Khamis, 8 Oktober 2009

Terjatuh di kampung sendiri

Tags




Saya sedang mencari sudut yang sesuai untuk mengambil gambar ketika saya terpijak papan yang reput lalu terjatuh dari jambatan. Saya tidak menjangka boleh terjatuh seperti itu. Perkara pertama yang saya fikirkan ialah kamera.
"Tolong ambil gambar saya," saya menghulurkan kamera kepada Ketua Kampung, KK Jamri Asoi yang berada di atas.
Beliau cuba mengambil gambar saya tetapi barangkali beliau merasa tidak yakin lalu Pegawai Kemajuan Negeri, Tuan Haji Matusin Sunsang yang menawar diri untuk merakam gambar saya.
Saya sebenarnya mahu merakamkan gambar beliau yang sudi datang turun padang melihat dengan mata sendiri keadaan jambatan Tawadakan yang pernah disiarkan dalam Utusan Borneo dan Berita Harian itu.
Sepatutnya saya yang merakamkan gambarnya melawat jambatan yang teruk itu tetapi sebaliknya beliau pula yang merakamkan gambar saya terjatuh dari jambatan.
Selepas itu barulah saya meminta Ketua Kampung menarik saya ke atas.
Mujurlah airnya tidak dalam hanya tinggi sedikit di atas paras lutut.
Jambatan Tawadakan itu sendiri memiliki nilai-nilai sentimental buat saya secara peribadi. Jambatan itulah yang saya lalui setiap hari ketika menuntut di SMK Taun Gusi tahun 1982-1985.
Saya tidak pernah terjatuh di jambatan itu ketika menuntut di bangku sekolah menengah sebaliknya saya terjatuh sesudah saya menjadi seorang wartawan.
Sebelum ini, ketika meninjau keadaan jambatan Tawadakan itu seminggu sebelum Ramadhan berakhir, saya berasa agak sedih apabila diberitahu bahawa ada anak sekolah yang pernah terjatuh di jambatan ituSerta merta saya terbayang betapa kiranya kalau saya yang terjatuh.
Dan kelmarin benar saya terjatuh, ketika sekonyong-konyong memijak papan yang disangka kukuh tetapi rapuh itu.
Saya terjatuh di kampung sendiri.
Saya terfikir bahawa dalam kerjaya selama 15 tahun sebagai wartawan, saya telah melanglang hampir ke seluruh pelusuk Sabah untuk menulis derita dan keperitan orang kampung dan baru kini saya tersedar bahawa rupanya di kampung saya-lebih tepat- di kampung yang terletak di sebelah kampung saya, ada juga permasalahan orang kampung yang patut didedahkan kepada media.
Mulanya saya tulis dalam blog.Kemudian saya tulis dalam Utusan Borneo beberapa hari selepas hari raya. Kemudian bila terjumpa Mail di rumah terbuka Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, saya memintanya supaya memberitahu dan mengingatkan Datuk Haji Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud mengenai permasalahan dan permintaan orang kampung itu.
Tidak lama kemudian, masalah ini turut diangkat ke Berita Harian oleh saudara saya, Mohd.Azrone Sarabatin dan memperolehi khalayak yang bertambah luas lagi.
Pengarah Kemajuan Negeri, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah, Haji Matusin Sunsang melalui pegawainya Faiz, mengajak saya untuk bersama dalam tinjauan ke Jambatan Tawadakan itu- sebenarnya untuk meninjau dua batang jambatan ,satu jambatan yang digunakan oleh anak-anak sekolah menengah ke SMK Taun Gusi dan satu lagi laluan anak-anak sekolah rendah ke SK Kesapang.
ADO Kota Belud, Asrin Sadi dan Pegawai Kemajuan Rakyat (PKR) Tempasuk Baghdad Haji Turogan dan pegawai -pegawai lain turut dalam lawatan itu.
Ketika sampai di penghujung jambatan, saya berkesempatan bercakap dengan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Haji Abdul Rahman Dahlan yang katanya ketika itu berada dalam tugas rasmi di Afrika.
Beliau meluluskan peruntukan RM200,000 untuk membaiki dua jambatan itu dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah menyediakan peruntukan melalui Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dan projek itu akan dilaksanakan dalam waktu terdekat dan boleh siap dalam tempoh enam minggu.

1 comments so far

Sebenarnya semua masalah dapat selesai jika ada sifat kerjasama seperti sebuah 'TUNGKU'. Ini bermakna ia memerlukan tindakan bersama antara pemimpin, pegawai kerajaan dan rakyat itu sendiri. Jika pemimpin tak prihatin, maka rakyat perlu menyedarkan pemimpin. Jika pegawai pula tak menjalankan rugas, maka pemimpin perlu memperingatkan mereka [pegawai kerajaan] agar mereka bertindak segera menyelesaikannya.Ini kerana lambat atau cepatnya tindakan penyelesaian kepada masalah ini, amat bergantung sejauhmana kecekapan agensi pelaksana. TK