sewaktu masih kanak-kanak dahulu, di kampung kami yang permai itu, bermain guli merupakan sejenis permainan yang mendatangkan keasyikan tersendiri.Mungkin kerana permainan itu yang paling mudah, maka ramailah kanak-kanak seperti kami yang bermain guli. Permainan guli boleh dimainkan dua orang, tiga orang, empat orang atau lebih, dan hanya memerlukan ketepatan.Tepat untuk memasukkannya dalam lubang dan tepat pula untuk melorongkannnya ke arah guli lawan, akan menberikan kelebihan dan kemenangan kepada si pemain.
Apabila guli itu berada di luar garis, atau memerlukan seorang pemain mengubah kedudukn gulinya untuk memudahkannya, seseorang akan mengambil langkah yang disebut `kinin'.
Saya tidak tahu perkataan `kinin' ini berasal dari mana, apakah ia berasal dari perkataan orang putih `can in' atau boleh masuk, saya tidak pasti.Tetapi perkataan ini difahami (dan diterima) oleh hampir semua bahasa pertuturan di Sabah.
Kinin? Apakah maksud sebenar perkataan ini? Kinin boleh saja bermaksud menyatakan sesuatu atau mengenakan sesuatu secara `indirectly'. Mungkinkah ada persamaan antara `kinin' ini dengan perumpamaan `pukul anak sindir menantu'. Bolehkah dikatakan bahawa dia memarahi seseorang, menjadikan sesorang `punching bag'nya sebenarnya ditujukan untuk orang lain. Misalnya, kerana sesuatu yang berlaku itu negatif, kita menyebutnya berlaku di tempat lain, padahal ia berlaku di tempat sendiri. Misalnya, ada seorang tokoh yang marahkan sikap rakyat yang jumud, acuh tidak acuh dan sebagainya maka lebih mencontohkan perkara itu berlaku di negeri antah berantah.
Kinin. Boleh jadi ia menggambarkan sikap orang-orang kita yang berbudi pekerti, mengucapkan sesuatu dengan beralas, tidak suka mencederai seseorang secara langsung tetapi `kinin' mengurangkan tahap keterusterangan atau ketelusan kita dalam menangani sesuatu perkara.
Si anu mengatakan begini begitu sebenarnya dia mahu `kinin' si polan agar menyedari kesilapannya. Dia menegur secara tidak langsung, mungkin untuk menjaga keharmonian.
Apakah kinin boleh digunakan dalam ungkapan orang-orang tua seperti `kutembak gajah, rusa yang kena, bila kulihat pelanduk yang mati'.
Setelah saya amat-amati, banyak sekali perbuatan `kinin', langkah kinin atau ucapan kinin yang berlaku dalam hidup seharian kita.
Kinin itu adakalanya bagus malah diperlukan tetapi orang-orang kita sekarang amat sukar mengerti `kinin' sehingga memerlukan kita bercakap terus terang, tetapi bercakap terus terang itupun mereka tidak mengerti.
Jumaat, 13 Mei 2011
kinin
✔
abd naddin
Diterbitkan 12:24 PG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)