Khamis, 7 Julai 2011

VK Liew pernah menjadi pemandu teksi di London

Tags

TIDAK siapa menyangka, anak pekedai yang berasal dari Pekan Kota Belud ini boleh memanjat tangga kejayaan hingga menduduki kerusi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Tetapi Datuk Liew Vui Keong atau lebih dikenali sebagai Datuk VK Liew melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis dalam kehidupannya sebelum bergelar YB. Beliau pernah menjadi pekerja hotel dan restoran, malah pernah menjadi pemandu teksi ketika masih belajar di England.

Datuk VK Liew lahir di Kota Belud pada tahun 1960. Beliau menduduki bangku sekolah rendah di SJK Chung Hwa Kota Belud dari darjah satu hingga enam. Kemudian beliau mendapat pendidikan menengah rendah di SM Arshad Kota Belud. Selepas itu, beliau bersekolah di SM All Saints Kota Kinabalu dari Tingkatan empat hingga lima. VK Liew kemudian terbang ke United Kingdom untuk belajar di Tresham College di Kettering England. Setelah lulus diploma Perniagaan dan Kewangan,beliau memasuki University of North London untuk pengajian undang-undang. Beliau ditauliahkan sebagai peguam (Barrister at Law) di Lincoln's Inns, London. VK Liew memulakan kerjaya dalam bidang guaman sekembalinya ke tanahair pada tahun 1989.

Dalam bidang politik, VK Liew pernah menjadi Pengerusi Parti LDP Usukan Kota Belud pada 1994. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung LDP pada 1999 dan pada tahun 2004, beliau dilantik pula sebagai Setiausaha Agung LDP. Dua tahun kemudian, beliau terpilih sebagai Presiden LDP menggantikan Tan Sri Chong Kah Kiat. Pada tahun 2008, buat pertama kalinya beliau bertanding dalam pilihanraya, dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Sandakan, yang disifatkan sebagai kerusi panas. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Setahun kemudian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik beliau sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab dalam hal ehwal parlimen dan perundangan.

Beliau berumahtangga dengan Dr.Lindai Lee dan dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan serta mempunyai seorang anak angkat. Walaupun bertugas di Putrajaya, isteri dan anak-anaknya bermastautin di Kota Kinabalu.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang untuk menemuramah beliau di ibu negeri petang Jumaat lepas mengenai pengalaman, latar belakang, hobi dan minat beliau dan bagaimana beliau membahagikan masa antara tugasnya sebagai ketua keluarga, wakil rakyat, presiden parti dan timbalan menteri.

UTUSAN BORNEO: Apa khabar Datuk? Terima kasih kerana sudi ditemubual oleh Utusan Borneo. Boleh ceritakan sedikit latar belakang Datuk?

DATUK VK LIEW: Khabar baik. Terima kasih. Sebenarnya saya lahir di tengah-tengah pekan Kota Belud. Bapa saya, Liew Ping On seorang peniaga.Beliau mempunyai kedai, yang menjual pelbagai jenis barang di pekan itu. Sementara ibu saya, Wong Ah Liew, adalah peranakan dusun kadazan. Saya anak kelapan dari sebelas adik beradik.

UB: Apa jenis perniagaan yang diceburi oleh bapa Datuk?

VK: Bapa saya menjual pelbagai jenis barang, dari gula, garam, peralatan rumah, dapur, paku, malah menjual kamera. Beliau boleh dikatakan "jack of all trades". Ramai pelanggan kedai itu datang dari kampung-kampung, orang Bajau, orang dusun kadazan, orang Iranun, Bajau ubian dan sebagainya. Dengan itu saya dapat belajar dan bertutur dalam bahasa mereka.

UB: Setahu saya Datuk boleh juga bercakap dalam bahasa Bajau dan Dusun Kadazan? Bagaimana Datuk belajar bahasa-bahasa itu?

VK: Sebenarnya selain bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, Mandarin,Kantonis, Hakka, saya juga boleh bercakap dalam bahasa etnik Bajau dan Dusun Kadazan. Ibu saya, Wong Ah Liew, adalah sino atau peranakan dusun kadazan dari Kampung Kelawat Kota Belud. Setiap tahun, menjadi satu tradisi kami berkunjung ke tempat keluarga di Kelawat. Itu sebabnya saya boleh bercakap dalam bahasa Dusun. Masih ramai keluarga kami dari sebelah ibu yang berketurun Dusun. Sementara itu, adik kepada emas saya, kahwin dengan orang Bajau. Itulah sebabnya banyak sepupu saya beragama Islam. Saya agak rapat dengan mereka kerana ketika saya kecil, saya pernah tinggal di tempat makcik saya dan bergaul dengan sepupu-sepupu saya. Sebab itu saya boleh bercakap dalam bahasa Bajau dan Dusunkadazan. Bahkan kalau saya tidak bersekolah di Chung Hwa School, mungkin saya tak pandai bercakap dalam bahasa mandarin.

Kehidupan pada waktu amat menyeronokkan. Ketika hari hari kami berkunjung ke rumah saudara mara kami yang beragama Islam.Kadang kadang lengkap dengan bersongkok. Ketika bergaul dengan sepupu-sepupu, mereka kadang-kadang bercakap Bajau atau Melayu. Kadang-kadang ketika berselisih pendapat, lucunya kadang-kadang kami bercakap dalam bahasa Bajau.

UB: Barangkali semangat 1Malaysia lebih dulu diamalkan masyarakat Sabah. Apa komen Datuk?

VK: Ya betul. Masyarakat Sabah memang melambangkan konsep 1Malaysia.Malah Sabah boleh dijadikan role model atau contoh terbaik untuk menghayati konsep 1Malaysia.

UB: Keluarga Datuk tinggal di KL? Berapa anak?

VK: Isteri saya, Dr.Lindai Lee dan anak saya Liza, 15, Lois,14,Lion 12 dan Lezli, 9 serta seorang anak angkat, Vincent, menetap di Kota Kinabalu. Anak saya yang sulung, Liza pernah menjadi wakil Sabah dalam sukan pedang dan mendapat pingat gangsa dalam sukan Sukma yang diadakan di Bukit Jalil.

UB: Bagaimana Datuk membahagikan masa antara tugas sebagai ketua keluarga, wakil rakyat, presiden parti dan timbalan menteri?

VK: Bagi saya, pPengurusan masa amat penting. Selepas menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri, menghadiri sidang parlimen, saya sering balik ke kawasan Parlimen Sandakan untuk menghadiri pelbagai majlis yang telah diaturkan. Saya juga bersyukur kerana ada penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan, ia memudahkan saya. Jika ada majlis rasmi di Kota Kinabalu, saya singgah di ibu negeri. Misalnya hari ini. Petang Jumaat saya sampai di KK, malam nanti ada majlis, esok pagi sabtu,jam 7.00 pagi saya terus ke Sandakan dan petang Ahad, balik ke Kuala Lumpur.

UB: Apa hobi Datuk pada masa lapang?

VK: Sukar juga mengatakan bila ada masa lapang. Masa lapan tak boleh cakap.Maklumlah banyak tugas yang perlu dibuat. Saya juga perlu menguruskan parti yang saya ketuai. Menangani isu-isu dan sebagainya.Tetapi jika ada masa lapang, saya gemar membaca buku.Saya juga selalu pergi ke gym untuk bersenam. Jika tidak saya juga gemar berlatih `boxing' tinju siam. Itu jenis sukan yang saya minati.

UB: Dimana Datuk belajar tinju siam?

VK: Saya minat belajar ketika saya masih belajar. Sebaik pulang dari England, ketika di Kuala Lumpur,saya banyak kawan orang Siam.Saya pernah ke Narathiwat, Yala untuk belajar tinju siam, malah sampai sekarang saya ramai kawan di sana.Itu sebabnya saya boleh bercakap loghat Kelantan, kerana bahasa Melayu yang digunakan di selatan Thailand, sama dengan dengan dialek Melayu Kelantan.

UB: Datuk masih boleh ingat antara Cikgu yang pernah mengajar Datuk ketika di sekolah?

VK: Jasa guru tak mungkin saya lupa. Saya masih ingat mereka.Antaranya Cikgu Kamaruzaman, guru sejarah saya. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan saya sehingga menjadi Timbalan Menteri. Tidak lama dulu, beliau pernah meminta bantuan daripada Perdana Menteri melalui saya untuk membaik pulih masjid di kampungnya di Kelantan. Syukurlah, permohonan itu diluluskan dan beliau berasa bangga kerana mempunyai murid yang menjadi Timbalan Menteri. Selain itu, saya ingat Cikgu Abdullah. Kami belajar jawi daripadanya. Ketika kebanyakan kawan-kawan memilih untuk belajar subjek lain, kami dua pelajar bukan Melayu belajar Jawi. Ada seorang rakan saya bernama Rocky yang juga pandai tulisan jawi ketika di SM Arshad itu. Kami berdua belajar jawi dari Cikgu Abdullah dan pandai menulis jawi.

UB: Ada pengalaman Datuk yang boleh dikongsikan sepanjang belajar di UK?

VK: Memang banyak pengalaman pahit manis sewaktu belajar di England. Saya pernah menjadi pemandu teksi atau kalau di sana, disebut mini cab driver selama satu tahun. Saya pernah memasuki jalan dan lorong dan menghafal dengan baik laluan di London untuk menghantar penumpang.Antara pengalaman pahit ialah pernah kena tipu oleh penumpang. Kadang-kadang dia minta ditunggu akhirnya tidak datang-datang untuk bayar tambang. Di sana cuaca selalu selalu sejuk, jadi sebagai pemandu kena pakai pakaian yang tebal. Saya juga pernah bekerja di hotel dan restoran sepanjang berada di sana.

UB: Berapa pendapatan Datuk dalam satu hari sebagai pemandu teksi?

VK: Waktu itu antara 30 hingga 40 pound. Satu pound bersamaan dengan RM7.00. Jadi saya boleh dapat dalam RM300 satu hari.Di sana ada peraturan untuk menjaga hak-hak pekerja, jadi kita dibenarkan bekerja melebihi masa yang ditetapkan.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai tugasan sebagai wakil rakyat?

VK: Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa mendengar aduan rakyat dan cuba untuk membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Saya tidak duduk di pejabat sebaliknya menjumpai rakyat. Saya mengadakan khidmat `Bringing Service To People' yang disertai oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan untuk mengadakan khidmat kepada orang ramai setiap bulan. Penduduk-penduduk yang tinggal di taman-taman perumahan, kampung-kampung dan sebagainya berpeluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Perkhidmatan ini melibatkan semua agensi termasuk JPN, MPS, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat,Kementerian Kesihatan, LPKP dan sebagainya. Selain itu, ada juga yang datang ke pejabat Khidmat Ahli Parlimen untuk meminta nasihat , pandangan atau mengadu, masalah parit dan longkang tersumbat, masalah jalan raya, masalah lampu jalan dan sebagainya. Setiap kali lawatan saya, saya sentiasa membawa wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan. Ini memberi kesan yang baik kepada penduduk. Ketika dimulakan pada tahun 2009, hampir semua 24 taman perumahan di Sandakan telah dikunjungi.

Dalam setiap lawatan itu,jika ada isu-isu keselamatan diadukan kepada Polis, pasukan bomba menunjukkan cara-cara memadam api, Jabatan Kesihatan menunjukkan cara membasmi nyamuk aedes dan memberitahu mengenai bahaya nyamuk, mengenai kebersihan dan sebagainya. Ini sangat berkesan, juga dengan sokongan SAGA, Sandakan Aid Group Association. saya gembira dan berterima kasih.

UB: Apa pesan Ayah Datuk yang masih Datuk ingat ketika beliau masih hidup?

VK: Bapa saya meninggal dunia pada tahun 2005, ketika beliau berusia 93 tahun. Antara pesan beliau yang saya ingat sampai sekarang ialah mesti menjalani kehidupan dengan jujur, mesti taat kepada ketua, mesti belajar bersungguh-sungguh supaya berjaya dalam kehidupan.