Ahad, 13 Jun 2010

Kami mendarat di Kampung Dampirit

Tags

Kami terpaksa mendarat di sebatang jalan di Kampung Dampirit setelah helikopter beberapa kali berlegar di udara. Penduduk menyediakan tempat mendarat di tengah sawah padi, tetapi tak memungkinkan kerana tanahnya lembab. Merasa tidak ada pilihan lain, Kapten Ridzwan terpaksa mendaratkan helikopter di atas jalanraya, sebelum kami menaiki hilux kira-kira 10 minit perjalanan ke Kampung Bambangan Sikuati.
Kampung yang dikelilingi pokok getah, Bambangan agak tersembunyi dan terperosok jauh ke dalam pedalaman Sikuati. Terdapat kampung di sebelahnya, namanya Sungai Karang yang kebanyakan penduduknya adalah nelayan. Ada yang memberitahu, jauh di seberang kampung itu, ia berhadapan dengan Kampung Landung Ayang Kudat.
Tengahari 12 Jun itu, kami berada di sana membuat liputan lawatan Timbalan Menteri Pengangkutan,YB Datuk Rahim Bakri turun padang dalam majlis Pemimpin Bersama Rakyat di kampung itu.Beliau yang juga Ahli Parlimen Kudat mengagihkan bantuan kepada golongan miskin, ibu tunggal, dan warga emas.Beliau juga menyampaikan bantuan beras kepada penduduk di empat buah kampung.
Mungkin kalau bukan kerana tugas, agak sukar juga untuk ke kampung yang terpencil ini tanpa sesuatu tujuan. Tetapi Datuk Rahim disebalik kesibukannya tetap menyempatkan diri untuk bersama penduduk kampung di kawasan Parlimen Kudat yang diwakilinya.
Terasa agak lucu juga ketika mengingati perjalanan itu.Kami sangka dekat, sehingga kami menolak untuk naik kereta Chin yang mengambil kami untuk ke Kampung Bambangan sebaliknya memilih untuk berada di belakang hilux.Akhirnya dalam perjalanan naik bukit turun bukit itu kami bermandi habuk kerana rupanya Kampung Bambangan terletak agak jauh juga dari Dampirit, iaitu kira-kira 1o minit perjalanan menggunakan kereta.