Jumaat, 27 Ogos 2010

catatan sewaktu balik kampung

Tags

malam senyap.sunyi sekali suasana di kampung tetapi menyenangkan. Damai.Jauh dari hiruk pikuk dan kesibukan kota, saya mulai menemukan saat saat yang telah lama menghilang.

pulang agak tergesa dari KK petang tadi, kami sampai di kampung kira-kira jam 7.00 malam. Berbuka puasa di tengah jalan, kami sempat menyaksikan matahari tenggelam berpindah ke dalam waktu.

Sejak arwah bapa berpulang, saya jarang dapat pulang kampung. Saya diterjah pelbagai kesibukan dan sambil menghibur hibur diri yang kehilangan, saya mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi menghilangkan kepedihan.

Pemergian bapa memang tidak disangka. Sewaktu beliau dipanggil kembali itu, saya sedang berpergian ke luar negara. Tak sempat melihat saat-saat akhir kepulangannya.Tak sempat menghantarkan beliau ke tempat istirahatnya.

Sabtu ini, hari yang ke empat puluh beliau dikebumikan dan dalam tradisi masyarakat kami,kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan. Tapi saya ketika itu terpaksa menghadiri satu persidangan penting untuk mewakili masyarakat saya dalam Sidang kosa kata bahasa sukuan di walai Tokou Kundasang pada tarikh yang telah persetujui sebelumnya tanpa menyedari kenduri ke-40 arwah ayahanda saya.

Saya yakin kalau bapa masih ada,beliau tentu berbangga terhadap perjuangan kami memartabatkan bahasa dan budaya bangsa. Tiga hari sebelum beliau dipanggil menghadap Ilahi, beliau masih menyempatkan diri membaca berita yang saya tulis mengenai kubu paduka Mat Salleh yang terbiar di Inanam. Itu yang selalu membuat saya terharu, betapa beliau itu sering bangga terhadap usaha kami. Hidup biar berjasa, itu pesannya selalu.Berkhidmat kepada sesama.

Malam semakin sunyi. saya menemankan ibu bercerita-cerita sambil beliau membuat kuih dan memasak untuk sahur.