Selasa, 12 April 2011

Sebut nama Taib Mahmud, ibu saya teringat perihal kelambu

Tags

Setiap kali mendengar nama Tan Sri Taib Mahmud, ibu saya serta merta akan teringat kelambu kami.

Peristiwa itu, meskipun telah berlalu 31 tahun lamanya,masih segar dalam ibu, dan setiap kali mendengar nama Taib Mahmud, beliau akan secara automatik menagih janji saya.

Janji yang sampai sekarang belum dapat ditunaikan.

Saya berjanji-ketika itu-untuk menggantikan kelambu yang terbakar dengan yang baru iaitu setelah saya mendapat kerja.

Ketika itu saya masih berada dalam tingkatan satu.

Saya ingat betul pada waktu itu malam sudah larut.

Keputusan demi keputusan pilihanraya DUN Sarawak diumumkan melalui radio kerana ketika itu kami belum memiliki tv.

Dengan berlampukan pelita minyak tanah, saya mencatat kemenangan BN itu dalam buku saya. Setiap kali juruhebah radio mengumumkan keputusan, setiap kali itulah saya mencatatnya.

Tidak seperti sekarang, waktu itu, keputusan pilihanraya amat lambat diumumkan.

Menjelang tengahmalam BN berjaya membentuk kerajaan. Ada beberapa keputusan lagi belum diumumkan tapi saya berasa lega kerana Datuk Patinggi Taib Mahmud menang dalam pilihanraya itu.

Sebelum itu, beliau merupakan seorang menteri kabinet kerajaan pusat.

Selepas Tun Rahman Yaakub, bapa saudaranya tidak bertanding dalam pilihanraya itu, Taib Mahmud kembali bertanding bagi kerusi DUN.

Bukan main gembiranya saya apabila beliau menang. Ibu yang terbangun bertanya, siapa menang, saya menjawab bahawa Taib Mahmud telah menang.

Entah kenapa saya terlelap sedikit.Ketika itu beberapa keputusan belum diumumkan dicorong radio.

Saya terbangun ketika api sedang menjilat kelambu.Kelambu itu baru dibeli.Maklum ketika itu banyak nyamuk aedes dan musim demam denggi.Jadi kami tidur berkelambu. Saya bersama adik memasang kelambu di tengah rumah sementara ibu dan bapa saya di tepi sedikit.

Saya agak panik juga seketika. Mujurlah api itu dapat dipadamkan.Kalau tidak sudah tentulah, rumah kami yang baru dibina ketika itu akan turut musnah terbakar.

Ibu saya marahkan saya kerana terlelap sehingga kelambu terbakar hanya kerana menunggu Taib Mahmud menang.

Apa untungnya kamu dengar keputusan itu? Kamu bukan orang Sarawak? Kita di sabah belum mengundi lagi, katanya.

Saya sendiri tidak mengerti mengapa dalam usia sebegitu, 13 tahun, saya berminat untuk mengetahui segala hal politik yang berlaku di sekeliling saya.Apatah lagi,menurut cerita bapa, beliau pernah bertemu Taib Mahmud kerana pernah bertugas sebagai Polis di Sarawak dahulu.

Entah apa yang membuat saya tidak tidur untuk menunggu keputusan pilihanraya itu, sehingga terlelap yang menyebabkan kelambu baru itu terbakar.

Itulah sebabnya beliau meminta saya agar mengganti kelambu yang baru dibelinya itu bila sudah bekerja.Saya tahu beliau tidaklah sungguh-sungguh ketika itu, hanya kerana marahkan saya yang terleka.

Jadi setiap kali beliau menonton tv dan melihat gambar Tan Sri Taib, secara automatik beliau akan mengusik saya dan marahkan saya yang hanya pandai berjanji beli kelambu tetapi sudah 31 tahun, kelambu yang dijanjikan itu belum ada lagi.

Kini ketika kempen pilihanraya Sarawak sedang rancak dijalankan dan gambar Ketua Menteri selalu dilihatnya, maka beliau mengingatkan saya tentang janji membeli kelambu.

Sudah 31 tahun janji beli sampai sekarang belum terbeli, seperti janji pilihanraya yang belum ditunaikan.

4 comments

lucu membaca pengalaman en abd naddin..ketika itu sudah nampak aura kewartawanan dalam diri encik..soal janji pilihanraya belum tertunai..nampaknya di Sabah pun sama juga halnya.

terima kasih windi.
sekadar teringat kenangan lama, dan janji anak yang belum tertunai kepada ibunya.
juga janji janji pilihanraya yang ditaburkan, untuk kemudian dilupakan.
tk

saya ingat taib mahmud yang berjanji mahu membelikan kelambu. hahaha

ya ustadz,
ini sekadar catatan untuk meredakan ketegangan saraf ketika berlangsungnya pilihanraya sarawak ketika itu.
sekadar teringat masa kecil dulu, ketika saya begitu minat mencatat keputusan pilihanraya sarawak waktu itu.