Ketika kecil Mabul, begitu dia dikenal dikalangan rakan-rakannya, bercita-cita untuk menjadi penyanyi seperti P.Ramlee.
Kerana itu, beliau mampu menyanyikan hampir semua lagu P.Ramlee. Minatnya kepada lagu-lagu klasik juga,menjadikan beliau menghafal hampir semua lagu 50 an, 60-an dan 70-an. Sebutlah apa saja lagu dalam era itu, pasti dia tahu siapa penyanyinya, siapa yang mempopularkannya.
Saya tidak pasti apa yang membuatnya meminati puisi. Sebenarnya dia lebih suka melukis, dan bakatnya menyerlah dalam lukisan sehingga mendapat markah yang bagus dari guru-gurunya.
Tetapi Mabul akhirnya dikenali sebagai penulis. Beliau mula menulis pada ketika semangat penulis-penulis bergelora pada awal 1990an. Gelora dan semangat yang kemudiannya melahirkan Ikatan Penulis Sabah (IPS).
Pertumbuhan awalnya sebagai penulis, barangkali lebih banyak dipengaruhi oleh puisi-puisi angkatan 45 yang dipelopori Chairil Anwar.Entah mengapa Mabul tergamit dengan gaya perpuisian mereka. Beliau juga tertarik dengan Subagio dan penyair penyair lain juga.
Mabul mulai terdedah kepada selok belok dunia penulisan ketika menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) yang pertama. Sejak itu, Mabul terus menulis puisi yang kini ratusan jumlahnya.Kemudian beliau menulis cerpen, dan menjadi eseis budaya dimana hasil-hasil tulisannya tersiar dalam majalah Dewan Sastera,Dewan Budaya, Berita Minggu, Wadah,Jendela Sabah, Majalah Etnik, Borneo Mail, Utusan Borneo, Daily Express, New Sabah Times dan sebagainya. Puisi-puisinya juga terbit dalam banyak antologi bersama.
Kehadiran Kumpulan Puisi Stensil Pari-Pari yang merupakan antologi persendiriannya yang pertama mengabsahkan kedudukan Mabulmaddin Shaiddin sebagai penulis dan penyair. Stensil pari-pari yang terbit atas bantuan Datuk Haji Mohd.Arifin Arif, sasterawan Malaysia yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut,begitu dinantikan khalayak sastera Malaysia.
Penulis kelahiran Kampung Tamau Kota Belud pada tahun 72 ini telah mewarnai dunia penulisan di Sabah sejak awal tahun 90 lagi. Beliau diberi banyak perhatian, mungkin kerana kelainan puisinya dan pembangkangan pembangkangan terhadap konvensi puisi yang sedia ada.
Saya fikir, Stensil pari-pari yang baru terbit ini merupakan satu peluang bagi khalayak sastera terutamanya di Sabah untuk menghayati, meneroka, mendebat atau mencabar pemikiran Mabul.
Jumaat, 18 Jun 2010
Catatan kecil tentang Mabul
✔
abd naddin
Diterbitkan 3:27 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)