Ahad, 31 Oktober 2010

Jasa guru, sekolah lama dan kenangan lalu

Tags

Jasa guru, sekolah lama dan kenangan lalu
Sekitar Jamuan Makan Malam Persatuan Alumni SMK Menggatal

Oleh ABD. NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
gambar ihsan HANAFI ABD.SALIK

NAMANYA paling banyak disebut pada malam itu. Orang yang paling dihormati dan disegani kerana karisma, wibawa dan dedikasinya sebagai seorang guru. Kalau malam berbintang, beliaulah bintang pada Majlis Jamuan Makan Malam Persatuan Alumni SMK Menggatal yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.

"Kalau bukan cikgu Adzis, saya tak akan sampai ke tempat yang ada sekarang," kata seorang bekas muridnya, Datuk Abdul Rahim Bakri. "Cikgu Adzis telah membuatkan saya minat dalam bidang sejarah," kata Timbalan Menteri Pengangkutan ini. "Walaupun menjadi akauntan dan `bankers', tetapi saya tetap menyimpan minat besar terhadap sejarah hasil didikan Cikgu Adzis".

Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat berkata, beliau tidak dapat melupakan peristiwa sebaik-baik keputusan STPM diumumkan pada 1980. Ketika itu, keputusan peperiksaan disiarkan dalam suratkhabar.

"Saya berada di kampung di Pitas ketika itu. Selepas mendapat tahu keputusan peperiksaan dengan mendapat gred A, saya ke Jabatan Pendidikan Kota Kinabalu. Malangnya borang UPU sudah habis.` I get really lost ' ketika itu," kata Datuk Rahim. Kemudian beliau datang mengadu kepada Cikgu Adzis. "Rahim jangan risau, saya boleh bantu," katanya. Cikgu Adzis kemudian memberikan borang UPU anak saudaranya kepada beliau untuk diisi. "Saya ingat lagi, anak saudara perempuannya itu nangis depan cikgu Adzis". "Sampai begitu sekali, komtmen cikgu Adzis membantu murid sekolahnya," kata Rahim. Beliau diberitahu anak saudara cikgu Adzis itu kini menjadi eksekutif di Petronas dan mendapat Phd.

"Kalau bukan cikgu Adzis, saya tak kan sampai ke tempat yang ada sekarang," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Jamuan Makan Malam Persatuan Alumni SMK Menggatal itu. Beliau berbangga kerana ramai bekas pelajar SMK Menggatal berjaya dalam kerjaya masing-masing. Banyak nostalgia sepanjang berada di SMK Menggatal, kata Rahim, malah beliau jumpa isterinya pun di SMK Menggatal. Beliau menyifatkan ia `turning point of my life'.

"Kita jangan lupa asal usul kita, sejarah hidup kita. Kita belajar di sekolah untuk mengubah nasib kita, dan alhmadulillah, kini bekas-bekas pelajar SMK Menggatal berjaya dalam kerjaya mereka masing-masing," katanya sambil berterima kasih kepada bekas-bekas guru yang telah mengajar mereka sehingga menjadi insan yang berguna.

Antara guru yang paling bermakna dalam hidup mereka ialah Cikgu Haji Abd.Adzis Abas, mantan Penolong Kanan dan Pemangku Pengetua SMK Menggatal (1977-1981). Sebelum itu, Cikgu Adzis dalam ucapannya berkata, sepanjang perkhidmatannya sebagai guru, kenangan paling manis baginya ialah ketika mengajar di Sabah iaitu SMK Menggatal. Selain itu, beliau pernah mengajar di SMK Sanzac dan SMK Gunsanad Keningau.

Banyak kenangan manis sepanjang bertugas di sekolah itu. Beliau berasa amat rapat dengan pelajarnya. "Saya tidak pernah rasa seperti berada di rantau orang kerana SMK Menggatal dekat di hati.

Katanya, pernah satu ketika, SMK Menggatal mengalami masalah bekalan air. Tapi walaupun tak ada air, tak ada pula pelajar yang dapat penyakit kulit. Barangkali kalau tak mandi seminggu, pelajar tak kena penyakit kerana antibodi mereka kuat, katanya berjenaka. Beliau mengakui sering mengikuti perkembangan anak muridnya. Beliau sering mengikuti perkembangan Datuk Rahim Bakri, Prof Madya Dr.Kassim Haji Mansur dan muridnya-muridnya yang lain.

Sesungguhnya ramai alumni SMK Menggatal yang telah berjaya. pada malam itu saja, selain Prof.Madya Dr.Kassim Haji Mansur,yang kini Timbalan Naib Canselor UMS, ramai lagi pelajar yang cemerlang.Antaranya Prof.Madya Dr.Datu Kamarudin Datu Mudin, Prof.Madya Dr.Mahmud Sudin dan ramai di antara mereka menduduki jawatan tinggi seperti Haji Safar Untong (Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur), Datuk Awang Buhtaman Ag.Mahmun (Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM Sabah), Hajah Maimunah Haji Suhaibul (Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah), Mohd.Sairin Haji Mohd.Ibrahim (Setiausaha Sulit Kanan Menteri), Hajah Asmiah Ajamain (Ketua Unit Bahasa DBP Sabah). Hajah Fauziah Datuk Haji Mohd.Din, Mohd.Salim Gabot, Haji Almain Ajirul (Pengarah Penerangan Johor) dan ramai lagi.

Selain itu, ramai yang menjadi doktor, antaranya Datin Dr.Mariana Mahmood, Dr.Bangrose Sadin, dan sederet senarai panjang orang-orang yang telah mencipta nama dalam bidang mereka. Musli Haji Oli, yang merupakan first batch SMK Menggatal, berkelulusan sarjana muda ekonomi, berjaya dalam kerjayanya menjadi penulis setelah berhenti daripada perkhidmatan kerajaan. Setakat ini beliau telah menghasilkan sembilan buah buku.

Majlis jamuan makan malam itu juga diserikan dengan persembahan multimedia dan persembahan karaoke. Sebelum itu, Presiden Persatuan Alumni SMK Menggatal, Prof Madya Dr.Kassim Haji Ibrahim berkata, hasrat untuk mengadakan majlis itu memang sudah lama dirancang tetapi baru kali ini mendapat waktu yang sesuai. Beliau berkata, antara tujuan persatuan itu diadakan ialah menjejak semula bekas pelajar dan bekas guru SMK Menggatal dan SMK Bandaraya.

Selain untuk mengeratkan hubungan silaturahim, perpaduan serta kerjasama di kalangan ahli Persatuan, persatuan itu juga bertujuan untuk mengumpul segala kepakaran yang terdapat di kalangan ahli untuk kepentingan masyarakat amnya dan sekolah khususnya dan menjadi jambatan penghubung di antara ahli dengan sekolah dan masyarakat.

Beliau berkata, persatuan alumni itu juga menyelaraskan aktiviti-aktiviti sosial dan kebajikan ahli-ahli ke arah hidup bermasyarakat yang lebih mampan dan mewujudkan rangkaian ahli yang terdapat di seluruh negara dan mengumpul maklumat untuk membentuk satu rangkaian yang sistematik dan tersusun.

"Persatuan Alumni SMK Menggatal merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).No Pendaftaran 2337-09-SBH bertarikh 11 November 2009. Keahlian persatuan terbuka kepada semua bekas pelajar/bekas guru/bekas kakitangan kakitangan SMK Menggatal/SMK Bandaraya Kota Kinabalu). Persatuan itu boleh dihubungi melalui http://facebook.com/Persatuan Alumni SMK Menggatal, emel alumnismkm@yahoo.com.my dan blog http://alumnismkm.blogspot.com.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Abdul Rahim Bakri yang sudi menjadi penaja utama untuk menjayakan program jamuan makan malam itu.

Pengetua SMK Bandaraya (nama baru SMK Menggatal), Dr.Shirley Tay Siew Hong berkata SMK Bandaraya kini semakin meningkat maju. Bagaimanapun tidak seperti dahulu, dimana hanya pelajar terbaik dari seluruh negeri Sabah terpilih belajar ke sekolah itu, kini SMK Bandaraya juga menampung keperluan pelajar di kampung-kampung berdekatan.

Dr.Shirley juga mengalu-alukan hasrat untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara bekas belajar dan sekolah. Selain itu, beliau juga meminta supaya persatuan membantu memajukan bidang pelajaran di sekolah itu.

Sejarah SMK Bandaraya Kota Kinabalu atau dulunya dikenali sebagai SMK.Menggatal telah di tubuhkan pada tahun 1967. Ketika pertama kali dibuka pada tahun 1967, hanya terdapat dua buah kelas tingkatan 1 dalam aliran bahasa Inggeris dengan 51 orang pelajar dan 2 orang guru. Pada mulanya, sekolah ini menumpang di bangunan SRJK Good Sheppard, Menggatal pada sesi persekolahan petang.

Tahun 1969, kelas peralihan telah dibuka bagi pelajar-pelajar yang datang dari sekolah bukan beraliran Bahasa Inggeris. Tahun 1977, bilangan pelajar meningkat lagi kepada 468 orang dengan 12 buah kelas.

Bangunan tetap SMK Menggatal siap dibina pada 24 Januari 1977 dengan menelan belanja sebanyak RM5.4 juta. Sekolah ini telah dibina di atas tapak seluas 30 ekar yang terletak di Batu 10, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu.

Pelajar SMK Menggatal mula menduduki peperiksaan LCE pada tahun 1970 bagi melayakkan mereka memasuki tingkatan empat. Pada tahun 1977, seramai lebih kurang 90 orang pelajar telah terpilih untuk mengikuti kursus matrikulasi Universiti Kebangsaan Malaysia di sekolah ini dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya.

Walau bagaimanapun, 1985 kelas matrikulasi UKM ini telah dipindahkan ke Sekolah Berasrama Penuh Sabah (SBPS) di Bukit Padang, Kota Kinabalu. Ini adalah kerana kedudukan sekolah ini lebih dekat dengan kampus UKM Cawangan Sabah. Sekolah ini juga pernah menempatkan pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Ugama (SMA Limau-limauan atau kini dikenali sebagai SMA Tun Mustapha) sebelum berpindah ke bangunan tetap di Papar. Kelas tingkatan enam juga telah dibuka pada tahun 1977 dan telah menempatkan pelajar-pelajar lepasan SPM dari seluruh Sabah.

Sehingga kini, sekolah ini mempunyai 7 bangunan bilik darjah, 2 blok asrama putera dan puteri. 2 buah bangunan flat dan 4 buah rumah untuk staf mengajar dan bukan mengajar. Pada masa kini, bilangan pelajar telah mencapai 2,000 orang dengan bilangan kakitangan akademik seramai 110 orang.

Bagaimanapun pada malam itu, tidak ramai pelajar first batch 1977-78 yang hadir. "Hanya dua tiga orang saja pelajar first batch yang saya kenal," kata Musli, antaranya Datuk Haji Abd.Gafar Madin dan Rusni Dusun, rakan satu kelas. "Kebanyakan yang datang merupakan pelajar baru selepas saya masuk UM tahun 1979," kata Musli lagi.

Namun pertemuan itu sangat bermakna dan bersejarah. Bertemu kawan dan rakan lama sangat menyeronokkan. Semua orang disapa sebagai kawan dan tanpa protokol lagi.

"Saya tidak sangka Dr.Kassim boleh jadi seorang profesor. Dulu nakalnya bukan main. Suka datang lewat ke sekolah," kenang Mursidi, bekas Ketua Pengawas. "Gengnya ialah Haji Sairin.Mereka selalu berdua. ," Saya mahu melapor kepada guru, Dr.Kassim malah mencabar supaya saya tulis dan lapor. Mereka datang lewat kerana keluar malam untuk tengok wayang. Tapi Dr.Kassim dan Haji Sairin tetap cemerlang," katanya. Walaupun mereka `nakal' tetapi selalu mendapat nilai terbaik di sekolah," katanya. "Datuk Rahim pula kalau berjalan tetap terselip nota di poketnya. Dia seorang yang artikulate," kata Mursidi lagi sambil membandingkan kenakalan pelajar dahulu amat berbeza dengan kenakalan pelajar sekarang.

"Dulu walaupun mereka nakal tetapi tetap `maintain' kecemerlangan dalam kelas." katanya mengenang. Pertemuan pada jamuan makan malam itu jelas mengubat kerinduan-kerinduan lama. Mereka bertukar-tukar cerita lama, bertanya kerjaya dan berapa jumlah anak masing-masing. Namun barangkali penting juga disebutkan beberapa nama yang bertungkus lumus menjayakan majlis Jamuan Makan Malam Persatuan Alumni SMK Menggatal pada malam itu, antaranya Hajah Fauziah Datuk Haji Mohd.Din (Timbalan Pengerusi), Mohd.Salim Gabot (Setiuasaha), Norallysham Stoh (Penolong Setiausaha), Inismawati Yusup (Bendahari) dan Muhamat A.Rahman, Prof.Madya Dr Datu Kamarudin Datu Mudin, Dk.Salmiah, Prof.Madya Dr.Mahmud Sudin, Ajanah Mohamed, Anne Sidek, Dr.Mariana Mahmood, Jafri Maskam, Zulkifli Ibrahim, Hajah Rosilah Haji Ahmad Nunsi, Hajah Asmiah Ajamain dan Haji Ghazali Hj Suhaili dan senarai panjang ahli jawatankuasanya.

Banyak kenangan yang tersimpan, terpendam atau tercicir sejak bertahun-tahun lamanya, tetapi pada malam itu, semuanya mengingat semula nostalgia, mengenang jasa guru dan sekolah, rakan-rakan lama dan tempat dimana mereka bermula.

Utusan Borneo 1 November 2010