KAMARLIN,DARI SEORANG GURU MENJADI YB
Kamarlin Haji Ombi dilahirkan di Kampung Lupak Beaufort pada 3 Mac 1959. Beliau merupakan anak kedua daripada lapan adik beradik. Anak kepada Imam Haji Ombi Haji Tinggal dan Puan Andi binte Asin ini pada mulanya bercita-cita menjadi seorang juru ukur. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Lupak dan melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di SMK Gadong, Beaufort. Selepas itu, Kamarlin memasuki Maktab Perguruan Kent, Tuaran. Pernah ditugaskan di Sekolah Kebangsaan Kubang Piring, Semporna, SK Melalap tenom, SK Padas Damit sebelum melanjutkan pelajaran di Southern Illinois University (SIU) Carbondale sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Geografi pada 1989-1991. Beliau memperolehi ijazah sarjana dalam Pengajian Bahasa di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat kedoktoran PhD di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Bidang Sains Sosial. Kamarlin mendirikan rumah tangga dengan seorang pendidik, Puan Sariah@Saridah Abdullah dan dikurniakan 6 orang anak, tiga lelaki dan tiga perempuan
Sekembalinya ke tanahair, Kamarlin mengajar di Sekolah Menengah Gadong dari tahun 1991 sehingga dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Beaufort pada tahun 1994. Beliau kemudian dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Sipitang sehingga 2008. Pada tahun itu, Kamarlin terpaksa meletakkan jawatan apabila dipilih oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kawasan DUN Lumadan. Beliau juga adalah Timbalan Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS).
Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN menemui YB KAMARLIN HAJI OMBI (KHO) pada satu petang yang jernih di sebuah hotel terkemuka di ibu negeri untuk berkongsi pengalamannya sebagai guru dan kini sebagai wakil rakyat di DUN Lumadan.
UB: Terima kasih kerana sudi ditemuramah. Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang YB sebelum menjadi wakil rakyat?
KHO: Saya dilahir dan dibesarkan di Kampung Lupak Beaufort. Saya mendapat pendidikan awal di SK Lupak dan kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SMK Gadong, Beaufort. Sebaik menamatkan persekolahan, saya pernah bertugas sebagai `budak pejabat' di Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Selepas itu, saya memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran dan kemudian menjadi guru. Sesudah itu, saya melanjutkan pelajaran di Southern Illinois University di Carbondale. Kemudian mengajar lagi setelah balik ke Sabah.Pada tahun 1994, saya dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Beaufort dan beberapa tahun kemudian, dilantik pula sebagai Pegawai Pelajaran Sipitang. Dalam pilihanraya umum 2008, saya terpilih sebagai calon di kawasan DUN Lumadan.
UB: Sebelum menceburkan diri dalam politik, pernah YB terfikir untuk menjadi seorang wakil rakyat?
KHO: Sebenarnya saya bercita-cita untuk menjadi seorang juru ukur. Minat saya kepada bidang geografi agak mendalam sehingga saya melanjutkan pelajaran dalam bidang itu di universiti. Sebenarnya saya tidak terfikir menjadi YB, hanya saja saya pernah mengimpikan menjadi ketua dalam sesebuah organisasi. Di Universiti, saya pernah menjadi Presiden Persatuan Pelajar Sabah di SIU Carbondale.
UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang keluarga? Berapa anak?
KHO: Saya berumahtangga dengan Sariah @ Saridah Abdullah, seorang guru. kami dikurniakan enam orang anak, tiga lelaki dan tiga perempuan. Anak pertama, Mohd.Asraf kini sedang menuntut di UiTM. Anak kedua, Nor Aliah Asyikin kini dalam tingkatan 5. Anak ketiga Nor Alinah Akila dalam tingkatan satu, Anak keempat Mohd Asri dalam tahun enam.anak kelima Mohd.Ashar kini dalam tahun 3, manakala anak keenam, Nor Elina, dilahirkan pada 2008, ketika itu musim pilihanraya. Waktu tengah berkempen, Nor Elina Lahir di Papar.
UB: Setelah menjadi wakil rakyat, bagaimana YB membahagikan masa untuk berkhidmat kepada rakyat?
KHO: Walaupun agak sibuk tetapi saya boleh menggunakan masa sepenuhnya untuk turun padang. Apatah lagi, saya tinggal di kampung halaman iaitu Kampung Lupak dan mudah ditemui oleh rakyat.
Saya punya cara tersendiri untuk turun padang,yang agak berbeza dengan yang lain. Berbeza kerana saya boleh datang berkunjung ke rumah penduduk kampung di kawasan saya tak kira masa. Saya datang ke rumah mereka dan mereka boleh datang ke rumah pada bila-bila masa, tanpa banyak protokol. Bahkan kadang-kadang hampir tengah malam pun, saya biasa menerima tamu di rumah.
UB: Biasanya apa yang diadukan oleh rakyat kepada YB?
KHO: Kebanyakan yang diadukan berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh mereka termasuk masalah kemudahan asas, jalan raya, bekalan air dan sebagainya.Juga masalah dan cadangan-cadangan untuk meningkatkan lagi hidup rakyat.
UB: Sebagai wakil rakyat, apa impian YB?
KHO: Sebagai wakil rakyat, saya mengimpikan agar orang-orang kampung, rakyat yang saya wakili mendapat segala kemudahan asas dan sebagainya, Saya suka melihat masalah orang kampung dengan mata kepala saya sendiri.Kalau saya dapat menyelesaikan masalah rakyat, saya berasa bangga. Masalah jalan raya, bekalan air dan elektrik, ini masalah yang terdapat di kampung-kampung. Jika masalah ini dapat diselesaikan, tanggungjawab sebagai YB akan terlaksana.
UB: Apa antara perkara yang menjadi fokus YB di kawasan Lumadan?
KHO: Salah satu perkara yang menjadi fokus Kita ialah bidang pendidikan.Saya yakin hanya melalui pendidikan yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup.
UB: Apa cabaran yang diterima sepanjang menjadi YB?
KHO: Memang banyak cabaran yang dihadapi tetapi itu merupakan asam garam dalam politik. Walaupun banyak yang kita lakukan, kalau ditanya kepada yang bukan sehaluan kita, apa jenis kebaikan pun yang kita buat, semuanya dianggap tidak baik. Kecuali mereka yang betul-betul tahu menghargai usaha yang kita lakukan. Tetapi sebagai seorang ahli politik, kita tidak boleh give-up atau mengalah. Kita perlu berjuang bagi membela dan memperjuangkan nasib rakyat apapun cabarannya. Saya yakin, apa saja yang kita lakukan dalam politik lambat laun boleh juga diterima oleh rakyat walaupun lambat.
UB: Saya difahamkan YB juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS). Boleh ceritakan apa pengalaman yang boleh dikongsi dalam persatuan?
KHO: Sebenarnya banyak perkara yang saya belajar dalam persatuan. Dalam persatuan, saya dapat belajar memimpin dan mengurus organisasi.Melalui persatuan juga, kita dapat belajar kemahiran untuk memimpin.
UB: Oh ya.Ketika mengajar dahulu, tentu YB ada banyak pengalaman manis.Boleh kongsikan?
KHO: Ketika mengajar dahulu, saya lebih suka mengajar budak-budak yang lemah dalam mata pelajaran tertentu. Kalau sebelumnya dia tidak dapat membaca, kemudian dia dapat membaca, ia satu kejayaan bagi seorang guru. Saya memberi tumpuan kepada membaca, menulis, mengira
UB: Apa yang YB boleh ceritakan mengenai ayah.Tentu beliau banyak mencorakkan keperibadian YB?
KHO: Ayah saya seorang yang tegas. Garang. Kami memang takut. Beliau sangat mementingkan disiplin. Jadi kami anak-anaknya belajar untuk mendisiplinkan diri. Disiplin adalah salah satu kunci kejayaan.
UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai makanan kegemaran YB?
KHO: Saya meminati ubi manis, pisang rebus, ikan rebus masak kunyit amat selesa dengan makanan kampung
UB: Apa yang YB lakukan untuk mengisi masa lapang?
KHO: Saya suka bermain golf, Kadang seminggu sekali. Selain itu, saya juga suka membaca buku berunsur akademik, apatah lagi ini bagi memudahkan saya untuk membuat penyelidikan kerana saya sedang mengikuti pengajian di UMS.
UB: Saya pernah terbaca majalah mengenai golf. Sebenarnya saya tak begitu faham mengenai sukan ini.Boleh YB ceritakan apa keistimewaan bermain golf?
KHO: Kalau ada masa lapang, saya suka bermain golf.Bagi saya, permainan golf adalah cara untuk mendisiplinkan diri. Kita boleh menterjemahkan disiplin golf dalam kerjaya kita, dalam cara mengurus organisasi. Dalam permainan golf kita tidak boleh menipu, kita harus bermain dengan jujur. Kalau bola jatuh ke kawasan semak, kita mesti tahu menggunakan kayu pemukul yang sesuai. Begitu juga kalau jatuh di pasir, kita gunakan kayu pemukul yang sesuai. Semakin kurang kita buat kesalahan, maka semakin cantik keputusan kita.Sama juga dalam masyarakat, semakin kurang kita lakukan kesalahan, semakin kita disenangi. Semakin jujur semakin baik kehidupan kita.
UB: Apa sukan lain yang YB minati?
KHO: saya juga minat bermain takraw. malah sewaktu remaja dahulu, saya pernah menjadi wakil sekolah dalam sukan takraw.
UB: Bagi pendapat YB, bagaimana kita boleh mendekati generasi muda?
KHO: Banyak cara pendekatan yang boleh kita gunakan. tapi kita mesti berinteraksi dan bergaul dengan mereka.Apa yang penting kita mesti mengetahui aspirasi mereka.Fahami apa yang mereka mahu. Kita galakkan mereka dalam aktiviti-aktiviti sukan, kegiatan persatuan dan sebagainya, kegiatan yang boleh mencetuskan keadaan sihat dan harmoni.
UB: Terima kasih kerana sudi ditemuramah dalam ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Konsepnya memang agak santai, rileks.Kami berasa bertuah kerana YB sudi meluangkan masa ditengah kesibukan untuk ditemubual.
KHO: Saya juga berterima kasih kepada Utusan Borneo kerana sudi menemuramah saya.
Isnin, 16 Mei 2011
Kamarlin, dari seorang guru menjadi YB
✔
abd naddin
Diterbitkan 9:35 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)