Selasa, 16 Ogos 2011

Haji Baharuddin Ab Wahid dan 31 AKMA

Tags


SETIAP hari, sejak 1 November hingga 1 Disember tahun lalu, Tuan Haji Baharuddin Ab.Wahid rajin berfacebook. Setiap malam beliau mencatat dan menulis di dinding fisbuknya.

Saya diantara orang yang sentiasa mengikuti catatannya di facebook, yang meskipun pendek tetapi amatlah bermanfaat untuk direnung bersama.

Sepanjang bulan itu, beliau menulis 31 AKMA. AKMA yang dimaksudkan bukanlah nama wanita yang jelita tetapi ia adalah kependekan Antara Kesilapan Mendidik Anak.

Haji Baharuddin mencatat sebanyak 31 antara kesilapan mendidik anak, untuk direnung oleh rakan-rakan facebooknya.

"Ini adalah antara kesilapan yang pernah saya lakukan termasuk juga kesilapan ibubapa yang saya perhatikan dan fahami," katanya.

Harus difahami bahawa menjadi ibubapa yang baik itu juga bukanlah satu pilihan, katanya. Ia merupakan satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebaik mungkin sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah bahawa isteri dan anak-anak itu adalah amanah yang wajib dipatuhi oleh hamba-hambaNya.

Rupanya Haji Baharuddin yang saya kenali itu bukan sekadar pakar perbankan. Beliau pernah bekerja selama 28 tahun dalam industri perbankan dan pengurusan kewangan sejak 1983. Selain mahir dalam bidang kewangan, Haji Baharuddin juga mahir dalam bidang keibubapaan.

Beliau memiliki ijazah Bachelor in Marketing dan ijazah Master in Business Education daripada Southern Illinois University USA. Selain itu, beliau juga pernah mengajar di UiTM Sabah sebagai pensyarah sambilan selama lapan tahun 1995-2003.

Sejak 2000, beliau menumpukan perhatian terhadap amalan tadbir urus korporat dimana beliau mengelolakan seminar bersama syarikat GLC dan syarikat swasta. Beliau telah melatih lebih 1,000 pengarah syarikat dan syarikat berhad di Sabah. pada tahun 2005, beliau diberi kepercayaan untuk menyusun semula Baitulmal Negeri Sabah yang kini dikenali sebagai Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, ringkasnya PBNS.

Selepas tiga tahun, PBNS mencapai taraf empat bintang dalam Indek Akauntabiliti oleh Jabatan Audit Negara Malaysia.

Untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang adalah harapan semua insan yang berkeluarga, katanya seperti yang dikuti Buletin Al-Jariah Buletin- Semi Tahunan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

"Namun tidak dinafikan untuk mencapai tahap yang cemerlang bukan mudah.Beberapa rintangan, cabaran dan permasalahan yang di luar jangka akan berlaku," katanya sambil menambah bahawa menjadi ibubapa yang baik adalah tanggungjawab yang diperintahkan Allah SWT, yang wajib dilaksanakan sebaik-baiknya.

Tujuan memaparkan 31 Akma ini adalah untuk perkongsian maklumat dengan harapan agar kita sama-sama dapat mendidik anak-anak sebagaimana yang diamanahkan oleh Allah kepada kita, katanya.

31 Akma itu dikumpulkan dan ditulisnya semula daripada catatan-catatan facebook selama satu bulan iaitu sepanjang November tahun lalu.

Akma1
Tidak mengambil kesempatan untuk menjadi kawan kepada anak-anak terutama sekali apabila mereka meningkat dewasa

Akma2
Tidak banyak berdoa untuk kejayaan anak

Akma 3
Tidak mendidik anak-anak untuk menghormati bukan saja ibu bapa mereka tetapi juga kepada semua orang yang lebih tua dari mereka

Akma4
Tiada masa untuk bermesra dan berjenaka dengan anak-anak terutama sekali jika mereka sudah meningkat dewasa

Akma5
Tidak bersama-dama anak ketika anak ada aktiviti di sekolah

Akma6
Tidak banyak berbincang dengan anak-anak mengenai hal-hal agama

Akma7
Tidak suka mendisiplinkan anak-terlalu memanjakan walaupun dalam keadaan yang salah

Akma8
Tidak mengarah untuk bersolat

Akma9
Tidak konsisten dalam memberi teguran atau hukuman kepada anak-anak

Akma10
Tidak menasihatkan anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti kebajikan

Akma11
Tidak membawa anak berbincang dengan perkara yang berkaitan dengan isu-isu moral dan kekeluargaan

Akma12
Tidak bertolak ansur dengan anak-anak walaupun mereka telah melakukan kesilapan yang remeh

Akma13
Tidak melarang anak-anak jika mereka ingin bermalam di rumah kawan-kawan mereka

Akma14
Tidak memberi motivasi tetapi hanya memarahi anak-anak jika mereka memperolehi keputusan penilaian sekolah yang tidak memuaskan

Akma 15
Tidak menggalakkan anak-anak untuk melancong, jika berkemampuan

Akma16
Tidak membuat persediaan atau perancangan berhubung dengan pendidikan anak-anak ke peringkat yang lebih tinggi-kolej atau universiti

Akma17
Tidak memantau pergaulan sosial anak-anak

Akma 18
Tidak memantau sepenuhnya perkembangan anak-anak di sekolah

Akma19
Tidak menghargai sumbangan anak-anak

Akma20
Tidak memberi peluang kepada anak-anak untuk menjelaskan jika mereka telah melakukan kesilapan

Akma21
Tidak bersalaman dengan anak-anak setiap kali dan setiap hari bertemu dan berpisah

Akma22
Tidak memahami budaya anak-anak dan pada masa yang sama tidak mengajar anak-anak untuk memahami budaya dan adat resam keluarga dan orang-orang lama

Akma23
Tidak merestui anak-anak untuk membuat pilihan sendiri

Akma24
Tidak menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak

Akma25
Tidak memantau kerja dan kegiatan pembantu rumah yang menjaga anak-anak di rumah

Akma26
Tidak menggalakkan atau mengajak anak-anak untuk menghadiri program atau aktiviti-aktiviti agama

Akma27
Tidak menepati janji yang telah dibuat dengan anak-anak

Akma28
Tidak menjadi pendamai yang baik jika anak-anak berkelahi sesama sendiri

Akma29
Tidak bertegas dengan anak-anak jika mereka banyak membuang masa di rumah

Akma30
Tidak mendidik anak-anak tentang kebaikan menabung atau membuat simpanan

Akma31
Tidak menjelaskan kepada anak-anak sekiranya berlaku kesilapan di pihak ibu bapa

Ketika menuliskan semula 31 Akma, idea daripada Haji Baharuddin ini, saya teringat seperti menulis enakmen. Ini adalah antara kesalahan mendidik anak, yang sepatutnya dapat elakkan sekiranya kita ingin menjadi ibu bapa yang baik dan cemderlang, katanya.

Wallahu'alam