Jumaat, 18 Mac 2011

Sumbangan belia perlu diiktiraf

Tags



SUMBANGAN BELIA PERLU DIIKTIRAF

SEJAK mengambil alih jawatan Ketua Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) pada 2009, Haji Abdul Hakim Haji Gulam Hassan terus mengemudi Belia USIA dalam usaha mendekati generasi muda Islam di seluruh Sabah. Abdul Hakim,34 yang juga Ketua Bahagian USIA Tungku dan menjadi salah seorang pemimpin USIA yang menduduki Majlis Kepimpinan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) terus menjalankan pelbagai program bersama belia-belia di 25 bahagian USIA di seluruh Sabah.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemui beliau untuk meninjau pendapatnya mengenai gerakan dakwah dan bagaimana seharusnya generasi belia di negeri ini berpartisipasi dalam pembangunan negara. Dalam Perhimpunan Agung USIA Yang ke-32, beliau mengalahkan penyandang, Datuk Haji Sairin Karno yang juga ADUN Liawan bagi jawatan Ketua Belia USIA.Beliau juga merupakan AJK UMNO Bahagian Silam sejak 2004, pernah berkhidmat di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Selama lima tahun dan pernah bertugas di Jabatan Ketua Menteri selama dua tahun dan kini menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Anak arwah Tuan Guru Haji Muda atau nama sebenarnya Haji Gulam Hassan, ulama dan seorang pendakwah yang dikenali di Pantai Timur Sabah mengongsikan pendapatnya dalam satu pertemuan Jumaat lalu di ibu negeri.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dalam ruangan Sembang Sabtu bersama Utusan Borneo. Boleh saudara ceritakan bagaimana awalnya saudara terlibat dalam Belia USIA?

HAJI ABDUL HAKIM: Saya mulai terlibat dalam gerakan dakwah USIA sejak beberapa tahun lalu. Kemudian bersama rakan-rakan kami menubuhkan USIA Bahagian Tungku. Bermula dari sana, kami mengadakan pelbagai aktiviti dakwah di Tungku. Selepas itu, timbul permintaan daripada rakan-rakan seperjuangan agar saya bertanding sebagai Ketua Belia USIA, apatahlagi ketika itu ada ura-ura penyandangnya, Yang Berhormat Datuk Haji Sairin Karno berminat untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

Setelah mempertimbangkan permintaan dan desakan ahli-ahli terutamanya di kalangan belia, saya bertanding jawatan Ketua Belia USIA. Alhamdulillah, para perwakilan telah memberikan amanah kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Belia USIA dalam perhimpunan agung dua tahun lalu.

Saya menganggap jawatan ini sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan untuk membangun belia Islam di negeri ini.Dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu, bersama AJK Belia USIA, kami bekerjasama erat dengan barisan kepimpinan USIA di semua peringkat untuk memperkukuhkan lagi peranan Belia USIA demi kesejahteraan dan kemaslahatan ummah.

Kemenangan ini sendiri merupakan takdir Ilahi dan kita harus mensyukurinya. Oleh sebab itu, sebaik menerima amanah itu, saya telah merancang untuk menemui setiap bahagian USIA untuk bertukar-tukar pandangan dengan kepimpinan belia di peringkat akar umbi.

Apa yang penting dalam perjuangan ialah keikhlasan kita.Kalau kita meletakkan keikhlasan dalam perjuangan melebihi segalanya demi Allah dan Rasulnya, susah tentu tidak akan timbul sebarang masalah.

Kita harus menyatukan barisan dan elupakan perbezaan.Sebagai pewaris kepimpinan, adalah menjadi harapan kita agar belia menjadi belia yang berkualiti yang dapat menyumbang kepada keluarga, masyarakat agama dan negara.

UB: Bagaimana saudara melihat kedudukan generasi belia di negeri ini?

HAK: Sebagaimana yang kita ketahui sebanyak 44 peratus atau 1.36 juta daripada 3.084 juta penduduk di negeri Sabah terdiri daripada golongan belia. Bila kita sebut golongan belia, takrifnya ialah generasi yang berusia di antara 15 hingga 40 tahun. Namun setiap tahun, jumlah belia di negeri ini bertambah.

Kita selalu menyebut belia harapan negara dan bangsa. Kepada belia generasi muda,kita berharap negeri dan negara ini terus membangun dengan penuh kekuatan untuk mempertahankan negara dan meneruskan tanggungjawab memajukan negara.

Malangnya, pelbagai persepsi negatif sering sering dikaitkan dengan golongan belia walaupun hanya segelintir kecil yang terlibat dalam gejala-gejala yang tidak diingini. Sebenarnya, lebih ramai belia kita melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan yang berfaedah.Selain itu mereka telah tampil ke hadapan untuk berbakti malah sebilangannya memainkan peranan dalam kepimpinan.

Sungguhpun demikian, tanggungjawab pembangunan belia merupakan agenda bersama semua pihak. Tetapi saya melihat perlunya belia diberikan peluang untuk memainkan peranan dalam proses pembangunan negara. Sumbangan mereka perlu diiktiraf dalam segala bidang.Pengiktirafan itu boleh dilakukan melalui banyak kaedah termasuk memberikan mereka lebih banyak peranan, memberi lebih banyak peluang dan ruang kepada belia untuk berpartisipasi. Sumbangan belia amatlah penting agar mereka terus terlibat dalam menentukan hala tuju negara.

Kita juga mahu melihat perpaduan di kalangan belia dan di kalangan NGO belia juga kerana ia amat penting agar suara mereka didengar. Kita mahu agar belia satu suara dalam memperjuangkan kepentingan belia keseluruhannya.
Saya juga ingin mengingatkan bahawa tempoh Wawasan 2020 hanya tinggal sembilan tahun lagi. Kita harus meninjau
persiapan kita, apakah telah cukup mempersiapkan belia kita menjelang Wawasan 2020 itu?

UB: Apa masalah belia yang saudara lihat hari ini?
HAK: Secara jujur kita dapat melihat masalah belia dalam pelbagai sudut. Antaranya senario ekonomi dunia yang menguncup menyebabkan peluang pekerjaan berkurangan dan kadar pengangguran meningkat.Kita juga melihat gejala sosial yang meruncing di meningkat di kalangan belia. Ini sudah pasti meresahkan masyarakat. Oleh itu, kita perlu memberikan pendekatan penyelesaian bersepadu.
Penyelesaian bersepadu ini melibatkan ibubapa, keluarga, rakan sebaya, belia, masyarakat setempat, pemimpin-pemimpin belia/IPTA/IPTS dan pakar-pakar perundingan belia.
Peranan menerajui pembangunan belia bukan hanya terletak kepada pihak kerajaan tetapi adalah merupakan tanggungjawab kita bersama. Gerakan untuk mendekati, membimbing dan mencorak minda belia diperhebat dan dipergiatkan dari masa ke semasa.
Pembangunan Belia bermula dari rumah dan keluarga. Bagi saya ibu bapa termasuk ahli keluarga, perlu memberikan masa yang berkualiti untuk mendekati dan membimbing anak-anak supaya menguasai ilmu pengetahuan dan pembangunan kendiri supaya menjadi modal insan bernilai kepada negeri dan negara.
UB: Setakat ini apa yang dilakukan Belia USIA dalam mendekati belia?
HAK: Kita berusaha mendekati belia berteraskan Gagasan 1 Malaysia 1 Belia. Kita juga turun padang mendekati belia- belia semua peringkat untuk mencorak minda, mendengar suara hati, meresapi jiwa, prihatin kecenderungan, aspirasi, impian dan harapan generasi belia. Kita melihat generasi belia kita memang memberikan sambutan terhadap program-program yang kita adakan.
Antara program yang kita adakan ialah Ziarah Dakwah, Kembara Ramadhan, Seminar Belia, aktiviti kemasyarakatan, Kursus fardhu ain dan Fardu kifayah, bantuan fakir miskin dan anak yatim, majlis berkhatan untuk anak-anak yatim dan miskin, membantu mangsa bencana alam, membantu golongan kurang bernasib baik sama ada di kalangan Islam dan bukan Islam dan sebagainya.
Semua ini membuktikan keprihatinan belia USIA terhadap permasalahan belia dan dunia mereka. Bukan itu saja, kita berusaha untuk meningkatkan imej belia dengan memberikan mereka peluang untuk memainkan peranan dalam proses kemajuan.
Kita sedar bahawa peluang pekerjaan yang berkurangan, kadar pengangguran yang meningkat dan gejala sosial yang meruncing di kalangan belia. Ini semua perlu diberikan perhatian dan semua pihak terutamanya kerajaan perlu mengambil langkah untuk menangani permasalahan itu.
UB: Apa saranan saudara untuk mengatasi permasalahan gejala pengangguran di kalangan belia?

HAK: Saya fikir kerajaan melalui pelbagai agensinya perlu mengambil langkah proaktif untuk kepentingan belia termasuk memberikan peluang kepada golongan belia yang layak untuk menjadi peneroka skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Felcra, Risda dan sebagainya.

Golongan belia sepatutnya diberi peluang untuk menjadi peneroka di skim penempatan Felda kerana masih banyak tanah yang sepatutnya diteroka oleh anak-anak negeri ini tidak dibangunkan seperti yang dipersetujui pada tahun 1979 antara Kerajaan Negeri dan Felda.

Kita meminta supaya belia diberikan peluang menjadi peneroka. Berikan peluang kepada belia yang layak.Kita tahu bahawa masih banyak tanah yang boleh diteroka dan peluang harus diberikan kepada belia. Kia difahamkan bahawa terdapat hanya beberapa penempatan dibuka yang melibatkan 872 peneroka di Felda Sahabat walaupun sepatutnya tanah seluas 137,593 hektar yang diberikan kepada Felda pada tahun 1979 itu digunakan untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Golongan belia yang layak sepatutnya diberi peluang untuk menjadi peneroka di skim-skim penempatan felda di negeri ini.Ini merupakan salah satu cara membantu rakyat khususnya golongan belia meningkatkan pendapatan dan memperbaiki taraf hidup selaras dengan konsep 1Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

UB: Bagaimana pula golongan belia yang berpelajaran, mempunyai ijazah dan kelayakan tetapi menganggur?

HAK: Kerajaan harus mencipta peluang pekerjaan kepada mereka.Selain itu pendidikan kemahiran juga perlu dititikberatkan. Golongan profesional perlu diberikan peluang berkhidmat dengan ganjaran berpatutan.
Sementara itu, mereka yang berkhidmat dalam sektor kerajaan perlu diberikan peluang kenaikan pangkat. Kita lihat ada trend untuk menyambung perkhidmatan setengah pegawai kerajaan yang bersara.
Tindakan ini sebenarnya menutup peluang pegawai-pegawai kerajaan untuk kenaikan pangkat mereka.Ini secara tidak langsung akan memperkuat sektor perkhidmatan di negara kita kerana lebih banyak idea baru akan muncul di kalangan pegawai baru.


UB:Apa pandangan saudara terhadap masalah kekurangan sekolah agama di negeri ini?

HAK: Sudah sampai masanya kerajaan membina lebih banyak sekolah rendah dan sekolah menengah agama di negeri ini, kalau boleh di setiap daerah.Pendidikan agama amatlah penting dalam pembentukan generasi muda.Oleh sebab itu, sekolah-sekolah agama perlu dinaiktaraf kerana kita mendapati banyak sekolah agama yang masih berada dalam keadaan yang daif, sungguhpun negara Malaysia terbentuk sejak 48 tahun lalu.
Kemudahan dan prasarana pendidikan agama perlu ditingkatkan. Selain itu juga, kebajikan guru hendaklah diberi perhatian dengan menaikkan gaji mereka ke tahap yang lebih baik selaras dengan perkembangan zaman.

UB: Kita melihat banyak program belia USIA diadakan di masjid-masjid. Bagaimana pendapat saudara mengenai peranan masjid dalam membina belia?

HAK: Sebagaimana yang kita tahu, Masjid merupakan pusat kecemerlangan ummah. Institusi masjid sepanjang sejarah merupakan pusat kemajuan, pusat peradaban, pusat kegiatan masyarakat sejak zaman Nabi. Sebab itu, kita mahu supaya masjid-masjid di negeri ini diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang diadakan. Kita mahu masyarakat kita kembali kepada masjid. Hanya melalui masjid banyak problem masyarakat kita akan dapat kita tangani.

Antara penyebab masalah belia hari ini adalah kerana mereka jauh dari masjid.Sepatutnya sejak dari kecil mereka dibiasakan dengan masjid.

Selain itu, saya berkongsi pendapat dengan NGO-Ngo Islam supaya setiap projek perumahan yang dibangunkan perlu turut membina masjid untuk kegunaan masyarakat Islam yang tinggal di sekitarnya sejajar dengan usaha untuk mempertingkatkan tahap amalan beragama dalam kalangan orang-orang Islam di negeri ini.
Disamping masjid, projek perumahan yang dibangunkan juga perlu mengambil kira pembinaan dewan serbaguna, padang permainan, blok rumah kedai dan kemudahan seumpamanya. Keperluan-keperluan asas ini amat penting agar masyarakat Sabah dapat hidup dalam suasana kejiranan yang lebih harmoni, mesra dan baik.
Kita juga menggesa supaya kerajaan membantu memperkukuhkan institusi keluarga. Contohnya, kerajaan hendaklah memastikan setiap rumah kos rendah perlu disediakan ruang yang mempunyai tiga bilik tidur agar ibubapa, anak lelaki dan anak perempuan dapat dipisahkan tempat tidur mereka.
Suasana rumah seperti ini amat penting agar keluarga berkenaan dapat lebih selesa dan sekaligus mengurangkan gejala sosial yang sering berlaku di kalangan masyarakat.
Selain itu, kita juga meminta agar kerajaan menguatkuasakan peraturan mewajibkan penyediaan ruang solat di semua premis umum di negeri ini. semua premis umum termasuk kompleks membeli belah, taman rekreasi hendaklah menyediakan surau yang baik termasuk kemudahan-kemudahan mengerjakan solat untuk memudahkan umat Islam. Kita turut menyarankan agar kemudahan solat dan kedudukan surau berkenaan perlu berada di kawasan strategik dan memudahkan semua orang Islam.
UB: Kita menyedari bahawa golongan belia adalah penentu masa depan negara. Apa komen saudara terhadap sikap belia yang kurang peduli terhadap hak mereka?
HAK: Ya betul. kadang-kadang kita bertemu dengan belia yang bersikap tak acuh terhadap hak mereka sebagai warga negara. Ini masalah yang dihadapi hampir di semua negara.Tetapi kita harus menanamkan rasa cinta terhadap negara dengan mendekati mereka.Memberikan kefahaman kepada mereka untuk menjadi warganegara. Mereka boleh memainkan peranan untuk menjadi pemilih dan penentu masa depan.
Kita yakin, belia mampu berfikir dengan matang dan bijak. Kita hanya perlu membantu mereka menemui jati diri mereka sendiri.Apabila mereka telah menyedari tanggungjawab, sudah tentu mereka akan turut bersama membina negara.