Khamis, 24 September 2009

Selepas membaca Obama-Keberanian Menggapai Harapan

Tags

Saya mula terbaca artikel mengenai Barack Obama, kalau tak silap dalam majalah Newsweek dan Majalah TIME, empat atau lima tahun yang lalu. Seorang lelaki kulit hitam, seorang peguam yang cuba bertanding kerusi senat dari Illinois. Saya tidaklah memberikan begitu banyak perhatian kepadanya. Hanya apabila Barack Obama bersaing dengan Hillary Clinton untuk calon Presiden Amerika, saya mula mencari artikel mengenai orang yang bernama Obama ini.

Akhirnya Obama mencipta sejarah sebagai lelaki kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika yang ke 44 pada 4 November 2008. Ketika pertama kali saya melihat bukunya The Audacity of Hope di KLIA, saya teringin membelinya tetapi rasanya agakmahal harganya. Saya bernasib baik kerana baru-baru ini saya menemui buku terjemahannya dalam Bahasa Melyu Keberanian Menggapai Harapan, Gagasan Meraih Kekmbali Impian Amerika yang diterjemahkan dengan sangat baik oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Buku setebal 424 halaman itu mengisahkan mengenai pergolakan politik di Amerika, antara Republikan dan Demokrat, nilai-nilai budaya Amerika, tulisan mengenai perlembagaan Amerika, mengenai pelbagai kaum yang mendiami Amerika, mengenai kepercayaan agama, mengenai peluang, mengenai kedudukan Amerika di persada dunia dan sebagainya.
Tetapi saya lebih tertarik dengan pengalaman Obama ketika bersekolah rendah di Jakarta. Beliau pernah mengejar ayam, pernah dikejar kerbau, pernah menonton wayang kulit dan merasai denyut andi kehidupan di negara Islam terbesar di dunia itu.Semua ini memperluas wawasan obama terhadap iklim dunia.
Ketika disana beliau bersekolah di sebuah sekolah rendah kerajaan bersama anak-anak orang gaji, kerani, tukang jahit dan sebagainya. Semua ini memberikan pengalaman manis bagi Obama.
Kemunculan Barack Obama di pentas politik Amerika mengejutkan ramai orang.

Buku The Audacity of hope itu menurut The New York Times merupakan buku paling laris di Amerika. Keberanian Obama mengutarakan pandangannya, visinya, berkongsi pengalaman mengenai keluarganya, pengalamannya ketika berada di senat, mengenai sikapnya terhadap terhadap perang, memberikan kita harapan baru mengenai peranan yang beliau boleh mainkan, peranan yang boleh dimainkan oleh Amerika dalam politik antarabangsa tanpa bersikap arogan terhadap negeri negeri kecil yang tidak sependapat dengannya.

Buku ini ditulisnya, ketika beliau menjadi senator, sebelum menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke 44. Ia menyerlahkan sisi lain Obama yang telus, tanpa bersikap partisan, dan visi masa depan meraih impian Amerika.

Saya kira dengan membaca buku terbitan ITNM ini akan membantu kita memahami pemikiran Obama, dan juga politik Amerika, dan dengan itu dapat memperluas wawasan dan meneguhkan sikap kita ketika berhadapan dengan hegemoni Amerika.