Saya belum mandi ketika mendapat panggilan daripada Saudara Mohd.Sairin pagi itu. Mesejnya ringkas. Katanya, Datuk mengajak saya untuk melawat ke Kanibongan.
"Bila?"
"Hari ini, jam 10.00 pagi"
"Bila balik?"
"petang ini, jam 3.00" katanya.
"Bagaimana kita kesana"
"Naik heli" katanya.
Saya menjawab okey. Saya berfikir peluang seperti itu, jarang diperolehi. Apatahlagi, saya fikir itulah pertama kali saudara Sairin menelefon saya.Sebelum ini, saya hanya tahu namanya sebagai seorang pegawai kanan di Pos Malaysia.
Selesai mandi saya terus bergegas ke KK dan dari sana naik teksi ke Tanjung Aru. Saudara Sairin sudah menunggu di pintu Sabah Air. Ketika melangkah masuk, barulah saya ketahui bahawa Datuk yang mengajak saya ke kanibongan dan Telaga itu rupanya Datuk Haji Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Kudat. Kami sudah lama kenal iaitu sejak beliau belum menceburkan diri dalam politik. Dan satu yang amat saya salut beliau ini, ialah beliau tidak pernah lupakan kawan.
Saudara Yazeer TV3 juga ada, dan gembira juga kerana saya boleh membantunya memegang mikrofon ketika interview nanti. Selain itu, ada saudara Mahmud, pengarah JPA wilayah II.
Kami sempat bercerita mengenai susurgalur keluarga dengan Saudara Sairin, yang apabila mengetahui saya dari Kota Belud, terus menyebut nama Laliman, yang juga salah seorang warisnya.
Saudara Sairin memberitahu saya bahawa nombor telefon saya diperolehinya daripada Azrone yang tidak dapat ikut kerana ke Keningau.
Jam 10.00 lebih sikit, kami berangkat dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu menuju kanibongan. saya lupa melihat jam tangan saya tetapi jam 10.38 pagi, kami sudah berada di atas kampung Rampayan pada hari sabtu 27 Mac itu. Sebelumnya saya cuba memandang ke bawah melihat hamparan sawah padi. Juga saya sempat melihat tanah kering, bukit yang gondol, hutan-hutan, ladang kelapa sawit dan saya terasa betapa indahnya pemandangan.
Kami tiba di Kanibongan tepat jam 11.10 pagi.Cuaca amat baik di sepanjang perjalanan itu. Saya mengambil kesempatan untuk bergambar kenang-kenangan sebaik turun dari Helikopter Sabah Air.