Ahad, 3 Oktober 2010

Menara Jam,Nilai Sejarah dan Sikap Kita

Tags

MENARA JAM, NILAI SEJARAH DAN SIKAP KITA
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com


INGATAN adalah musuh kita yang setia, demikian kata penyair Latiff Mohidin dalam puisinya. Segala yang mati bangkit kembali, segala yang hilang menjelma semula. Ingatan terhadap seseorang mungkin sukar dilupakan, apatahlagi kalau yang dikenang itu, seorang yang baik, peramah dan mati dalam usianya yang muda.
Mungkin kerana itulah, Menara Jam Atkinson dibina kira-kira 105 tahun yang lalu. Sebagai Pegawai Daerah Jesselton, Francis George Atkinson yang berkhidmat sekitar tahun 1901-1902, dikatakan seorang yang baik, ramah dan disenangi. Beliau dikatakan seorang pentadbir British yang mudah didekati.
Meskipun tempoh perkhidmatannya tidak lama, Atkinson yang meninggal dunia ketika berusia 28 tahun, kerana diserang malaria atau `demam borneo', tetap dikenang oleh ibunya, yang membina menara jam hasil pungutan derma orang ramai pada tahun 1905. Menara jam itu, pernah satu ketika menjadi panduan bagi kapal kapal yang berlabuh dan kini merupakan bangunan tertua dan menjadi ikon bandaraya Kota Kinabalu.
Ketika perang dunia kedua, Menara Jam Atkinson terselamat daripada pengeboman Jepun. Menara yang pada mulanya dibina tanpa menggunakan sebatang paku, tetapi kemudian dibaiki semula, kini merupakan antara bangunan yang mampu memperingatkan warga kota sejarah masa lampau mereka.
Kerajaan pada tahun 1997 telah mewartakan Menara Jam Atkinson sebagai tapak bersejarah melalui Enakmen Warisan Kebudayaan (Pemuliharaan) 1997. Tetapi jam di menara Atkinson itu tiba-tiba berdenting semula dengan kuatnya, apabila Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) merancang untuk membina bangunan 17 tingkat berdekatan menara jam itu.
Adalah dikhuatiri, pembinaan bangunan pejabat dan komersil itu akan membahayakan menara bersejarah itu. Sejarah bukan semata-mata berbicara tentang masa lalu tetapi juga ia menyediakan cermin untuk kita melangkah ke hadapan. Secara tiba-tiba, semua orang menjadi semakin sensitif terhadap kepentingan mengekalkan sebuah monumen sejarah.
Kalau sebelum ini, Menara Jam Atkinson lebih banyak diabadikan dalam poskad dan buku, kini ia mulai mendapat perhatian. Kalau sebelum ini, tidak ramai yang mempedulikan menara jam itu, kali ini sudah ada pihak yang membersihkan semak yang tumbuh di sekelilingnya.
Menara Jam Atkinson didirikan untuk mengenang kebaikan seorang pegawai kolonial yang mati muda. Tidak ada salahnya untuk kita mengenang kebaikannya, malahan kita mestilah berjuang untuk mempertahankan dan mengekalkan tapak bersejarah itu. Kepedulian kita terhadap warisan sejarah memang longgar. Kadang-kadang kita membiarkan tapak-tapak bersejarah terlupakan tanpa keprihatinan.
Terdapat banyak contoh, dimana warisan sejarah yang kita banggakan terbiar tanpa dipedulikan. Antaranya bukit Mat Salleh yang hampir gondol di Kampung Inanam Laut, di pinggir Kota Kinabalu. Bukit yang menjadi kubu Datu Paduka Mat Salleh itu hampir musnah tanpa diselamatkan. Di Kota Belud juga, terdapat tapak perang Pandasan dan makam pejuang Embo' Ali yang sepatutnya dipulihara.
Di Kota Marudu, masih terdapat Kubu Syarif Osman, yang sepatutnya boleh menjadi tapak bersejarah yang patut dipulihara. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengenalpasti tapak tapak sejarah jika kita benar-benar ingin mempertahankan sejarah tanahair kita. Mungkin bagi penjajah, mereka dianggap penentang dan dengan itu tidak sepatutnya dikenang, tetapi bagi anak negeri, perjuangan tokoh-tokoh itu memang murni untuk mempertahankan tanahair.
Jika ramai orang prihatin terhadap sejarah dan keberadaan Menara Jam Atkinson, orang sepatutnya tidak lupa untuk menjadikan bekas tapak bangunan lama Maktab Sabah (Sabah College) dan Dewan Turnbull sebagai tapak bersejarah yang perlu dipulihara kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi.
Entah apa yang terjadi terhadap bekas tapak sekolah Maktab Sabah itu sekarang. Tiada yang pasti.Tetapi Turnbull Hall tetap meninggalkan banyak kenangan kepada bekas-bekas penuntut sekolah itu yang pernah menjadi sekolah utama kerajaan pada satu ketika dahulu itu.
"Kenangan menghadiri perhimpunan mingguan, sambil menyanyi lagu `morning had broken', pertandingan drama dan majlis tari menari sentiasa mengusik jiwa," kata seorang bekas penuntut sekolah itu.
Bukan Dewan Turnbull itu saja yang menanti masa rebah ke bumi tetapi lain-lain bangunan bekas bilik darjah juga kini menunggu untuk rebah ke bumi dan dibiarkan kosong".
Maktab Sabah telah melahirkan ramai pemimpin negeri dan persekutuan. Antara pemimpin yang pernah bersekolah di Maktab Sabah ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Dr.Yee Moh Chai, Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr.Ewon Ebin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hajah Azizah Haji Mohd Dun dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran dan ramai lagi pembantu menteri .
Pemimpin di peringkat pusat yang pernah menjalani persekolahan di maktab itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar , Datuk Haji Shafie Apdal, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr.Maximus Ongkili. Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia dan timbalannya, Datuk Ronald Kiandee dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Haji Juhar Mahiruddin juga merupakan bekas pelajar Maktab Sabah.
Sehingga kini bangunan itu terus terbiar dan dilupakan. Kita menggesa kerajaan supaya mengambil langkah menyelamatkan bangunan bersejarah itu. Tidakkah menteri-menteri itu ingin melakukan kebaikan juga dengan memulihara dan menjadikan bekas tapak bangunan sekolah itu sebagai tapak bersejarah?
Jam di menara Atkinson itu akan terus berdenting bagi mengingatkan kita perkara-perkara yang terlupakan, sesuatu yang erat hubungannya dengan masa lalu sekaligus amat penting sebagai cerminan generasi masa depan.

3 comments

saya linkan sejarah menara atkinson nikh di blog saya

akan kupas mengenai menara jam atkinson di belog sy..lawat lah kalau ada kesempatan tuan abd.=) http://myamazingsabah.blogspot.com .