Isnin, 7 Februari 2011

Malam di Salimpodon Laut, Pitas

Tags

Jam 1.30 petang, saya telah berada dalam teksi Ismail bin Jamah, orang Payas Payas yang lebih dikenali sebagai Koso' itu, untuk ke Kota Belud. Di sana, Sabat telah menunggu dan sebaik-baik tiba kira-kira jam 3.15, kereta kancilnya terus memecut ke Kota Marudu.

Kami singgah sebentar di Goshen dan selepas minum kopi Radix, (dan sempat pula bertemu Cikgu Florese) kami terus ke Pitas.Jam 5.00 petang, saya perlu berada di Kampung Salimpodon Laut Pitas, menghadiri sambutan perayaan Tahun Baru Cina anjuran Ruddy Awah dan keluarga, yang disifatkan sebagai perayaan Tahun Baru Cina yang paling panjang dan paling unik di Malaysia.
Paling panjang kerana ia diadakan selama enam hari enam malam iaitu sejak 1 Februari hingga 6 Februari dan diserikan dengan banyak acara.
Paling unik kerana walaupun ia dirayakan oleh kaum cina tetaapi 90 peratus jawatankuasanya terdiri dari masyarakat sekitar pelbagai kaum di Pitas.
Suku kaum Cina di Pitas atau kebanyakan mereka lebih suka dipanggil `Cina Kebun' sebenarnya jumlahnya tidak ramai. Tetapi perayaan yang disambut dan menjadi tradisi keluarga Ruddy Awah sejak 25 tahun lepas, mungkin merupakan satu-satunya perayaan seumpama itu di Malaysia.
Pegawai Daerah Pitas, Sapdin Ibrahim bersetuju jika acara itu dapat dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai perayaan tahun baru cina paling panjang dan paling unik di Malaysia.

Jumlah hadirin lebih 1,000 orang. Ramai yang berdiri menyaksikan majlis penutupan itu yang diserikan dengan kehadiran Alex Raja Lawak, Ebi Kornelis, ahli silap mata terkenal George Adung, penyanyi Marsha, S.Willy bintang dari kudat, Ivy Jovah penyanyi Kimaragang dan pertunjukan tarian singa.

Acara habis kira-kira jam 11.00 malam. Kami beredar dari rumah Ruddy kira-kira jam 11.44 minit malam dan jam 12.30 tiba di Palm Villa, menginap satu malam kerana hotel sudah ditempah lebih awal.
Kami sempat minum di Restoran Asimah, di Anjung Goshen, menikmati soto campur sambil menonton perlawanan Chelsea dan Liverpool.

Masih 0-0 ketika kami pulang ke hotel dan hampir jam 3.00 pagi baru tertidur kerana pelajar UPM dari Kota Bharu berkira-kira untuk interview mengenai sejarah penubuhan Ikatan Penulis Sabah (IPS).