Sabtu, 19 Februari 2011

Misteri Muslimah di Amerika, menarik untuk dibaca

Tags

Kehidupan muslimah Amerika sering dianggap misteri. Selalu pula disalahfahami kerana ketidaktahuan, kecurigaan dan ketakutan yang tidak beralasan. Sejak peristiwa 11 September, tekanan dan diskriminasi terhadap kaum muslimah di Amerika meningkat tetapi di sebaliknya minat warga Amerika untuk mempelajari agama Islam juga meningkat.

Fakta menunjukkan bahawa terdapat peningkatan jumlah penduduk Islam di Amerika iaitu daripada 1.1 juta orang sebelum tragedi 11 September kepada 6.7 juta orang selepas peristiwa itu. Ini menurut data yang diperolehi daripada Council of American-Islamic Relations.
Menurut The New York Times, kira-kira 25,000 memeluk Islam setiap tahun malahan wujud peningkataan orang hispanic yang beralih kepada Islam iaitu 11,000 setiap tahun.

Apa yang membuat mereka tertarik kepada Islam. Kebanyakan wanita itu merasakan bahawa mereka mendapatkan kebebasan dalam Islam dan Islam menjamin hak-hak wanita dengan lebih baik menurut al-Quran.

Bagaimana pula kehidupan Muslimah di Amerika? Misteri kehidupan ini yang diselongkar oleh seorang wartawan, Donna Gehrke-White dalam bukunya Face Behind The Veil terbitan Citadel Press.http://www.facebehindtheveil.com/.

Buku itu diterjemahkan dengan baik dalam bahasa Melayu Indonesia oleh Joko Subinarto dengan tajuk Misteri Muslimah-Kehidupan Luar Biasa Muslimah Amerika terbitan MQ Gress.
www.mqs.co.id

Buku itu mengisahkan kisah hidup 50 muslimah Amerika. Bagaimana keadaan hidup mereka, situasi yang mereka hadapi, bagaimana mereka bersikap hanya kerana dipandang serong oleh warga Amerika yang lain hanya kerana mereka bertudung, apa yang membuat mereka tertarik kepada Islam, Apa pandangan mereka terhadap Islam dan sebagainya.

Itulah yang dikupas dengan sangat baik oleh buku ini. Donna Gehrke-White mengadunkan laporan jurnalistiknya, dan yang paling mengagumkan ialah bagaimana dia menulis tanpa berpihak, menulis secara jujur tentang realiti yang dilihatnya dan dihadapinya.

Beliau menggolongkan Muslimah Amerika dalam lima golongan iaitu The New Tradisionalist iaitu Muslimah yang kembali mengenakan tudung atau hijab setelah beberapa generasi dalam keluarganya tidak berbuat demikian.Mereka merasakan perlunya menunjukkan bahawa mereka Muslimah.
Kelompok kedua ialah The Blenders, Muslimah yang tidak mengenakan tudung tetapi tetap menjalankan perintah agamanya dengan taat.Mereka menjalankan perintah agama dan berpandangan bahawa keIslaman dan keimanan seseorang tidak dilihat berdasarkan pakaian semata-mata tetapi amal perbuatannya dan kebaikan-kebaikan yang dibawanya.

The Converts iaitu Muslimah baru memeluk Islam.Mereka ini kebanyakannya daripada profesor, doktor, peguam, pejuang hak asasi manusia dan sebagainya yang melihat Islam sebagai agama yang mampu memenuhi aspek spiritual mereka.

The Prosecuted iaitu Muslimah yang berpindah ke Amerika Syarika kerana menghindari ekploitasi budaya di negerinya seperti Afghanistan, Iraq, Sudan, Somalia dan sebagainya yang kurang memberikan peluang pendidikan kepada anak-anak perempuan dan yang kelima The Changers iaitu kelompok yang mampu mempengaruhi perubahan kerana mereka merupakaan tokoh-tokoh pembaharu dalam masyarakat.

Banyak perkara yang sebelumnya tidak difahami orang barat terhadap Islam dapat diluruskan melalui tulisan Donna Gehrke-White ini. Misalnya pandangan terhadap hak-hak wanita, kesalahfahaman mengenai poligami, perkahwinan dan sebagainya.

Saya sangat menghargai ketulusan, kejujuran dan keterusterangan Donna Gehrke-White ketika menulis buku ini.Sebagai seorang yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai wartawan di Miami Herald, Donna juga pernah memenangi Hadiah Pulitzer sebanyak dua kali, lulus sarjana di Universiti Drake, di Desmoines Iowa dan juga lulusa dari Universiti Texas,Austin.

Buku Face Behind The Veil atau Misteri Muslimah, Kehidupan Luar Biasa Muslimah Amerika yang mengisahkan kehidupan kehidupan 50 wanita yang menjadi warga Amerika ini sungguh menarik untuk dibaca. Menarik untuk dibaca bukan saja oleh kalangan Islam malah kalangan bukan Islam bagi mewujudkan suasana saling pengertian, saling hormat menghormati, meluruskan kesalahfahaman dan mewujudkan suasana damai diantara penduduk di muka bumi ini.