Skru mungkin benda yang kecil tetapi tanpa skru , sebuah jentera mustahil dapat digerakkan. Jika kekurangan skru, jentera tidak dapat berfungsi seperti yang dikehendaki. Walaupun golongan pekerja boleh diumpamakan sebagai skru yang teramat penting untuk menggerakkan jentera, tetapi skru dan pekerja merupakan dua perkara yang berbeza. Skru adalah benda yang kaku-dan bisu-, manakala pekerja lahir bersama jiwa, akal dan perasaan.
Majikan yang baik, sudah pasti memiliki seni mengurus dan mentadbir perasaan pekerjanya. Jika mereka gagal mengurus perasaan pekerja, mereka tidak akan ambil tahu mengenai keperluan dan hak hak pekerja. Oleh sebab itu, ada majikan memperlakukan pekerja mereka seperti jentera. Mereka tidak peduli mengenai kebajikan dan kesejahteraan pekerja mereka sebaliknya meminta pekerja memberikan komitmen sepenuhnya kepada kerja mereka.
Hak-hak pekerja seringkali diabaikan, kadang sengaja dilupakan oleh majikan mereka. Terdapat pekerja yang dibayar gaji yang rendah dan tidak setimpal, ada pekerja yang dinafikan untuk mendapatkan elaun kerja lebih masa, terdapat pekerja yang tidak dinaikkan pangkat, bahkan ada pula yang mengadu peluang kerja yang sepatutnya mereka miliki diberikan kepada orang lain.
Perkara-perkara seperti inilah yang dibincangkan dalam majlis pertemuan wakil-wakil Kesatuan Sekerja iaitu CEUPACS, MTUC dan ahli-ahli badan gabungan mereka dengan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dato' Siva Subramaniam.
Antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan di Tingkat 8, Centre Point itu ialah masalah elaun kerja lebih masa yang tidak dibayar kepada pekerja yang berhak menerimanya. Seperti yang dikemukakan Kesatuan Pekerja JPJ, terdapat kakitangan yang tidak diberi elaun dengan alasan berkhidmat kurang 8 jam. Bahkan ada diantara mereka terpaksa menggunakan kereta sendiri untuk bertugas tetapi mereka tidak mendapat kemudahan untuk membuat tuntutan dan sebagainya.
Selain itu, terdapat juga aduan mengenai peluang-peluang pekerjaan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Sabah tetapi diberikan kepada orang lain. Malahan jawatan setaraf pembantu tadbir N17 diberikan kepada orang-orang dari luar Sabah. Kesatuan meminta supaya perkara itu dapat dilihat oleh Siva memandangkan hakikat itu sukar diterima. Jika jawatan pegawai tinggi, atau jawatahn berbentuk kepakaran didatangkan dari Semenanjung, ia boleh diterima tetapi `takkanlah jawatan keranipun, rakyat Sabah tidak layak menjawatnya".
Isu berkaitan elaun perumahan yang tidak seimbang juga dibangkitkan. Jika seorang kakitangan N17 dari Sabah dipindahkan ke Semenanjung, mereka hanya layak mendapat elaun sebanyak RM630 sebulan berbanding dengan jika kakitangan N17 dari Semenanjung, dipindahkan ke Sabah mereka layak menerima jumlah yang lebih tinggi iaitu RM830 sebulan.
Situasi ini memang menimbulkan ketidakseimbangan.Kerajaan perlu mengkaji dan menawarkan solusi yang boleh diterima oleh kakitangan kerajaan di negara ini.
Dato' Siva menganggap isu-isu ini agak kritikal dan perlu ditangani. Presiden Kesatuan Sekerja Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datu Masdan Nurasin pula membangkitkan masalah berkaitan semakan gaji selepas pelabuhan-pelabuahn Sabah diswastakan.
Menurut Datu Masdan, semakan gaji itu sepatutnya dibuat selepas 6 bulan penswastaan tetapi kini, ia masih belum disemak selepas 5 tahun Pelabuhan sabah diwastakan.
Dibangkitkan juga mengenai jumlah cuti tahunan yang dikatakan berkurang selepas diswastakan, padahal ketika perjanjian, pekerja dijanjikan akan menikmati kemudahan yang tidak kurang baiknya daripada sebelum ia diswastakan.
Implikasi penswastaan kepada pekerja ternyata membebankan mereka. Kami Ibarat kucing yang disimpan dalam karung allu dibuang ke dalam sungai, kata seoarng pemimpin kesatuan yang bercakap mengenai penswastaan dan kesannya terhadap pekerja.
Pemimpin-pemimpin kesatuan juga meminta supaya had umur persaraan dilanjutkan kepada Usia 60 dan bukan 58 seperti yang ada sekarang. Isu ini nampaknya belum selesai lagi. Ada diantaranya mengadu, umur persaraan mereka ditentukan ke angka 55. Pesuruhjaya Suhakam dalam jawapannya menyatakan bahawa perlunya keseragaman had umur persaraan di antara kakitangan kerajaan dan swasta, iaitu ditetapkan kepada 60.
Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Perdagangan Malaysia (MTUC), Catherine Jikunan pula mahukan supaya partisipasi golongan pekerja dalam PBT dipertimbangkan supaya suara pekerja dapat didengar. Catherine juga membangkitkan mengenai perlunya peluang-peluang pekerjaan diberikan kepada golongan pekerja di Sabah dan kerajaan mempunyai tanggungjawab dengan apa yang dimaksudkan sebagai `negara berpendapatan tinggi'. Ini penting kerana sebelum negara mencapai taraf negara berpendapatan tinggi, kenaikan harga barang sudah melambung tinggi ketika golongan pekerja masih menerima upah yang murah.
Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Perkayuan Sabah (KPPIPS,S70) melalui wakilnya Jevry Anggah menimbulkan mengenai masalah pekerja asing yang bekerja dalam industri perkayuan. Katanya, masalah itu perlu diambil perhatian kerana ia melibatkan isu hak asasi manusia dimana pekerja saing itu mudah dieksploitasi.
Kesatuan Pekerja Kesihatan pula menimbulkan mengenai masalah kesesakan di hospital hospital di negara ini. Bagaimana kualiti perkhidmatan kesihatan dapat ditingkatkan jika masalah kesesakan terus berlaku. Dato' Siva mengakui bahawa pihaknya mendapat aduan mengenai masalah kesesakan itu, bukan setakat di sabah tetapi di seluruh negara.
Turut dibangkitkan dalam pertemuan kira-kira tiga jam itu ialah isu-isu berkaitan pencen dan sebagainya dan masalah itu akan turut dipanjangkan ke pihak atasan oleh Dato' Siva sendiri.
Masalah pekerja dari Sabah di Semenanjung turut dibangkitkan. Mengulas mengenai masalah ini, Siva meminta supaya satu badan dibentuk untuk membolehkan pekerja dari Sabah yang ingin bekerja di Semenanjung dapat melalui proses yang betul, gaji terjamin seabaginya. Beliau meminta supaya Kementerian Sumber Manusia memberi perhatian terhadap isu-isu yang kritikal itu.Siva berjanji untuk membangkitkan isu itu apabila bertemu dengan Kementerian Sumber Manusia.
Beliau juga meminta agar MTUC dan CUEPACS mengambil peranan penting untuk menangani isu-isu pekerja. Beliau juga meminta golongan pekerja supaya sentiasa berhubung dengan MTUC dan CUEPACS bagi menangani masalah yang mereka hadapi. Katanya, selalunya pekerja akan rugi jika mereka tidak memperjuangkan hak-hak mereka kerana ia membawa implikasi yang amat serius.
Jika masalah-masalah pekerja tidak diperjuangkan seperti bayaran wang pencen, gaji yang rendah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, sudah tentu mereka akan berasa lemah berdepan dengan cabaran zaman. Jika kebajikan pekerja tidak diberikan perhatian, kita akan mendapati satu masa nanti mereka tidur di tepi jalan dan dibawah jambatan atau di rumah-rumah kebajikan.
"Tujuan pertemuan itu diadakan ialah untuk mengetahui lebih dekat masalah pekerja di Sabah di semua sektor," kata Setiausaha Suhakam Sabah, Jasmih Slamat.
Katanya, pertemuan itu diadakan ekoran terdapatnya aduan yang dibuat kesatuan sekerja mengenai pekerja yang tidak dibayar gaji dan kemudahan dan imbuhan lain.
Ketika menutup pertemuan itu, Dato Siva Subramaniam menyatakan bahawa golongan pekerja sama pentingnya dalam pembangunan sesebuah negara.Pekerja juga memberi sumbangan yang besar kepada negara kita.Ini satu fakta yang amat penting dan tidak dapat dinafikan oleh siapapun.
Ahad, 21 Mac 2010
Antara skru dan jentera, nasib golongan pekerja di Sabah
✔
abd naddin
Diterbitkan 10:46 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)