingga lulus tingkatan tiga.  Dengan keputusan yang baik beliau terpilih ke Sekolah Alam Shah, Cheras, Kuala Lumpur pada tahun 1965.  Di sekolah ini, Rahman mengikuti aliran sains hinggalah ke tingkatan lima.  Seterusnya beliau memasuki tingkatan enam, aliran sastera pada tahun 1968 di sekolah yang sama.

Rahman mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1970 hingga 1971.  Dalam tahun 1973, setelah mengajar di sekolah kebangsaan di Pahang dan di Kedah dalam jangka masa setahun, Rahman memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan mengikuti kursus di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM).  Pada tahun 1977, Rahman lulus Ijazah Sarjana Muda Persuratan.  Selepas itu Rahman kembali mengajar dan kali ini beliau ditugaskan di Sekolah Menengah Syed Sirajuddin, Jejawi, Perlis dari tahun 1977 hingga 1979.

Pada tahun 1980, beliau bertugas di Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran sebagai pegawai kurikulum yang mengawasi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.  Tiga tahun kemudian, beliau kembali ke UKM, bertugas sebagai tutor di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) sambil melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana.  Setelah memperoleh Ijazah Sarjana Persuratan (1986), Rahman Shaari bertukar ke Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.  Di sini, Rahman bertugas sebagai pensyarah bagi Kursus Kaedah Pembelajaran Kesusasteraan Melayu.  Pada tahun  2000, beliau menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.

Sewaktu menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Rahman bergiat dalam bidang drama di bawah bimbingan Noordin Hassan.  Ketika Noordin Hassan mementaskan drama muzik “Bukan Lalang Ditiup Angin”, Rahman dilantik sebagai penolong pengarah.  Drama ini dipentaskan pada tahun 1970 di MPSI dan di Balai Budaya, DBP pada tahun 1971.  Sewaktu di maktab itu jugalah puisinya yang pertama, berjudul “Buka Bicara” tersiar dalam majalah Dewan Sastera, April 1971.

Sejak itu Rahman terus menghasilkan karya dalam pelbagai bidang – sajak, cerpen, novel, skrip drama dan esei.  Sehingga kini beliau telah berjaya menerbitkan empat buah kumpulan puisi, iaitu Hamparan Kuning, Kesan Kunjungan, Serpihan Diri dan Melati dan Bahang.  Cerpen-cerpennya pula  terkumpul dalam Gangguan, manakala antara novelnya ialah Mufarakah, Luluh Peraba dan Burok.

Setelah menjadi pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Rahman mula meminati bidang bahasa dan mula menulis esei tentang gaya bahasa dan tatabahasa untuk majalah Pelita Bahasa.  Pada tahun 1986, Rahman berpeluang menyertai Kursus Teater Pendidikan di Universiti Warwick, England.  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga pernah menghantarnya menyertai Program Penulisan Antarabangsa, di Universiti Iowa, Amerika Syarikat, pada tahun 1991.

Rahman Shaari pernah memenangi tempat pertama Peraduan Menulis Esei Sastera antara maktab-maktab perguruan pada tahun 1971.  Selepas itu, Rahman sering memenangi hadiah yang lain sebagai tanda kejayaannya dalam bidang kesusasteraan.  Pada tahun 1975, beliau memenangi Peraduan Menulis Sajak UKM.  Pada tahun 1976 pula, puisi beliau berjudul “Hamparan Kuning” dan “Giliran” memenangi Hadiah Karya Sastera.  Pada tahun 1977, beliau memenangi hadiah pertama Sayembara Esei/Kritikan Sastera anjuran DBP.  Dalam dekad 1980-an Rahman juga pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia, iaitu pada tahun 1982/1983 dan 1986/1987.

Beliau sering diminta memberi ceramah dan bimbingan kepada penulis -penulis muda.Dalam acara-acara sastera, selain menjadi pembentang kertas kerja, beliau juga sering dijemput untuk mendeklamasi puisi, apatah lagi beliau mempunyai daya tarikan tersendiri ketika memndeklamasi puisi.

Sambil minum di sebuah restoran di Harbour City, Prof Rahman sempat memberikan pandangan mengenai beberapa perkembangan semasa sastera tanahair. Termasuk juga ulasan dan pandangan beliau mengenai penglibatan Pak Samad dalam peristiwa-peristiwa politik baru-baru ini. Kami memang cukup lama tidak bertemu Prof.Rahman. Dahulu beliau sering berada di Sabah bersama Allahyarham Dr.Othman Puteh untuk membimbing penulis-penulis muda di negeri ini.

Pertemuan dengan dua tokoh sastera yang tersohor di tanahair itu, sedikit sebanyak mampu memberi masukan baru untuk mengembangkan dan menyemarakkan lagi sastera tanahair.