Khamis, 16 September 2010

Suara Buluh Perindu Harumkan Nama Malaysia

Tags






SUARA BULUH PERINDU HARUMKAN NAMA MALAYSIA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com


Seruling bukan sebarang seruling.
Seruling bambu yang ditiup Khamarul Azman Kowasin, 13, membawanya terbang hingga ke Jepun. Kebolehan anak Kampung Sinisian Kundasang ini membuat khalayak di Tokyo terdiam buat beberapa ketika untuk menikmati alunan merdu seruling itu.

Jika Khamarul Azman meniup seruling, adiknya Khairul Parehin Kowasin, 9, bermain kulintangan. Dua adik beradik anak kepada Encik Kowasin Watiman dan Puan Mariana Taliban itu, mampu memainkan pelbagai lagu-dari Sayang Kinabalu,lagu-lagu P.Ramlee,Koch-koch hota hei, Bengawan Solo, hingga Kitaro.

Persembahan dua kanak-kanak ini berjaya mengharumkan bukan saja nama Kundasang, nama Sabah malah nama Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa. Selain Jepun, mereka juga pernah membuat persembahan di kota Jakarta.

Utusan Borneo sempat berkunjung ke rumah mereka di Gerakan Daya Wawasan (GDW) Kampung Sinisian Kundasang baru-baru ini.Khamarul dan adiknya Khairul memperlihatkan kepada kami alat-alat muzik yang diperbuat daripada bambu sepenuhnya.

Khamarul dan Khairul ini merupakan tenaga penting Kumpulan Suara Buluh Perindu (SBP), yang merupakan satu-satunya kumpulan muzik bambu kanak-kanak di Malaysia.

Kelahiran SBP dibidani oleh Kowasin yang mengesan bakat Khamarul ketika sedang membuat alat-alat muzik di bengkel di rumahnya. Beliau melihat anaknya Khamarul asyik membuat seruling.Melihat anaknya berminat dengan alat muzik, beliau melatih Khamarul bermain seruling manakala Khairul dilatih untuk bermain Kulintangan.

Setahun kemudian, pada November 2005, keanggotaan SBP bertambah dengan seorang lagi bakat baru, Azmizol Syah Kaimi yang bermain sompoton. Kemudian pada awal 2006, keahlian SBP bertambah hingga mencapai sembilan orang termasuk kehadiran pemain utama, adik Nur Shahirah Jamaludin. Tidak lama selepas itu, keahlian SBP semakin bertambah, lengkap dengan pemuzik, penyanyi hingga penari tarian tradisi.

Kejayaan SBP tidak lepas dari sentuhan Puan Mariana yang mengambil keputusan untuk membantu dan mengurus kumpulan SBP atas nama Kampung Sinisian. Kesemua anggota SBP adalah terdiri daripada pelajar SK Kundasang, SK Pai Wen dan SMK Kundasang. Kebanyakan mereka berusia antara 7 hingga 16 tahun.

Semua peralatan muzik kumpulan ini dibuat daripada buluh dan bambu.Kemampuan mereka membawa semua genre lagu sama ada dalam dan luar negara memang luar biasa.

Selain lagu-lagu tempatan Sabah, mereka juga boleh memainkan lagu Melayu dan Indonesia, SBP juga berkemampuan mempersembahkan lagu Cina,lagu Inggeris dan lagu-lagu antarabangsa.

Kumpulan ini juga sering dijemput membuat persembahan untuk pelancong dalam dan luar negara, persembahan untuk tetamu-temu kehormat VIP seperti Ketua Polis Melaka, membuat persembahan di majlis-majlis anjuran PDRM ternasuk ketika sambutan Hari Keluarga Polis Peringkat Negeri Sabah, undangan majlis perkahwinan di seluruh Sabah, membuat persembahan sempena lawatan Sultan Brunei dan sebagainya.

Pencapaian SBP sejak 2006 termasuklah Juara Pertandingan Muzik Bambu Sekolah-sekolah peringkat daerah daerah dan Negeri Sabah, mewakili Sabah ke Festival Kebudayaan Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan (2006,2007). membuat persembahan Hari Terbuka Krismas Peringkat Kebangsaan (2007), Juara Pertandingan Orkestra Bambu di KDCA Penampang (2008).

Pada tahun itu juga, dua orang ahli SBP iaitu penyanyi utama dan pemain seruling mewakili Malaysia ke JATA World Festival di Tokyo dan Osaka Jepun serta Sabah Promotion di Negara Brunei Darussalam.

Mereka juga pernah merakamkan album sulung bersama senior mereka, Kumpulan Kinabalu Merdu Sound yang diterbitkan Skyline di bawah Syarikat Ampal Production.

Pada tahun 2009, SBP menjuarai Karnival Muzik Bambu Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Tamparuli Sabah manakala pada tahun 2010, SBP menjuarai Malam Kreativiti Muzikal Malaysia Inovatif hyang diadakan di Dewan UMS (28 Mei ), Juara Orkestra Bambu Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di KDCA Penampang (30 Mei), Persembahan sempena Hari Keluarga Perpaduan Rukun Tetangga Peringkat Negeri Sabah di Tanjung Aru (25 Mei), persembahan sempena perasmian Perpustakaan Daerah Ranau (25 Jun), Persembahan sempena Hari Guru (26 Jun), persembahan tarian dan gong sempena sambutan Goguan Siou, di Nunuk Ragang ranau (8 Julai) dan persembahan sempena Makan Malam Petronas Group Sabah di Magellan Sutera Harbour Kota Kinabalu pada 8 Ogos lepas.

Selain Khamarul dan Khairul, SBP juga dianggotai oleh Azmizol Syah Kaimi (sompoton) Azwan Syafie Kaimi (gitar bass) Mohd.Diniy Syazani Zaineh (drum bambu),Mohd Husny Fitrah Zaineh (gendang),Mohd.Fidady Idham Zaineh, Khairul Anwar Kowasin (Kulintangan) Nur Shahirah Jamalydin (penyanyi) Farinah Kohadie (Sompoton/penari), Azleeza Syafizah Kaimi (sompoton/penari) Effazera Kohadie( Pariyano/penari), Fatrinah Kohadie (Markas/penari) Rosdiyani Kohadie (Pokason/penari) dan Erani Suhilin (Markas/penari).

Kumpulan SBP dinaungi Tan Sri Bernard Dompok manakala Taufik Haji Dahlan (penasihat), Tuan Khairi IPD Ranau (penasihat undang-undang), Puan Mariana Taliban (Pengurus), Zaineh Haji Mohd.Dullah (Timbalan Pengurus) manakala tenaga pengajar ialah Kowasin Watiman dan Jamaludin Danie. Ahli jawatankuasanya terdiri daripada Esman, Mahidie, Kaimi Watiman, Niah Watiman dan Rose Megirong.

Puan Maliana berkata, kumpulan SBP itu ditubuhkan bagi mencungkil bakat kanak-kanak luar bandar dan mengetengahkan kembali adat dan budaya masyarakat Dusun Kadazan di negeri Sabah.

"Melalui penubuhan kumpulan seperti ini, adat dan budaya masyarakat terdahulu tidak akan lupus begitu sahaja. Malahan ia boleh diperkembangkan ke sekolah-sekolah seluruh negeri sabah khususnya dan Malaysia amnya," katanya.

Sebagai Kumpulan Muzik Bambu Kanak-kanak Malaysia yang pertama dan mungkin yang terunggul, Kumpulan Suara Buluh Perindu (SBP) mampu menjadi kumpulan pemuzik bambu profesional sekiranya mereka terus diberi pendedahan dan peluang membuat persembahan di peringkat nasional dan antarabangsa. Bakat yang dimiliki Khamarul dan Khairul serta rakan-rakannya yang lain tidak wajar dipersia-siakan kerana mereka merupakan suara buluh perindu yang menggamit pengunjung dan pelancong untuk selalu rindukan Malaysia.

*tersiar dalam akhbar Utusan Borneo 16 September 2010