Khamis, 21 Mei 2009

Monyet masuk dapur selepas habitat terancam

Tags

MONYET ANCAM KEHIDUPAN PENDUDUK

KOTA KINABALU: "Kalau dahulu monyet gembira tinggal di hutan tetapi kini mereka terpaksa masuk ke rumah penduduk mencari makanan selepas hutan bakau yang menjadi tempat tinggal mereka ditebang oleh kontraktor untuk projek pembangunan," kata Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Haji Idris.
Katanya, monyet-monyet yang terancam habitatnya terpaksa mencuri makanan untuk survival mereka kerana pembangunan yang tidak seimbang menyebabkan kemusnahan alam semulajadi.
Beliau memberitahu, ramai penduduk mengadu rumah mereka dicerobohi monyet di beberapa buah kampung terutamanya di Kampung Darau dan meminta pihak kerajaan memikirkan sesuatu penyelesaian bagi menangani masalah itu.
Jumat berkata, penebangan hutan bakau secara besar-besaran di sekitar Sepanggar juga mengancam potensi ekonomi penduduk kerana mereka tidak berpeluang lagi membangunkan kampung mereka untuk pelbagai program pelancongan.
"Kita menggalakkan penduduk kampung supaya terlibat dalam program Inap Desa (homestay) kerana kawasan Sepanggar juga mempunyai potensi yang baik untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.
Menurutnya, jika alam semulajadi dilestarikan dan sungai-sungai di bersihkan, pelancong boleh dibawa menyusuri Sungai Darau, Menggatal, Lokob dan sebagainya dan ini mampu mendatangkan sumber pendapatan kepada penduduk kampung.
"Jika hutan bakau dimusnahkan untuk pembangunan, dimana rasionalnya jika di satu pihak kita membiarkan kemusnahan alam semulajadi manakala di satu pihak kita mengadakan program menanam semula hutan bakau.
"Kita tanam hutan bakau di Taman Burung di Likas dengan kerjasama Denmark tetapi pada masa yang sama kita musnahkan hutan bakau di Kampung Darau dan kawasan sekitarnya untuk pembangunan," kata Jumat kepada Utusan Borneo, kelmarin.
Jelasnya, hutan bakau amatlah penting bagi keseimbangan alam semulajadi dan mengelakkan kejadian bencana alam seperti tsunami yang boleh memusnahkan harta benda dan nyawa.
Menurut Jumat, penebangan hutan bakau secara besar-besaran mengakibatkan monyet-monyet terpaksa berpindah dari habitat mereka dan terpaksa menceroboh masuk ke rumah penduduk termasuk memusnahkan tanaman mereka.
Beliau juga mahukan agar Lembaga Perancangan Bandar dan Wilayah dan Jabatan Alam Sekitar supaya menjelaskan perancangan mereka dalam melindungi hutan semulajadi yang semakin pupus di kawasan Sepanggar.
Katanya, UMNO Sepanggar juga sedang mengkaji dengan mendalam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kontraktor-kontraktor yang menebang hutan bakau sewenang-wenangnya.
"Kita tidak tahu bagaimana pihak kontraktor mendapat kebenaran untuk memusnahkan hutan simpan paya bakau?" katanya lagi.
Beliau meminta supaya kerajaan melaksanakan pembangunan seimbang di sekitar kawasan Sepanggar yang termasuk dalam Koridor Pembangunan Sabah (SDC).
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya menyediakan penempatan yang sesuai dengan kehidupan dan budaya penduduk kerana sudah tentu masyarakat nelayan tidak boleh dipisahkan dengan laut yang menjadi sumber mata pencarian mereka.
"Kerajaan perlu melaksanakan pembangunan yang seimbang di kawasan Sepanggar kerana kita khuatir penduduk kampung yang miskin bukan saja menjadi penonton dalam proses pembangunan tetapi menjadi mangsa kepada pembangunan itu sendiri," katanya.
Menurutnya, ada beberapa buah kampung yang didiami nelayan tradisi seperti Kibagu, Numbak, Selembangun, Rampayan, Darau, Gentisan, Lokub, Unggun dan kampung-kampung lain yang melibatkan kira-kira 10,000 penduduk dijangka terlibat dalam Koridor Pembangunan Sabah.
"Kita minta kerajaan supaya peka dan jangan lupa kepada masa depan penduduk kampung dan memastikan mereka terlibat dalam proses pembangunan kerana Sepanggar akan menjadi nadi utama ekonomi Sabah pada masa depan," katanya.

2 comments

Di kampung kejadian monyet menceroboh adalah perkara biasa, kerana monyet merupakan pasukan utama manusia dalam mengenal mana-mana tumbuhan atau hasil hutan yang boleh di makan dan selamat untuk manusia. Monyetlah mahkluk pertama yang mengasing-asingkan tumbuhan maupun buah-buahan yang berberpunca dari hutan dan kemudiannya dibudidayakan oleh manusia. Mungkin atas sebab ini lah Charles Darwin membuat teori, bahawa asal muasal manusia itu adalah daripada monyet atau beruk. Jangan persalahkan monyet pada masa ini kerana mencuri makanan manusia, mungkin fenomena ini sebagai pertanda, bahawa manusia perlu berterima kasih kepada mereka, kerana hingga kini keberadaan manusia dalam dunia ini masih wujud.

lama ndak dgr monyet masuk dapur. dulu time ma c tingal d tg.aru beach ada jg monyet ceroboh masuk rmh (ada hutan jg ka kawasan tg.aru??? plik tul)
hutan sekarang pun makin kurang, ni la org yg pentingkan keuntungan ja, alam semula jadi x terpelihara pun. harap2 la smua manusia di dunia ni fikir lu apa akan jd masa hadapan dgn tanah kita yg kecil. bukan manusia saja perlu tmpt perlindungan, haiwan2 lain jg perlu