Sabtu, 9 April 2011

Cikgu Sabli, berjuang tanpa mengharap bintang

Tags

CIKGU SABLI, BERJUANG TANPA BINTANG

KAMI tiba di rumahnya yang sederhana di Taman Telipok Jaya, kira-kira jam 10.30 pagi. Cikgu Sabli Mohiddin, Tokoh Guru Negeri Sabah 1984 ini telah menyumbangkan begitu banyak jasa dan bakti kepada bangsa dan negara.Beliau merupakan Setiausaha Penaja USNO ketika penubuhan USNO pada Jun 1961. Beliau memainkan peranan besar untuk memberikan kesedaran nasionalisme di kalangan rakyat Sabah. Ramai orang yang tidak tahu bahawa Cikgu Sablilah orang yang mula-mula mencadangkan penukaran nama Bandau kepada nama barunya Kota Marudu. Cadangan itu kemudian dikemukakan oleh Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Haji Idrus Matakim kepada kabinet dan disetujui pada tahun 1974.

Sabli Mohiddin dilahirkan pada 16 Januari 1936 di Pekan Tuaran.Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Tuaran dan lulus dalam darjah lima pada tahun 1952. Cikgu Sabli kemudian menerima latihan perguruan di Maktab Kent Tuaran pada tahun 1954. Sebelum itu, beliau pernah bertugas di beberapa daerah, bermula sebagai guru pelatih di GPS Gadong Beaufort pada 1953. Selepas lulus dari Maktab Kent pada 1955, beliau bertugas sebagai penolong kanan di GPS Rampazan Papar pada 1957 dan kemudian di GPS Nunuyan Laut Sandakan. Tidak lama kemudian beliau dipindahkan ke GPS Berhala Darat sebelum bertukar ke GPS Pekan Kudat pada 1 Jun 1959. Ketika bertugas di Kudat, beliau terpilih sebagai Setiausaha Penaja USNO yang pertama, dan pelantikannya itulah yang kemudian menghantarkannya memasuki gerbang pengalaman yang pelbagai dalam perjuangan membela anak bangsa.


Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN ditemani Abd.Nazir Maning sempat menemui Cikgu Sabli Mohiddin (SM) di rumahnya pada pagi Jumaat kelmarin untuk berkongsi pengalaman beliau menjadi guru, terlibat dalam penubuhan USNO, sehinggalah kepada cabaran perjuangan, minatnya dalam bidang seni muzik dan sebagainya.

UB: Boleh ceritakan bagaimana cikgu terlibat dalam penubuhan USNO?

SM: Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka. Pada ketika itu, suatu hari dalam bulan Jun tahun 1961, Tun Datu Mustapha Datu Harun telah menganjurkan satu perjumpaan dengan pegawai dan kakitangan kerajaan di Kudat Recreation Club. Ketika itu saya bertugas sebagai guru di GPS Kudat sebagai Penolong Kanan. Ramai anggota masyarakat dari seluruh Kudat, Sikuati, Matunggong, Pitas, Banggi, Bandau (kini Kota Marudu) menghadiri perjumpaan dengan Datu Mustapha itu. Tujuannya adalah untuk menubuhkan United Sabah National Organization (USNO). Tun Mustapha dipilih sebagai Presiden secara automatik manakala arwah Datu Aliuddin dipilih sebagai Timbalan Presiden. Bila sampai pemilihan untuk jawatan Setiausaha, banyak orang kerajaan kena tunjuk tapi mereka tidak sanggup.Bukan kerana mereka tidak boleh tetapi mereka takut dengan orang putih. Tun Mustapha berkata, kalau takut lebih baik mereka keluar dari perjumpaan itu. Ketika itu, saya duduk , tak berani keluar, kerana arwah isteri saya, masih anak saudara kepada Tun Mustapha. Bila nampak saya, Tun Mustapha terus menyatakan `kita minta tolong Cikgu Sabli'. semua orang angkat tangan menyokong. Saya serba salah. Kalau saya tidak bersetuju, saya takut kena tengking...saya tidak mahu dia teriak. Jadi saya duduk sajalah. Itulah mulanya saya terpilih sebagai Setiausaha Penaja. Ketika itu ramai anggota Special Branch (SB) tapi mereka tidak berani ganggu kerana takutkan Datu Mustapha.

Tun Mustapha seorang yang berani, itu sebab pegawai orang putih takutkan beliau.

UB: Sebelum itu bagaimana Tun Mustapha mendapat idea untuk menubuhkan USNO?

SM: Ketika belajar di London pada tahun 1959, Datu Mustapha telah berjumpa dengan almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Mereka menjadi kawan baik. Pada masa itu timbul kesedaran untuk membawa negeri Sabah merdeka. Tunku mahu membawa Sabah, Sarawak, Brunei, Singapura untuk membentuk Malaysia bersama Malaya. Ketika itu sudah timbul idea untuk membawa UMNO ke Sabah tetapi ia tidak begitu disetujui Datu Mustapha kerana mungkin UMNO tidak diterima kerana tidak seperti di Semenanjung, di Sabah tidak terdapat Orang Melayu.Yang ada orang Dusun,Orang Bajau dan pelbagai etnik lain dan ini tentu sukar. Jadi Datu Mustapha akhirnya buka parti. Kalau begitu, apa namanya yang bagus?...Jadi timbullah cadangan nama United Sabah National Organization (USNO). Kata Tunku, itu nama yang bagus dan beliaupun memberi sokongan. Beliau menubuhkan parti USNO supaya semua golongan pelbagai kaum di negeri Sabah dapat menyertai USNO.

UB: Apa yang berlaku setelah cikgu dipilih sebagai Setiausaha penaja?

SM: Setelah perjumpaan itu, maka timbul cadangan untuk mengadakan Kongres USNO yang pertama. Siang malam kami bekerja untuk persiapan kongres.Satu minggu sebelum kongres yang diadakan pada 24 Disember 1961, Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah datang membuat lawatan ke Kudat. Saya ingat betul, jam 7.20 pagi 18 Disember 1961, dia datang pagi-pagi sekali ke kelas. Saya tidak dapat mengelak lagi.Dia melihat fail-fail persiapan kongress USNO di atas meja saya.saya tidak sempat menyembunyikannya. Apabila beliau melihat fail-fail itu, beliau kelihatan seperti singa yang menerkam. Dia memukul-mukul meja.Kemudian sambil berteriak, beliau bertanya `apa kau buat ini?" Saya buat kerja, kata saya. Kau kerja sama perintah (kerajaan).Saya berkata ya, saya bekerja untuk kerajaan, tapi saya menolong untuk persiapan kongres. Tolong pun tak boleh, katanya. Oleh sebab itu, saya dikenakan tindakan tatatertib dan dibuang daerah ke Tawau. Saya menjawabnya, terima kasih tuan. Orang Putih itu tambah marah lagi. Guru Besar ketika itu, Cikgu Said, orang Perak, sampai ditengking-tengking kerana membiarkan saya membuat kerja-kerja USNO.

UB: Jadi, bagaimana persiapan kongres selepas cikgu diarahkan pindah?

SM: Saya terpaksa berpindah, padahal satu minggu lagi Kongres akan diadakan. Kemudian saya beritahu Datu Mustapha. `Pakcik saya minta maaf kerana saya sudah habis tempoh di Kudat kerana sudah kedapatan. Oh iyakah, kata Tun. Apa dia orang mahu buat? Saya dipindahkan ke Tawau. Tak apa , katanya, kalau kita sudah merdeka nanti, baru berkhidmat di sini semula. Sebab itu, kerja Setiausaha Penaja saya serahkan kepada penolong setiausaha Abdul Salam Mohd.Noor. Beliau masih hidup. daripada 27 orang Jawatankuasa Penaja USNO yang ditubuhkan pada bulan Jun 1961, hanya dua orang masih hidup, manakala selebihnya telah pergi mendahului kita.

UB: Setelah dipindahkan ke Tawau, apakah Cikgu masih bergiat dalam USNO?

SM: Bila saya sampai ke Tawau, di sana sudah ada gerakan USNO. Pemimpin USNO di Tawau, Datuk Haji Abu Bakar Titingan merasa senang hati kerana saya berpindah ke Tawau. Setelah saya pindah ke Tawau dan bertugas sebagai Penolong Kanan di GPS Tawau, jawatan Setiausaha Agung USNO disandang oleh Datuk Habib Abd.Rahman. Saya fikir tidak terlibat lagi kerana sudah ada cop di dahi saya. Tapi Datuk Abu Bakar mendesak saya juga untuk untuk membantu gerakan USNO. Akhirnya saya berkata, waktu siang tak boleh,saya hanya boleh menolong pada waktu malam. Dalam pada itu, saya sempat mengajar Datuk Ahmad Bahrom Titingan yang ketika itu masih dalam darjah enam. Saya tidak lama di Tawau

UB: Kemana Cikgu selepas itu?

SM: Saya ditukarkan ke GPS Suan Lamba sebagai Guru Besar. Waktu itu masih dipenuhi hutan kayu balak. Ketika itu, arwah Datu Pengiran Galpam sering mengambil saya setiap hari enam, memakai speed boat (bot laju) untuk ke rumahnya di Jalan Labuk untuk menolong gerakan USNO. Ketika pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, saya berada di Suan Lamba. Dari Suan Lamba, saya ditukarkan pula ke GPS Berhala Darat, Sandakan dari tahun 1964-1966.

UB: Berapa lama Cikgu bertugas di Sandakan?

SM: Saya bertugas di Sandakan dari tahun 1964 hingga tahun 1966. Kemudian saya terpilih sebagai salah seorang guru yang dihantar berkursus Bahasa Inggeris di Sydney Teachers College, Australia selama sembilan bulan. Sekembalinya ke Sabah pada tahun 1967, saya bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di GPS Sikuati. Setahun kemudian, saya dilantik sebagai Pengetua di Goverment Junior Secondary School Bandau yang ketika itu menumpang di GPS Bandau.

Selepas l4 tahun bertugas di SMK Bandau, saya kemudian dipindahkan SMK Abdul Rahim Kudat sebagai Pemangku Pengetua. Selepas itu, Pengarah Pelajaran Sabah, ketika itu, Dr.Isa Ramli meminta saya menjadi pengetua di SMK Tenghilan yang baru dibuka pada tahun 1984. Pada tahun 1985, saya dilantik sebagai Jemaah Nazir. Tidak lama kemudian, saya minta dipindahkan ke sekolah. Jabatan mahu memindahkan saya sebagai Pengetua di Kuala Penyu, tapi saya beritahu saya sudah tua, dan mahu berkhidmat di sekitar Kota Kinabalu saja. Kemudian saya dipindahkan sebagai Penolong Kanan di SMK Tamparuli hingga bersara pada tahun 16 Januari 1991.

UB: Melihat begitu banyak jasa Cikgu, sepatutnya Kerajaan Negeri memberikan anugerah sekurang-kurangnya gelaran Datuk kepada Cikgu. Apakah cikgu tidak terkilan kerana tidak diberikan pingat?

SM: Sebenarnya saya dua kali menolak anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk. Pertama sewaktu Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai menjadi TYT, beliau menawarkan pingat Datuk kerana dia tahu perjuangan saya.Begitu juga ketika Tan Sri Datuk Chong Kah Kiat menjadi Ketua Menteri, beliau juga menawarkan bintang PGDK kepada saya. Tapi saya dengan baik menolak tawaran itu.Saya minta maat kerana terpaksa menolak pingat itu.

UB: Kenapa Cikgu menolak tawaran gelaran Datuk?

SM: Sebenarnya saya tidak mengharap gelaran. Paling tinggipun saya minta pingat ASDK. Gelaran Datuk tidak sesuai kerana kita orang biasa. Kalau ada orang minta derma, datuk ini derma RM1,000. Datuk kedua derma RM1,000.Datuk ketiga pun derma RM1,000.Kemudian bila tiba nama kita, Datuk ini derma RM20. Dia mungkin tidak mengata depan kita tetapi setelah keluar dari pintu pagar rumah kita, dia akan mengutuk, datuk ini kedekut, nama saja datuk tapi menderma dua puluh ringgit. Saya berterima kasih kerana ada juga yang menghargai perjuangan saya.Bagi saya, ini sudah memadai kita merdeka.

Saya melihat sebaik kita merdeka, orang-orang berduyun-duyun mahu jumpa Tun, minta kayu balak, minta rumah. Tapi saya tidak pernah.Bahkan pernah satu ketika saya diminta menyampaikan pesahn Datuk Idrus Matakim untuk menanyakan sesuatu kepada Tun, yang menyebabkan saya terpaksa berbisik kepadanya, saya malu kerana tibatiba Tun tanya saya datang naik apa...saya katakan saya datang naik kereta sendiri.Lalu dia menyeluk poket dan memberikan RM1,000 untuk saya dan isteri. Beliau memang seorang yang pemurah.Saya tidak pernah minta kerana itu bukan prinsip saya, malah tangga bangunan Sekretariat pun tidak pernah saya pijak sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri.

UB: Pernahkah cikgu ditawarkan menjadi calon dalam pilihanraya oleh almarhum Tun?

SM: Saya pernah ditawarkan menjadi calon pilihanraya pada tahun 1981. Tun Panggil saya minta saya jadi calon USNO. Tapi saya menolaknya. Tun kelihatan marah. Jadi apa yang kamu hendak? Saya mengatakan saya hanya ingin bekerja saja. Saya tidak minat menjadi orang politik. Saya bahagia begini saja.

UB: Selama cikgu mengajar di sekolah, mungkin cikgu ingat berapa orang yang berjaya dalam karier mereka?

SM: Saya bersyukur kerana ramai diantara murid saya yang berjaya.Tapi saya tidak ingat nama-nama mereka semua. Antaranya yang saya ingat pernah jadi murid saya ialah Datuk Ahmad Bahrom Titingan,mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk George Sangkin,mantan Ahli Parlimen Bandau, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, Senator Datuk Maijol Mahap, Haji Hashim Paijan, Datuk Awang Samat dan sebagainya.

UB: Oh ya. Bagaimana Cikgu terlibat dalam bidang muzik?

SM: Saya meminati seni muzik, apabila terlibat menubuhkan Pancharagam Persaudaraan pada tahun 1954 di Tuaran. Kami adik beradik dan saudara saudara lain terlibat dalam pancharagam.Kemudian pada tahun 1962, saya menganggotai Pancharagam Aneka Warna di Tawau. Selepas bertugas di Sandakan, saya bermain dalam Pancharagam Seri Sabah pada tahun 1964-1965.

UB: Ada keluarga Cikgu yang terlibat dalam muzik?

SM: Sebenarnya, adik atuk saya, Luttah Mubuk berasal dari Sarawak dan adik beradik dengan Dullah Sarawak.Dullah Sarawak ialah bapa kepada seniwati Siput Sarawak dan Siput Sarawak ialah ibu kepada Anita Sarawak. Di Sarawak masih ramai keluarga kami kerana ayah saya keturunan iban.Malah saya masih ada kaitan pupu tiga kali dengan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Anak Numpang.

UB: Tentu ada pengalaman manis sepanjang bermain muzik?

SM: Ya, antaranya ialah bermain muzik ketika mengiringi Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ketika membuat persembahan di Padang Sandakan bersama Alfonso Soliano Orkestra. Saya bermain akordion.Ketika melihat saya bermain muzik itu, P.Ramlee memandang saya kemudian mendekati saya sambil berkata, `Cik Sabli, boleh saya ikut main bersama'. Silakan Cik Ramlie kata saya kepadanya. Jadi saya bermain Piano, dan Biduanita Saloma yang menyanyi. Kemudian ketika berpindah ke Kudat, sekali lagi saya berpeluang untuk bermain muzik bersama Tan Sri P.Ramlee apabila beliau dijemput oleh Datuk Abd. Salam Datu Harun ketika itu. Kami menjadi kawan baik, dan beliau meminta kalau saya datang ke Kuala Lumpur, dia meminta saya menghubunginya. saya amat menyesal kerana tidak sempat menghubunginya kerana tidak lama kemudian, beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1973.

UB: Terima kasih Cikgu kerana sudi ditemuramah oleh Utusan Borneo.Kami merasa amat bertuah sekali kerana berkesempatan untuk menemubual cikgu yang memiliki banyak pengalaman, dari seorang guru, menjadi seorang pejuang kemudian pula terlibat dalam banyak aktiviti seperti muzik, bidang dakwah, pengakap dan sebagainya. Terima kasih banyak.

SM: Terima kasih.Tak ada apa-apa yang dapat saya berikan.

UB: Cikgu telah memberikan banyak jasa dan bakti untuk anak bangsa dan negeri ini.


Utusan Borneo 9 April 2011

1 comments so far

Bagus kalau Ada gambar Cikgu Sabli