Selasa, 27 April 2010

Teringat pertama kali menyembelih ayam

Tags

Saya teringat kali pertama saya menyembelih ayam.
Entah berapa umur saya ketika itu. Tapi yang pasti, saya tidak banyak tahu mengenai kaedah menyembelih ayam dengan sempurna.
Tapi kerana ingin makan ayam kampung, maka saya memberanikan diri menyembelih ayam. Kebetulan tidak ada orang lain yang dapat diharapkan, dan sebagai anak sulung, sayalah yang dipertanggungjawabkan menyembelih ayam.
Bapa sengaja melatih kami untuk belajar apa saja ilmu untuk bekal kehidupan, dan salah satunya ialah ilmu menyembelih ayam.
Setelah membaca bismillah, dan segala bacaan yang diperlukan untuk menyembelih ayam maka sayapun mula menyembelih.
Ayam itu sempat berteriak, dan setelah yakin segalanya selesai saya melepaskannya. Ayam yang telah disembelih itu terus berlari dan kemudian berdiri-lama juga-sebelum rebah dan mati.

Itulah pengalaman pertama menyembelih ayam. Selepas itu, banyak kali juga saya menyembelih ayam, tapi entah mengapa ketika balik kampung kelmarin, saya teringat pengalaman pertama itu dan tidak mahu lagi memotong ayam.

Ayam sudah ditangkap untuk dikorbankan, dan kami sepakat menyuruh adik bungsu kami, amai shafiq, untuk menyembelih ayam lumsad (ayam jantan) itu. Kami sengaja balik kampung petang kelmarin untuk menjenguk orang tua.Pulang lebih kerap ke kampung, jika ada masa terluang begitu, amatlah seronok.

"Tak akan anak Haji tak pandai menyembelih ayam," kata Bapa menyuruh kami dengan caranya yang klasik. Katanya dia kurang sihat untuk menyembelih ayam.Oleh sebab itu, Amai Shafiq yang mulanya menawarkan diri untuk memasak, terpaksa pula untuk menyembelih ayam.

Saya tidak tahu sama ada itu yang pertama baginya tetapi ayam jantan itu telah berjaya disembelih olehnya. Kemudian dia sendiri yang memasaknya dengan menu santan. Katanya, itulah kali pertama dia memasak selepas enam tahun. Saya teringat buku Masakan Iranun yang disusun oleh Puan Sri Hadijah Teng, isteri kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia yang telah membukukan buku masakan Iranun. Saya tidak tahu siapa yang telah meminjam buku itu sehingga hilang.

Selepas memakan, Amai Shukri memberikan markah 9.5 peratus kepada masakan Amai Shafiq itu. Saya memberi nilai 8. Ma' Awang Mukriz memberi nilai 7.5 manakala Amir tidak memberikan nilai apa-apa kerana tidak makan ayam. Bapa pula berdalih kerana beliau pernah memberi komen, melainkan kalau dia rasa kurang garam, dia akan tambah garamnya sendiri.

Daging ayam itu agak liat kerana ayam jantan tua. Amai Shukri mengsyorkan supaya memasukkan tebu bagi melembutkan daging ayam itu-ini katanya dipelajarinya daripada Saudara Mohamad Daud Mohamad, yang bukan saja merupakan pengkritik yang terkenal di negara ini, tetapi terkenal juga memiliki pelbagai pengetahuan termasuklah cara melembutkan daging ayam.

Bila balik kampung begitu, saya selalu bertanya bapa mengenai pengalaman atau silsilah keluarga. Tapi malam itu, sambil bercerita kami menonton tv dan kemudian ada tayangan Musang Berjanggut, lakonan P Ramlee yang entah berapa kali telah ditayangkan tetapi tetap menarik untuk ditonton. Banyak kritikal sosial didalamnya dan sebagainya.

Selepas musang berjanggut itu, saya merebahkan diri dan tidak tahu jam berapa terlelap.
Saya terfikir dahulu ayam di kampung kami selalu dimakan musang.