Sabtu, 23 Oktober 2010

Catatan pertunjukan Kiai Kanjeng di Kota Kinabalu

Tags










KIAI KANJENG TAMPIL BERSAMA MENTERI DI KOTA KINABALU
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com


KEHADIRAN Kiai Kanjeng di Kota Kinabalu, sebenarnya tidak diketahui ramai. Meskipun begitu, halaman Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, yang menjadi tempat pertunjukan, penuh sesak dengan kehadiran warga Indonesia untuk menyaksikan Kumpulan pemuzik Gamelan Kiai Kanjeng yang begitu terkenal bukan saja di Indonesia malah di peringkat antarabangsa.

Sejak awal lagi, kami sudah menunggu ketibaan Cak Nun atau nama sebenarnya Emha Ainun Nadjib. Cak Nun merupakan pemimpin kumpulan Muzik Kiai Kanjeng yang telah membuat persembahan di hampir kesemua wilayah di Indonesia, termasuk lebih dari 21 propinsi,376 kabupaten,940 kecamatan dan 1,300 kampung di negara itu.

Kiai Kanjeng juga pernah diundang di 6 kota besar di Mesir (2003), enam kota di England pada 2004, Scotland, Jerman dan Itali pada 2005, Finland (2006), Hong Kong (2007),Belanda (2009) Abu Dhabi (2009) dan beberapa kali membuat persembahan di Malaysia.

Sayang sekali Cak Nun tidak dapat datang pada malam itu. Namun penampilan isterinya, Novia Kolopaking berjaya mengubat kerinduan masyarakat untuk menyaksikan persembahan Kiai Kanjeng. Kumpulan muzik yang merakyat itu tambah menarik lagi apabila ia membuat persembahan yang diselangselikan dengan dialog antara Menteri Pendidikan Nasional Republik Indonesia, Prof.Dr.Ir.Muhd.Nuh dengan warga Indonesia di Sabah.

Kumpulan pemuzik yang dikenal agak dekat dengan masyarakat akar umbi di Indonesia itu memang dirindukan. Ekplorasi muzik Kiai Kanjeng tidak terbatas kepada muzik tradisional Jawa, Sunda, Melayu atau Cina tetapi sebaliknya Kiai Kanjeng menggali budaya pelbagai etnik lain di Indonesia seperti Papua, Madura, Mandar, Bugis dan sebagainya.

Sambutan masyarakat terhadap kumpulan Kiai Kanjeng sangat membanggakan. Mereka memulakan persembahan malam itu dengan medley lagu-lagu rakyat, untuk membangkitkan rasa cinta warga Indonesia terhadap tanahair mereka.

Bersama Cak Nun, Kiai Kanjeng telah menghasilkan album Kado Muhammad pada 1996. Antara hit dalam album itu ialah lagu Tombo Ati, yang banyak memikat perhatian masyarakat. Cak Nun mengawali lagu-lagunya dengan bait-bait puisi yang menggetarkan. Sejak kemunculan album Kiai Kanjeng itu, shalawat dan syair-syair yang bernafaskan Islam mulai mendapat perhatian dan semakin popular di kalangan masyarakat.

Pada malam itu, Kiai Kanjeng tampil bersama Pak Menteri, yang menjadikan majlis itu berlangsung rileks dan informal. Bersama Konsul Jenderal, Bapak Suepeno Sahid, Menteri Pendidikan, Prof.Dr.Ir.Muhd.Nuh naik dan duduk bersila di atas pentas sambil memulakan dialog dengan warga Indonesia.

"Pada malam ini tiada menteri, tiada konjen (Konsul Jenderal) tiada dubes (Duta besar), kita bicara sesama bangsa," katanya.

Paling menarik ialah apabila Pak Menteri bertanya kepada Pascalis, seorang murid sekolah rendah mengenai cita-cita kanak-kanak itu. Pascali sempat menangis kerana tidak menyangka boleh berbicara dengan menteri.

"Apa cita-citamu?"
"Cita-cita saya menjadi Presiden", kata Pascalis sambil disambut tepukan tangan. Ketika menanggapi cita-cita pascalis ingin menjadi Presiden itu, Prof Muhd.Nuh berkata, siapa tahu 40 tahun akan datang, anak ini benar-benar jadi Presiden.

Seorang lagi pelajar, Rabiah ingin menjadi guru. Rakannya Muhd.Fikri ingin menjadi pilot. Menteri menasihatkan mereka supaya terus belajar dan belajar untuk menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat.

Selepas itu, Menteri meminta Kiai Kanjeng melanjutkan persembahan. Kali ini Kiai Kanjeng tampil dengan lagu dangdut Melayu, lagu irama zapin tradisi dari Melayu Riau.

Kemudian Pak Menteri berdialog lagi dengan guru-guru. Hasanudin, pendidik yang berasal dari Palembang memberitahu mengenai permasalahan pelajar yang tidak mempunyai cukup buku. Ada juga guru yang meminta supaya diberi kelengkapan lap top supaya boleh berhubung dalam dunia global.

Seorang lagi guru, Nurdanita pula mengatakan bahawa beliau seumur hidup tidak pernah berdepan dengan Menteri. Beliau juga menyampaikan masalah pelajar dan kelas di Lumadan.Selain itu, Ibu Sarji Saloranti yang bekerja sebagai pekebun sayur di Kundasang, meneruskan tugas membimbing pelajar walaupun terpaksa membeli tusuk satay untuk belajar ilmu matematik. Nasib guru-guru yang mengajar anak-anak warga Indonesia di Sabah perlu mendapat keprihatinan daripada kerajaan Indonesia.

Prof.Muhd.Nuh berjanji untuk menyelesaikan permasalahan yang diajukan oleh kalangan pendidik itu sebaik mungkin. Beliau juga memuji guru-guru yang disifatkannya sebagai pahlawan bangsa yang gigih mendidik anak bangsa Indonesia.

Selepas itu, beliau meminta Kiai Kanjeng menyanyikan lagu "Sayang Padaku" iaitu sebuah lagu Kiai Kanjeng yang paling diminatinya.

Kiai Kanjeng adalah kelompok muzik yang berjaya menampilkan, menghargai, dan menghidupkan kekayaan budaya Islam. Apa yang menarik ialah bagaimana Kiai Kanjeng meramu dan menampung lagu dari pelbagai jenis muzik dari seluruh dunia. Kiai Kanjeng membuktikan bahawa perbezaan budaya, agama, ras, bangsa dan sebagainya boleh disatukan melalui muzik.

Persembahan Kiai Kanjeng di Kota Kinabalu akan terus terpahat di hati warga Indonesia di Sabah kerana penampilan mereka lain daripada yang lain.Kali ini mereka tampil dan menyanyi di tengah-tengah dialog antara pak Menteri dengan masyarakat Indonesia. Kiai Kanjeng menutup acara persembahan pada malam itu dengan lagu-lagu religius yang mencengkam jiwa.