Sabtu, 26 Mac 2011

mengenang sejarah IPS selepas 21 tahun

Tags

MENGENANG SEJARAH IPS SETELAH 21 TAHUN
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

APA yang dapat dikatakan ketika usia tiba pada angka 21?. Pertanyaan itu tiba-tiba muncul ketika Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah, Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Haji Usin mengirimkan ucapan selamat menyambut ulang tahun buat persatuan kami, yang pada hari itu, 24 Mac, genap usianya 21 tahun.

Tak ada kek, tak ada lilin untuk ditiup. Hari itu hampir berlalu tanpa disedari kalau tidak kerana rakan-rakan mengucapkan ucapan selamat hari lahir buat IPS melalui ruangan facebook. Memang terdapat rancangan untuk mengadakan semacam acara sambutan tetapi kebetulan pula, Hasyuda Abadi sedang ada tugasan luar di Kuching Sarawak manakala rakan-rakan lain belum dapat dihubungi.

Segalanya bermula di Jalan Lapan Belas di ibu negeri.Jalan Lapan Belas terletak berhampiran persimpangan jalan. Terdapat beberapa lampu isyarat untuk mengawal lalu lintas. Kenderaan bertali arus. Untuk melalui jalan itu, seseorang perlu berhati-hati dan terpaksa menoleh kanan dan kiri untuk menyeberang.

Apa istimewanya Jalan Lapan Belas?. Sebenarnya tak ada apa-apa kecuali di pembahagi Jalan Lapan Belas itulah, percambahan idea untuk menubuhkan Ikatan Penulis Sabah (IPS) terjadi.

Kami hanya bertiga ketika itu. Saya yang paling muda, berusia dua puluh satu. JM berusia 28 dan Ailin baru 23. Biasanya ketika tengahari atau petang, kami sering melalui pembahagi Jalan Lapan Belas itu untuk ke Kantin di Tingkat Tiga Bangunan Pejabat Pos.

Mungkin kami anak muda yang bersemangat. Era penghujung 80-an dan awal 90-an itu ditandai oleh kegelisahan kami sebagai penulis muda untuk turut sama mewarnakan dunia sastera di negeri ini. Lagi pula ketika itu, timbul semacam persaingan antara penulis di ibu negeri untuk berlumba-lumba menghasilkan karya sastera yang bermutu.

Waktu itu nama-nama seperti Mohamed Hadie Nor D (kini Allahyarham), A.Karim Kadir, Jair Sulai, Saik DS, Masrani Madun, Ailin Nor, Norjannah MA, Sharifah AM Noordin, Aida AR, Ali Karim, Mila, Agus M, NR Rahim, Masdini Mohamad, Shukri Shaifudin, Ariff Osman, Agus M, Mabulmaddin Shaiddin,dan deretan banyak lagi nama mewarnai lanskap sastera Sabah.

Bahawa tidak ramai penulis muda yang pada era selepas kami, juga menimbulkan persoalan. Ketika nama mereka yang lebih senior seperti Hasyuda Abadi, Jasni Matlani, Saibil Madun, Mohd.Zain AH, Siba Nita AS. Arifin Arif, ABM Fajeer, Zeick, R.Hamzah Dua, Juri Durabi, Azmah Nordin,Sitti Rahmah G.Ibrahim, Mariam Omar sudah pula mencipta masing-masing.

Tetapi kini, kita dapat melihat wajah-wajah baru yang menyerlah dalam dunia sastera kita. Antaranya Noraini Osman,Ruhaini Matdarin, Pena Alam. Faridah Abd.Hamid, Dg Mastura dan sederet nama lain yang menjanjikan dan berpotensi untuk menjadi nama-nama besar dalam dunia kesusasteraan kita.

Selain itu, muncul juga puluhan nama penulis yang dihasilkan oleh Sekolah Pengajian Seni UMS, yang berjaya mengisi ruang akhbar tempatan seperti Utusan Borneo hampir setiap minggu. Walaupun kita masih belum dapat mengatakan dengan pasti mengenai hayat kepengarangan mereka, tetapi sudah tentulah mereka dapat membina asas yang baik untuk memperkukuhkan dunia kepenulisan mereka pada masa akan datang.

Kini setelah 21 tahun IPS berdiri sebagai sebuah persatuan penulis, tantangan dan cabaran yang lebih besar menanti untuk menjalani hari-hari sepanjang perjalanannya mengisi usia kedewasaan, yang tentunya lebih hebat dan mencabar.