Jumaat, 29 Januari 2010

Menyingkap sejarah pelajaran di kalangan masyarakat Bajau di KB

Tags

Lulus darjah tiga sekolah Melayu di Kota Belud, ayah saya sudah ditawarkan bekerja.Ketika itu Malaysia belum terbentuk lagi. Negara masih ditadbir penjajah dan dijarah segala isinya untuk kepentingan kolonialisme.
Lahir tahun 1935, ayah saya merupakan antara orang yang dianggap terpelajar pada zamannya. Jarang orang kampung yang sampai hingga darjah tiga apatah lagi darjah lima. Mereka berhenti sekolah sama ada kerana mereka kurang mampu atau mungkin kerana kesedaran mengenai pentingnya pendidikan belum lagi berakar diminda orang-orang tua yang kebanyakannya golongan tani dan nelayan ketika itu. Padahal sekolah melayu didirikan di Kota Belud pada tahun 1921, iaitu antara yang terawal di negeri ini.
Saya tidak merasa hairan jika tiada anak tempatan yang mengecap pendidikan yang lebih tinggi ketika itu. Apalagi penjajah masih berumah di tanahair kita.
Ayah saya kemudian bekerja sebagai mata-mata atau sekarang anggota polis. Selepas berhenti sebagai polis, beliau melanjutkan pelajaran lagi hingga darjah lima. Selepas itu beliau ditugaskan sebagai guru di GPS Pulau Sepanggar, dan merupakan antara guru pertama yang mengajar di sekolah itu.
Barangkali kalau diberikan peluang, atau barangkali jika arwah atuk saya punya kesedaran yang tinggi mengenai pentingnya pendidikan, mungkin ayah saya mampu menjejakkan kaki ke tangga universiti.
Benar, memang beliau pernah menjejakkan kaki ke universiti, tetapi itu berlaku kerana beliau dijemput memberikan ceramah mengenai pantun di Universiti Malaya oleh Prof.Datuk Dr.Zainal Kling.
Sampai sekarang, jika bercerita mengenai budaya dan adat resam Bajau atau Iranun, ayah saya sering menjadi rujukanorang-orang Universiti.
Tetapi yang menjadi persoalan di kepala saya ialah siapakah orang Bajau yang pertama melanjutkan pelajaran di universiti. Saya tak ada maklumat yang tepat. Maklumat yang ada juga terasa tidak lengkap.
Namun ketika duduk di kedai kopi bersama-sama rakan-rakan lain, saya mengajukan pertanyaan itu semula.
Saya ingat Datuk Mohd.Noor Mansor yang lulus sebagai peguam dari Universiti Malaysia di Singapura, mungkin orang Bajau yang pertama menjejakkan kaki ke universiti.
Saya tidak berani mengesahkannya.
Saya pasti bahawa antara orang Bajau yang terkedepan dalam bidang pelajaran ialah Datuk Rashid Bolong, yang belajar di UM.Juga Jainisah Nurajim juga belajar di UM.Rashid pernah menjadi Pengarah Kastam Sabah.
Dalam bidang ekonomi, saya fikir antara nama yang perlu disebut ialah Musli Oli yang lulus dalam bidanf ekonomi dari Universiti Malaya ketika berusia 21 tahun. Amir Awit lulus dari London School of Economics. Dalam bidang kejuruteraan, arwah Ir Maduarin Haji Riar mendapat ijazah dari Cambridge manakala Ir Anjin Ajik dari Univerisiti Aystralia.
Satu lagi nama ialah Makbul Dualis, juga menurut maklumat merupakan antara orang bajau yang terawal ke IPT.
Dalam bidang perubatan, mungkin Dr Saijan Samit antara yang terawal lulus. Dr.Bangrose Sadin yang lulus University Gent dari Belgium kini masih bertugas di Sungai Buluh. Dr.Hasnah Ajmain, Dr.Fatimah Awit, Dr.Mohamad Jikal. Ini merupakan antara pencapaian masyarakat Bajau Kota Belud dalam bidang perubatan.
PHD? Saya fikir ramai juga orang Bajau Kota Belud yang lulus hingga PHD.Dr Kamarudin Datu Mudin, Dr.Saidatul Nornis Haji Mahali, Dr Halina Sendera Mohd.Yakin, Dr.Kartini Saibeh dan mungkin banyak lagi orang Bajau kota Belud yang telah mencatat prestasi tinggi dalam pelajaran.
Ya, kalau dalam bidang sastera, Jenar Lamdah, antara orang yang pertama lulus dari Universiti Malaya . Chenderamata Sintih, juga antara orang Bajau KB yang awal di IPT . Masni Jubil juga layak disebut sebagai antara orang Bajau yang awal masuk universiti.
Senarai ini memang panjang dan saya kira bertambah panjang lagi. Catatan ini hanya bermkasud untuk menggali seberapa banyak maklumat mengenai sejarah pendidikan di kalangan masyarakat bajau khususnya di Kota Belud.

4 comments

arwah Kadri Nanti juga antara graduan bajau yang awal. madrim tassan, hamzah sundang, hj said andong, maimunah suhaibul, james alip dan ramai lagi selepas satu dekad

terima kasih atas entry ini..harap2 lepas ini ramai lagi anak2 muda Bajau di KB yang akan berjaya dalam pelajaran hingga ke peringkat PHD

Alhamdulillah, saya sungguh berbangga dengan anak-anak Bajau yang disebutkan itu :-)

membaca entry nie baru saya mengetahui bahawa pensyarah saya iaitu dr. saidatul nornis berasal dr Kota Belud.. thaks 4 da info