Rabu, 7 April 2010

Catatan Pertemuan dengan Kaka Alih

Tags

Walaupun kami tidak pernah bertemu sebelum ini, sebenarnya kami telah lama berkenalan. Seingat saya beberapa tahun yang lalu ketika saya memberi komentar dalam Maranao.Com. Kemudian ia berlanjut dengan berbalasbalas emel dan kemudian kami dipertemukan dalam facebook.
"Saya bangsa Iranun," kata Kaka Alih. Di Mindanao, Iranun sebenarnya dikenali secara terpisah dengan bangsa Maranao dan Maguindanao walaupun pada hakikatnya mereka berasal daripada tradisi yang sama. Terdapat definisi yang samar mengenai ketiga-tiga sukubangsa ini kerana mereka memiliki bahasa yang hampir sama.
Saya orang Iranun, katanya dan kerana itu, beliau teringin untuk mencari saudara sebangsanya iaitu Iranun di Sabah.
Kaka Alih (Alih S.Anso) singgah tiga hari di Kota Kinabalu dalam perjalanan pulang ke Upi, Maguindanao setelah mengikuti Islamic Leadership Programme AIM di Kuala Lumpur. Di KK, beliau dihoskan oleh sahabat karibnya, Saudara Aliasgar Haji Basri yang dipanggilnya `sangai' kerana persamaan nama mereka iaitu Ali.
Saya sebenarnya mengharapkan pertemuan itu di Kuala Lumpur ketika ke sana minggu lalu tetapi kami tidak dapat berhubung di sana kerana barangkali masing-masing dengan kesibukan sendiri.
Kerana itu, ketika Kaka Alih menelefon, saya tidaklah begitu terkejut mengenai kedatangannya.
"Saya ingin bertemu dan berkenalan dengan rakan sebangsa saya, orang Iranun," katanya kepada saya dalam pertemuan kami petang Rabu itu 7 April itu
Kaka Alih merupakan Pengurus Produksi dan Program di Radio DXUP FM 105.5 MHz yang popular dengan program `Suara Talainged' -Voice of Nativeland. Semangat keIranunannya agak kental dan sebagai orang yang cintakan bangsanya, beliau ingin melihat sendiri eksistensi masyarakat Iranun di Sabah, sejarah, bahasa dan membuat perbandingan mengenai Iranun di Mindanao dan Iranun di Sabah.
Sebelum menjadi wartawan penyiaran, Kaka Alih sebenarnya merupakan seorang ahli perniagaan yang terdidik dalam bidang kejuruteraan. Tetapi kerana semangat perjuangan untuk melihat bangsanya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa lain, beliau menceburkan diri dalam dunia media.
Kami bertemu di Rainforest Cafe, kerana kebetulan itulah tempat pertemuan yang mudah dan selesa.
Banyak yang kami bincangkan. Tetapi yang paling menarik ialah persoalan mengenai bahasa. Kaka Alih melihat bahawa bahasa Melayu boleh digunakan sebagai bahasa pemersatu di wilayah Mindanao berdasarkan kedudukan bahasa Melayu yang mempunyai lebih 300 juta penutur di nusantara.
Katanya, jika bahasa lain digunakan, mungkin ia tidak difahami atau diterima sukubangsa lain. Bahasa Melayu boleh dipelajari dengan meluas oleh masyarakat di sana dan kemudian berpotensi untuk menjadi bahasa perpaduan, bahasa pemersatu di tanah bangsamoro.
Radio DXUP FM- 105.5 MHz yang terletak di Barangay Nuro, Municipality of Upi, Magundanao disponsori oleh Kanada. Radio Upi for Peace itu dianggotai oleh staff daripada indigenous tribe, non muslim dan bangsamoro. Blog http://dxup.multiply.com.
Saya gembira dan terharu dengan pertemuan itu. Terima kasih kepada saudara Aliasgar, pemimpin yang baik hati itu kerana menjadi tuanrumah yang baik kepada sangai, dan memungkinkan beliau berkunjung ke kampung-kampung masyarakat Iranun di Sabah.
Sehabis gerimis, kami bersalaman dan saya minta diri untuk pertemuan selanjutnya.